Selesai menunaikan ibadah haji, Ibrahim bin Adham berniat untuk
berziarah ke Masjidil Aqsa. Sebagai bekalan perjalanan, ia membeli kurma
dari pedagang tua yang berniaga berhampiran Masjidil Haram.
Setelah kurma ditimbang dan dibungkus, Ibrahim terlihat sebutir kurma
terjatuh dari meja berhampiran dengan timbangan. Menyangka kurma itu
sebahagian dari yang ia beli, Ibrahim memungut dan memakannya.
Setelah itu ia terus berangkat menuju Al Aqsa. Empat bulan kemudian,
Ibrahim tiba di Al Aqsa. Seperti biasa, ia suka memilih satu tempat
beribadah dalam ruangan di bawah Kubah Sakhra. Ia bersolat dan berdoa
dengan khusyuk sekali. Tiba tiba ia mendengar percakapan dua Malaikat
tentang dirinya.
“Itu, Ibrahim bin Adham, ahli ibadah yang zuhud dan wara’ yang doanya selalu dikabulkan ALLAH SWT,” kata malaikat yang satu.
“Tetapi sekarang tidak lagi. Doanya ditolak kerana empat bulan yang
lalu ia memakan sebutir kurma yang jatuh dari meja seorang pedagang tua
berhampiran Masjidil haram,” jawab malaikat yang satu lagi..
Ibrahim bin Adham terkejut sekali, ia terasa cemas sekali, jadi
selama 4 bulan ini ibadahnya, solatnya, doanya dan mungkin amalan-amalan
lainnya tidak diterima oleh ALLAH SWT gara-gara memakan sebutir kurma
yang bukan haknya.
“Astaghfirullahal ‘adzhim” Ibrahim beristighfar. Terus ia berkemas
untuk berangkat lagi menuju ke Mekkah untuk menemui pedagang tua penjual
kurma. Untuk meminta dihalalkan sebutir kurma yang telah ditelannya.
Begitu sampai di Mekkah ia bergegas terus menuju ke tempat penjual
kurma itu, tetapi ia tidak menemui pedagang tua itu melainkan seorang
anak muda. “Empat bulan yang lalu saya membeli kurma di sini dari
seorang pedagang tua. Di manakah ia sekarang ?” tanya Ibrahim.
“O, beliau sudah meninggal sebulan yang lalu, sekarang saya pula meneruskan pekerjaannya berdagang kurma” jawab anak muda itu.
“Innalillahi wa innailaihi roji’un, kalau begitu kepada siapakah saya
boleh meminta untuk penghalalan?”. Lantas Ibrahim menceritakan
peristiwa yang dialaminya, anak muda itu mendengar dengan penuh minat.
“Nah, begitulah” kata Ibrahim setelah bercerita.
“Saudara sebagai ahli waris orang tua itu, boleh saudara menghalalkan
sebutir kurma milik ayahmu yang terlanjur saya makan tanpa izinnya?”.
“Bagi saya tidak masaalah.
Insya ALLAH
saya halalkan. Tapi entah dengan saudara-saudara saya yang jumlahnya 11
orang. Saya tidak berani menghalalkan bagi pihak mereka kerana mereka
mempunyai hak waris sama dengan saya.”
“Tolong berikan alamat saudara-saudaramu, biar saya temui mereka satu persatu.”
Setelah menerima alamat, Ibrahim bin Adham pergi menemui
saudara-saudara anak muda itu. Biarpun berjauhan, akhirnya urusan itu
selesai juga. Mereka semua setuju menghalalkan sebutir kurma milik ayah
mereka yang dimakan oleh Ibrahim secara tidak sengaja.
Empat bulan kemudian, Ibrahim bin Adham kembali berada di bawah Kubah
Sakhra. Tiba tiba ia mendengar dua malaikat yang dulu terdengar lagi
bercakap cakap. “Itulah Ibrahim bin Adham yang doanya tertolak gara-gara
makan sebutir kurma milik orang lain.”
“O, tidak! Sekarang doanya sudah makbul lagi, ia telah mendapat
penghalalan dari ahli waris pemilik kurma itu. Diri dan jiwa Ibrahim
kini telah bersih kembali dari kotoran sebutir kurma yang haram kerana
masih milik orang lain. Sekarang beliau sudah bebas.”
Suasana dan Iklim Bilik Darjah
9 years ago
0 comments:
Post a Comment