Pages

Wednesday, 27 February 2013

SUBURKAN CINTAKU PADA-MU


Ya Allah... dengan izin-Mu, 
Telah banyak yang aku lalui, 
Hingga pernah resah jiwa ini, 
Hingga pernah gelisah hati ini, 
Cinta dunia pernah merantai hati, 
Walau tidak pernah kuzahiri, 
Dalam sederap langkah perjalanan hidupku. 

Jika dulu telah Engkau izinkan, 
Aku merasai kehangatan kasih dalam alpa, 
Jika dulu Engkau benarkan, 
Aku menikmati rindu adam kepada hawa, 
Jika dulu Engkau biarkan, 
Aku di dalam bahagia yang sementara, 

Cukuplah wahai tuhanku! 
Kerana di sebalik semua itu, 
Aku pernah kehilangan cinta-Mu, 
Pernah gersang jiwaku, 
Pernah tandus imanku, 
Derita itu merobek ketenanganku, 
Hatiku yang telah retak semakin retak, 
Solatku tiada lagi khusyuknya, 
Rukukku tiada lagi ikhlasnya, 
Sujudku bersama fikiran yang melayang entah ke mana, 
Tahajjudku sudah tiada serinya, 
Munajatku sudah hilang air matanya, 
Imanku longlai untuk berkata-kata. 

Ya Allah... setelah semua itu aku lalui, 
Dengan penuh susah, jerih dan payah, 
Aku gagahi jua langkah lemah ini, 
Berbekal harapan yang tidak pernah mati, 
Akhirnya kutemui cinta-Mu yang hakiki, 
Manisnya kurasai, 
Bahagia dan ketenangan abadi. 

Bersama setiap sedutan nafas, 
Beriramalah tasbih, tahmid dan takbir, 
Hati ini bahagia dengan mengingati-Mu 
Hati ini derita bila melupai-Mu, 
Engkaulah Kekasih dan cinta hatiku, 
Sekalipun tidak berasa kecewa kerana dikecewakan, 
Bahkan hati yang retak kembali pulih, 
Hati yang merana kembali damai, 
Hati yang sirna kembali menyinar. 

Syukurku pada-Mu Allah, 
Atas segala kurniaan, 
Nikmat rasa cinta yang cuma sedikit pada-Mu ini, 
Jangan Engkau lenyapkan, 
Jangan Engkau kuburkan, 
Tapi, suburkanlah cintaku pada-Mu Allah, 
Biarkan hati ini, 
Terus mengharap, berpaut dan bergantung pada-Mu, 
Kurniakan kepadaku, 
Sekeping hati yang kuat, 
Agar ia terus hidup di dalam cahaya-Mu, 
Selamanya... ~

1 comments:

Post a Comment