Pages

Wednesday, 27 February 2013

SUBURKAN CINTAKU PADA-MU


Ya Allah... dengan izin-Mu, 
Telah banyak yang aku lalui, 
Hingga pernah resah jiwa ini, 
Hingga pernah gelisah hati ini, 
Cinta dunia pernah merantai hati, 
Walau tidak pernah kuzahiri, 
Dalam sederap langkah perjalanan hidupku. 

Jika dulu telah Engkau izinkan, 
Aku merasai kehangatan kasih dalam alpa, 
Jika dulu Engkau benarkan, 
Aku menikmati rindu adam kepada hawa, 
Jika dulu Engkau biarkan, 
Aku di dalam bahagia yang sementara, 

Cukuplah wahai tuhanku! 
Kerana di sebalik semua itu, 
Aku pernah kehilangan cinta-Mu, 
Pernah gersang jiwaku, 
Pernah tandus imanku, 
Derita itu merobek ketenanganku, 
Hatiku yang telah retak semakin retak, 
Solatku tiada lagi khusyuknya, 
Rukukku tiada lagi ikhlasnya, 
Sujudku bersama fikiran yang melayang entah ke mana, 
Tahajjudku sudah tiada serinya, 
Munajatku sudah hilang air matanya, 
Imanku longlai untuk berkata-kata. 

Ya Allah... setelah semua itu aku lalui, 
Dengan penuh susah, jerih dan payah, 
Aku gagahi jua langkah lemah ini, 
Berbekal harapan yang tidak pernah mati, 
Akhirnya kutemui cinta-Mu yang hakiki, 
Manisnya kurasai, 
Bahagia dan ketenangan abadi. 

Bersama setiap sedutan nafas, 
Beriramalah tasbih, tahmid dan takbir, 
Hati ini bahagia dengan mengingati-Mu 
Hati ini derita bila melupai-Mu, 
Engkaulah Kekasih dan cinta hatiku, 
Sekalipun tidak berasa kecewa kerana dikecewakan, 
Bahkan hati yang retak kembali pulih, 
Hati yang merana kembali damai, 
Hati yang sirna kembali menyinar. 

Syukurku pada-Mu Allah, 
Atas segala kurniaan, 
Nikmat rasa cinta yang cuma sedikit pada-Mu ini, 
Jangan Engkau lenyapkan, 
Jangan Engkau kuburkan, 
Tapi, suburkanlah cintaku pada-Mu Allah, 
Biarkan hati ini, 
Terus mengharap, berpaut dan bergantung pada-Mu, 
Kurniakan kepadaku, 
Sekeping hati yang kuat, 
Agar ia terus hidup di dalam cahaya-Mu, 
Selamanya... ~

Tuesday, 19 February 2013

Sahabat Yang Baik


Alhamdulillah. Segala puja pujian bagi Allah Yang Maha Esa. Maha Cinta. Yang telah mengurniakan pelbagai hadiah. Kenikmatan. Tidak mengira siapa, warna, usia, taat mahupun derhaka. Segala kenikmatan yang telah diberikan, tandanya Allah SWT kasih, Allah SWT sayang akan kita semua.
Alhamdulillah. Selawat dan salam bagi Rasulullah SAW yang telah bersabar, mengajar, dan mendidik kita dalam memahami erti kehidupan. Yang telah bersabar, dengan sebaik-baik sabar. Yang telah mengajarkan kita apa itu Islam, Iman, dan Ihsan. Juga, yang telah mendidik serta memperkenalkan kita bahawa hidup ini ada penciptanya, pemiliknya, dan tuan empunya. Allah azza wa jalla.
Insan.
Setiap daripada kita, mempunyai teman dan juga sahabat.
Tidak kiralah sahabat kita bagaimana. Samada tua, muda, cantik, kurang cantik, lelaki, perempuan, dan bermacam-macam lagi. Tuhan Maha Bijaksana. Dia tidak memberikan kita satu pilihan sahaja. Satu macam. Tuhan memberikan kita pelbagai. Banyak. Sehinggakan, hidup ini kita katakan warna-warni.
Hidup ini, berliku-liku. Dan dalam ketidaksempurnaan ini, Tuhan memperkenalkan kepada kita tentang pilihan.
Jika terdapat hidangan makanan dihadapan kita, satu hidangan yang baik dan satu hidangan yang kurang baik. Bagaimanakah pilihan kita? Andai kita memilih hidangan yang baik, mengapa? Dan andai kita memilih hidangan yang kurang baik pula, mengapa?
Pilihan itu ada pada diri kita. Kita sendiri menentukannya.
Masing-masing mempunyai alasan, sebab, dan jawapan. Tetapi, pada hari ini… majoriti daripada kita, inginkan yang baik-baik. Malah, ada yang lebih daripada itu. Yang terbaik! Kerana, kita berharap dengan apa yang kita dapat dan pilih itu mampu bantu diri kita dalam menuju kebaikan.
Kerana kita ingin menjadi insan yang baik. Manusia yang cintakan kebaikan, adalah manusia yang di hatinya mempunyai iman!
Dalam proses menjadi seorang insan yang baik, caranya perlulah ambil yang baik-baik serta memberi yang baik-baik. Kebaikan itu perlu di utamakan! Kejahatan pula, usah dibenci. Sebaliknya, kita perbaiki. Manusia kan, kurang sempurna. Tetapi, manusia adalah sebaik-baik ciptaan dari-Nya!

Sahabat Yang Baik

Dewasa kini, sahabat yang baik itu ada. Wujud. Walau tidak sebondong, kuantiti yang sedikit pun sudah memadai. Kekadang, yang banyak belum tentu menjadi dan berkualiti. Tetapi, yang sedikit itu tidak membuatkan hidup ini sunyi sepi. Sabahat yang baik, sedikit sebanyak terperciknya sifat soleh dan solehah.
Meski dia itu, terdapat kekurangan dan keaiban.. tetapi, dalam berjuta kekurangan, pasti adanya kelebihan. Mungkin, sahabat yang baik bagus dalam sesuatu bidang. Tetapi, dari bidang yang lain.. lemah. Ia bukanlah sesuatu perkara yang perlu diperbesarkan, perlu diungkit-ungkit.
Kerana, setiap orang tahu akan diri masing-masing. Asalkan, jangan kita mempertabiatkan diri dengan mencari kesalahan orang lain. Maka, jauhi. Takut nanti, Tuhan benci.
Nauzubillah!
Bersahabatlah dengan sesiapa pun. Tetapi, jika kita bersahabat dengan sahabat yang baik, soleh dan solehah, sudah pastinya kita tidak akan rugi. Pada sahabat yang baik itu, adanya nasihat yang boleh kita ambil dan manfaat. Pada sahabat yang baik itu, adanya kekuatan yang kadangkala kita terasa diri ini hampir tumbang.
Pada sahabat yang baik itu, adanya kecantikan dan keindahan yang menterjemahkan kasih sayang daripada Tuhan. Pada sahabat yang baik itu, adanya kerinduan kita sebagai insan yang ingin pulang ke kampung halaman. Jannah. Dan pada sahabat yang baik itu, adanya bibit-bibit iman yang membuatkan kita ini teguh dan tidak berputus asa dalam mengharungi kehidupan.
Tetapi…
Sahabat yang baik, tidak semestinya yang seusia dengan kita. Tidak semestinya berjiran dengan kita. Tidak semestinya satu tempat kerja, belajar, dan organisasi dengan kita. Tidak semestinya yang ada di alam maya. Tidak semestinya yang lepak di gerai mamak bersama-sama. Tidak semestinya yang bersolat berjemaah sama-sama. Semua itu tidak semestinya. Kerana, sahabat yang baik adalah sahabat yang rapat dan dekat dengan kita.
Mereka yang rapat dan dekat itu adalah ibu dan ayah kita!


dari: http://akuislam.com/blog/renungan/sahabat-yang-baik/#ixzz2LPY3H9c8

Tuesday, 5 February 2013

Allah Kan Ada!



Bila manusia berkata yang tidak baik tentang kita...
Memang kita akan terluka.
Memang kita akan terasa.
Memang kita akan sakit.
Memang kita akan merana.
Memang kita akan menderita.
Tapi, cuba fikir satu persatu.

Adakah apa yang mereka katakan itu seratus peratus benar tentang kita?
Enak sangatkah 'cerita' mereka itu sehingga orang lain akan mempercayainya membuta tuli?
Sejauh mana kebenaran dalam kata-kata yang tidak baik itu terhadap kita?
Rasa-rasa, sampai bila orang-orang sebegitu akan bertahan untuk terus dan terus memperkatakan tentang kita?

Mereka itu tiada salah ke sehingga asyik melihat salah orang lain?
Mereka itu adalah manusia. Manusia adalah hamba Allah. Tiada satu manusia pun yang sempurna melainkan Baginda SAW. Manusia ini sering diliputi dosa sama ada disedari atau tidak disedari, disengajakan atau tidak sengaja. Dan setiap manusia itu memang ada kekurangan dan kelemahan. Begitu juga dengan kelebihan.
Tapi, kekurangan itu perlu dibaiki. Kelebihan itu perlu disyukuri. Ingat sentiasa bahawa kekurangan manusia perlu kita terima. Kerana apa? Kerana kita manusia. Kita semua adalah sama. Taraf kita sama. Takkan melebihi sesiapa. Terima kekurangan itu. Jalan terbaik adalah berdiam diri. Dan doakan mereka-mereka itu. Semoga Allah melimpahi nur dan hidayahNya untuk mengupgrade kekurangan tersebut ke arah kebaikan.

Itu kisah 'mereka yang lain.' Kisah kita? Kita yang menghadapi kata-kata tidak baik itu, bagaimana pula?
Muhasabah diri semula.

Apa yang kita buat selama kita hidup ini, sebab orang-orang yang berkata itu ke?
Atau sebenarnya, kita buat sesuatu itu kerana Allah semata-mata?
Hidup kita ini berpaksikan kepada siapa sebenarnya? Allah atau manusia?
Kita ini ingin dapatkan redha Allah atau redha manusia?
Kalau kita nak berubah sesuatu ke arah kebaikan, kita perlu minta kekuatan dari Allah atau hamba Allah?
Niat kita sepanjang hidup ini adalah apa? Think deeply.

Allah yang mencipta kita. DIA yang menghidupkan roh kita. DIA yang berkuasa atas sesuatu. DIA Pemilik Kerajaan Langit dan Bumi. DIA adalah Tuhan kita. Hanya DIA yang layak disembah. Jadi, alasan apa yang kita ingin gunakan untuk melakukan sesuatu tanpa berniatkan Lillahi Ta'ala?
Inna a'malu binniat - Sesungguhnya, segalanya bergantung kepada niat. Apa yang kita lakukan hendaklah dipasang dengan niat kerana Allah. Apa-apapun, yang pertama tetap Allah.
"Kenapa perlu kecewa apabila ada orang negatif dengan kita? Apakah kita bekerja kerana mereka?" - Hilal Asyraf

Apa yang kita dapat melalui kata-kata penulis terkenal ini? Fikir, tanya hati kita sendiri. Tujukan persoalan itu terhadap diri kita sendiri. Hidup kita ini perlu sentiasa bermuhasabah. Fikir, fikir dan fikirkan sesuatu itu secara positif dan berhikmah.
Pujuklah hati. Jangan biarkan hati itu terus merana kerana kata-kata tidak baik daripada mereka. Sabarlah. Allah itu bersama orang-orang yang sabar. Setiap satu yang berlaku pasti ada hikmah. Hikmah itu rahsia DIA. Kita mencari dan menanti dengan doa. Sesungguhnya, doa itu senjata mukmin.

Ingatlah.
Kita lebih tahu siapa diri kita. Mereka tidak.
Kita lebih faham diri kita. Mereka tidak.
Kita lebih kenal diri kita. Mereka tidak.
Dan yang paling penting, Allah itu lebih memahami kita. DIA faham kita lebih daripada apa yang kita faham tentang diri kita. Jadi, perlukah kita putus asa atas rahmat Allah? Allah itu ada. Jangan sia-siakan kewujudan Tuhan Yang Maha Adil itu.

Kita hamba DIA. Serahkanlah diri padaNya. DIA Pengubat Kelemahan. DIA jugalah Pemberi Kegembiraan. Ketenangan itu ada pada DIA. Perlukah kita untuk tidak mencari?
"If Allah is your friend, who dares to be your enemy?"
Pujuklah hati kita dengan mengatakan "Allah kan ada!" ^_^

Wallahualam.