Pages

Friday, 16 November 2012

Ayah Dan Ibu, Ikhlaskah?


Pernah dengar tak ayat macam ni?
"Ayah besarkan Eli selama ni, tapi ni balasan Eli terhadap Ayah? Ayah suruh kau kahwin dengan laki tu kau tak nak, Aku ni mak Ayah kau, Aku yang besarkan kau selama ni, Aku lagi tahu dari kau."
ataupun ini
"Ala, lepas belajar tak payah la kahwin lagi, kerja dulu bagi duit kat mak, mak dah banyak habis duit sara Mat dari kecik sampai besar."
ataupun
"Isk, Mak tak suka la kamu kawan dengan Eli tu, dah la tak cantik, hitam pulak tu. Duduk jauh. Mak nak menantu yang cantik, putih, hidung tinggi. Tak merasa la Mak nak menantu putih-putih macam ni."
Ataupun
"Budak ni, Bodoh la, bangang, berapa kali aku nak cakap, sekolah bagi la dapat no 1. Asyik dapat no akhir jer. Ayah malu la dengan ko nih."
Dan
"Mak tak halal air susu mak kalau kau tak nak duduk dengan mak selapas kahwin."
Saat kita mendengar, kita hanya diam. Namun dalam hati nan rawan, ada rasa kecewa mengundang sedih di dalam hati. Mengapa ibu berkata begitu? Tidak berani bersuara...
"Duhai emak, ayah... pegang erat tangan kami, kerana kami amanah untuk mu." Bisik hati kita
Dan pernah kah, pada satu saat kita bersendiri... Hati kita berbicara sambil melontar jauh sikap ibu pada kita. Dan pelbagai kata dan fikir kita luahkan namun hanya kita sahaja yang mendengar rintih sayu hati kita. Kita memendam rasa. Dalam hati kita berbicara; 
"Mak, mak tahu tak, anak mak ni bukan hak milik penuh mak. Anak mak ni adalah amanah Allah pada mak. Kenapa mak suka marah anak mak ni. Kenapa mak suka cakap anak mak ni tak pandai. Mak, kalau anak Mak ni tak pandai, maknanya, itu salah Mak la juga, sebab mak tak pernah nak ajar. Mak tak pernah nak luangkan masa untuk ambil tahu hal kami. Mak lagi pentingkan kerja mak dari kami sedangkan, tugas utama seorang ibu adalah mendidik anak-anaknya dan menjaga rumahtangga. Kami perlukan mak, bukannya Bibik, bukannya akak Nursery. Bukannya Makcik Peah kat sebelah yang selalu jaga kami masa mak tiada.
"Mak, kami rindu masakan mak. Kawan-kawan kami cerita, mak mereka suka masak macam-macam untuk mereka.Kami tak suka masakan Jawa Bibik. Bukan selera kami. Mak, masa kecil, mak selalu belai dan sayang kami. Sekarang kami dah besar, kenapa mak macam tak sayang kami lagi?"
"Kami menangis, mak tak tanya pun kenapa. Kami kurung diri dalam bilik, mak cakap kami gaduh dengan boyfriend. Kami rapat dengan kawan-kawan, mak marah. Mak cakap, jangan kawan dengan mereka. Mereka suka bersosial,  suka berclubbing. Mak pesan agar kami cari  kawan yang elok-elok sikit. Tapi mak, jahat-jahat mereka pun tetap sudi dengar luahan hati kami."
"Mak, kami bukan orang baik, mana kami nak jumpa org baik-baik. Ingat tak mak masa mak cakap, tak payah la mengaji dengan atuk, bukan boleh dapat kerja pun. Sekarang, kamitidak  pun huruf Al- Quran. Macam mana kami nak dapat suami yang baik. Pasti mereka juga akan mencari yang lebih baik dari kami"
"Ayah, betul ke ayah sayang kami? Ayah tak pernah cakap pun. Ayah suka marah kami. Selalu tengking-tengking kami. Ayah tahu tak jiwa anak ayah ni sgt lembut dan sensitif. Setiap patah kata ayah masa marah kami, kami ingat sampai sekarang. Ayah, kami dahagakan kasih sayang ayah. "
"Kami tak tahu mcm mana rasanya kasih sayang seorang lelaki. Jadi, masa 'Mamat' cakap dia suka dan sayang pada kami, kami sangat suka dan teruja. Akhirnya, ada juga lelaki yang sayangkan kami. Tidak mengapa, ayah tak sayang kami, mujur 'mamat' sayangkan kami. 'Mamat' cinta kami lebih dari ayah. Kami  nekad nak kahwin dengan Mamat. Kalau ayah tak bagi, Kami kahwin lari. Kami tak kisah sebab kami bahagia dengan mamat."
"Tapi..  Mamat tinggalkan kami juga, kami mengandung mak, ayah. Mak marah, Ayah pukul kami. Ayah dan Mak halau kami."
"Ayah, kenapa ayah tak pernah peluk kami? Kenapa ayah tak pernah tunjukkan kasih sayang lelaki pada kami? Hingga kami tak dapat menilai sejernih mana kasih laki-laki yang ikhlas. Kalaulah ayah pernah peluk kami, kami takkan rindukan pelukan lelaki, kalaulah ayah kucup dahi ini dan cakap sayang pada kami. Kami takkan mudah tunduk pada cinta kosong laki-laki."
"Mak, fahami la jiwa anak mu ini. Kami perlukan mak untuk tunjukkan kami jalan yang betul. Kami belum matang untuk menilai hidup ni mak. Tolangkah kami."
"Mak, Ayah..
Kami amanah Allah pada Mak dan Ayah untuk dijaga, dibelai, dididik dengan penuh kasih sayang dan keikhlasan. Ikhlas kah Mak dan Ayah apabila mengharapkan balasan dari kami atas jasa membesarkan Kami? Keikhlasan Mak dan Ayah mendidik kami akan membuatkan kami Ikhlas menjaga Mak dan Ayah kelak di samping mendapat ganjaran dari Allah. 
"Mak, Ayah. Kita saling bergantungan. Kami akan menjadi penyebab Mak dan Ayah ke syurga atau neraka, dan Mak dan Ayah jualah akan jadi penyebab Kami ke syurga atau neraka. Mak, kalau mak ikhlas, mak akan doakan kami bahagia selalu, bukannya mendoakan kebahagian kami hilang semata untuk kebahagiaan mak."
"Mak, Ayah, kami rindukan mak dan ayah. Mak dan Ayah di depan kami, tapi, kami rasa kita sangat jauh sekali."

Analoginya, seorang anak yang kerap dimarah dan dicemuh akan mencorakkan tingkah yang pasif. Akan merasa rendah diri dan kurang berkeyakinan diri. Dan ada juga terdapat anak-anak yang merasa benci dan dendam pada ibu dan ayah. 
Tidak salah untuk memberi teguran kepada anak-anak kerana atas pundak ibu dan ayahlah amanah mendidik anak-anak itu terletak. Namun, cara yang bagaimana diaplikasikan di dalam mentarbiyah anak-anak itu yang perlu untuk direnungkan bersama.
Saidina Ali memberi panduan kepada kita, di dalam mendidik anak-anak terdapat beberapa kaedah yang berkesan iaitu mendidik anak mengikut tahap kecerdikannya. Pesannya apabila seorang anak berusia antara 7 tahun pertama, maka disarankan untuk mendekati anak dengan lebih banyak meluangkan masa bersama seperti bermain, bergurau dan kurangkan memarahinya kerana pada saat itu anak kita masih lagi di usia kecil.
Seterusnya pada tujuh tahun kedua,  iaitu pada usianya meningkat 7 tahun hingga 14 tahun, didiklah anak-anak dengan disiplin. Ajarkanlah anak dengan ibadah seperti solat di samping menghormati hak orang lain dan menunaikan suruhan orang yang lebih tua. Ketika anak membuat sedikit kesilapan, maka peranan ibu dan ayah lah yang perlu memperbetulkannya. Pada ketika itu juga, anak-anak yang membuat silap perlu dihukum dengan niat mendidik melalui pendekatan anak-anak tahu bahawa mereka silap dan perlu memperbaiki kesilapan yang ada. 
Saat anak berumur 14 tahun hingga 21 tahun, ibu bapa perlulah menjadikan anak-anak seperti kawan dan sahabat kerana pada ketika itu kehidupan anak-anak mula mencabar. Mereka lebih cenderung untuk bersosial di luar kediaman, justeru disarankan ibu bapa untuk sentiasa berdamping dengan anak-anak agar mereka dapat merujuk dan mengadu masalah mereka kepada ibu bapa. Perlunya ibu dan ayah menjadi penasihat dan pakar konsaltan anak-anak agar mereka tidak mudah tersasar di dalam langkah awal kehidupan mereka.

Di dalam mendidik anak-anak juga, perlunya menekankan nilai-nilai penghargaan dan memberi sedikit ganjaran kepada anak-anak. Seperti contohnya sekiranya anak mendengar kata dan bersikap baik, maka anak-anak itu diganjari dengan hadiah dan pujian. Kaedah ini amat berkesan di dalam melahirkan sifat kendiri yang baik di dalam diri anak-anak.
Kesimpulannya, sebagai ibu atau ayah wajarlah terdahulunya mendidik diri sendiri. Demikianlah juga di dalam mencorakkan nilai-nilai mulia di dalam diri anak-anak, terdahulunya perlulah diri sendiri dahulu sebati dengan nilai yang mulia. Namun hakikatnya, jika direnung semula proses pentarbiyahan diri sendiri adalah bermula dari seawal mencari pasangan lagi.
Justeru, sebelum bergelar isteri, ibu, suami atau ayah maka berusahalah mencari ilmu dan mendidik diri sendiri dengan ilmu perkahwinan dan rumahtangga agar apabila berada di dalam bahtera keluarga, layarnya tidak goyah dan mudah karam dengan ujian dan cabaran yang ada.
Wallahu a'lam.

0 comments:

Post a Comment