Derhaka Dalam Taat
Ghurur yang bermaksud ‘tipudaya’ juga diertikan dengan maksud
‘syaitan’ dan ‘segala yang sia-sia’. Orang yang terkena penyakit ghurur
selalunya lupa bahawa di sebalik ketaatan yang ditunjukkan melalui
amalan zahirnya tersembunyi sifat derhaka atau dalam perkataan lain
melakukan ‘derhaka dalam taat’.
Maksud orang yang derhaka dalam taat ialah orang yang tidak sedar
dirinya melakukan amalan yang kelihatan baik, tetapi hakikatnya ia
dibenci oleh Allah, kerana terselit niat dan perasaaan tidak
ikhlas,riak, ujub, sombong, mengharapkan ganjaran dunia, mengharapkan
pujian, kerana mencari pengaruh dan lain-lain.
Orang yang riak juga dianggap oleh Allah sebagai ‘penipu’ dalam mengamalkan perintah agama. (Surah al-Ma’un: 4-6)
Terdapat dua golongan yang dianggap melakukan derhaka dalam taat, iaitu:
1. Amal Yang Tidak Sempurna
Orang yang mengamalkan syariat lahir dan batin tetapi kedua-duanya
tidak sempurna dan dalam masa yang sama ia masih terlibat dengan dosa
dan maksiat, sama ada maksiat zahir atau batin.
Contohnya, melakukan semua perintah fardu di samping amalan sunat
seperti solat Tahajud, puasa sunat, membaca al-Quran dan lain-lain dan
ada kalanya dia pemurah, lemah-lembut, tetapi kehidupannya masih lagi
terlibat dengan riba, dedah aurat, pergaulan bebas, mengumpat,
menfitnah, mencerca, sombong dan cinta dunia.
Golongan ini dianggap golongan derhaka dan ia tidak lepas dari api
Neraka. Imam Ghazali berkata:”Kalau kamu tidak boleh (belum mampu) untuk
bangun solat Tahajud malam, janganlah buat dosa (perkara haram) di
siang hari. Kerana tidak ada gunanya berbakti pada Allah di malam hari
tetapi derhaka di siang hari.
2. Cuai Dengan Amalan Batin
Orang yang banyak mengerjakan amalan-amalan lahir tetapi cuai
terhadap amalan-amalan batin. Orang ini kelihatan pada zahirnya
sempurna, baik, tetapi hatinya penuh dengan hasad dengki, buruk sangka,
sombong, bakhil, riak, ujub, cinta dunia, mementingkan diri sendiri dan
lain-lain. Selain itu ia juga suka menghina dan memandang rendah kepada
orang yang kurang ibadah, kerana menyangka dirinya hebat. Dia merasa
tenang dan senang dengan ibadahnya dan rasa yakin akan selamat di
Akhirat.
Ia menyangka dengan amalannya pasti Allah akan berinya
kedudukan yang mulia di dalam Syurga. Orang ini dianggap derhaka pada
Allah dalam amalan taatnya. Sebenarnya ia jauh dari Allah dan hatinya
terputus dengan Allah.
Oleh itu , dalam menilai amalan, para ulama sepakat menyimpulkan;
Biar sedikit amal walaupun sekadar yang fardu sahaja, tetapi di dalam
hati tersemat rasa takut pada Allah (taqwa) daripada banyak amal lahir
tetapi tiada rasa taqwa. Walaupun banyak dan hebat ibadah seseorang,
tetapi selagi hatinya tidak zuhud dengan dunia, selama itu ibadahnya
tidak bernilai.
Seorang manusia yang telah selesai melalkukan segala perintah Allah,
tetapi dalam masa yang sama, jika hatinya tidak beradab dengan Allah,
masih ada riak, ujub dan lain-lain, belum tentu Allah terima amalannya.
Firman Allah, maksudnya:”Ada pun orang yang enggan dan menyombongkan
diri maka Allah akan menyeksa mereka dengan seksaan yang pedih.”
(An-Nisa’: 173)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:”Sesungguhnya yang amat aku
takut sekali di antara segala perkara yang terjadi ke atas kamu ialah
syirik kecil.” Sahabat bertanya:”Apakah syirik kecil itu?” Baginda SAW
menjawab,”Ialah riak (beramal dengan tidak ikhlas) kerana
menunjuk-nunjukkan amalan.” Kemudian baginda SAW menyambung: “Di Akhirat
kelak, iaitu sewaktu setiap manusia melihat amalannya, Allah swt
berfirman kepada mereka:”Pergilah kamu semua kepada sesuatu yang kamu
niatkan (menunjuk-nunjukkan) amalan kamu ketika di dunia. Lihatlah apa
yang kamu boleh perolehi balasan dari mereka itu?” (Riwayat Ahmad dan
al-Baihaqi).
Dalam hadis lain Rasulullah SAW menegaskan:”Allah swt tidak menerima
sesuatu amalan yang di dalamnya terselit perasaan riak, walaupun sebesar
zarrah.” (hadis dinukil oleh Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin).
Suasana dan Iklim Bilik Darjah
9 years ago
0 comments:
Post a Comment