Pages

Saturday, 29 September 2012

Pesanan Buat Suami..:))




Oleh Dato’ Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah

1. Selalu menghargai usaha dan penat-lelah isteri, terutama isteri yang bekerja dan sama-sama terpaksa menanggung hutang suami.

2. Bila isteri bercakap, pandanglah mukanya dan buka telinga luas-luas. Biar apa yang dikatakannya masuk telinga kanan dan tersumbat di telinga kiri. Sambil tu otak suami kenalah memproses informasi yang diterima daripada isteri dengan bijak serta prihatin.

3. Jangan sekali-kali membandingkan masakan isteri atau cara isteri menghias rumah dengan mak anda kecuali masakan/cara menghias isteri anda lebih baik dan canggih dari emak anda..

4. Jangan demand sex sekiranya isteri tak ada mood atau letih. Agama suruh kahwin bukan semata-mata untuk penuhi nafsu syahwat saja.

5. Kalau pasangan dah ada anak, sama-samalah menjaga anak. Benih dari awak juga.. Ada suami, isteri sedang makan disuruh cebok kencing n berak anak sedangkan suami duduk tersandar kekenyangan macam  maharaja.

6. Jangan sekali-kali duduk tersandar depan TV atau relax-relax sedangkan isteri bila balik dari kerja, buka saja kasut terus masuk dapur, memasak, mengemas, membasuh, kejar anak dsbnya. Berbulu mata dan sayu hati isteri bila kami tak cukup tangan nak menguruskan rumahtangga sedangkan suami lepas tangan.

7. Sekiranya suami makan dahulu, tinggalkan sedikit lauk utk isteri. Jangan bedal semua sampai turn isteri yang tinggal cuma ekor ikan sekerat, janggut sotong dan ekor taugeh.

8. Kalau nak ajak member bertandang ke rumah, beritau isteri dulu, kalau boleh sehari-dua in advance. Jadi bolehlah dia memasak yang best-best dan mengemas rumah cantik-cantik. Bayangkan perasaan isteri kalau tetamu datang terpacak sedangkan kain-baju masih berlonggok belum sempat dilipat, permainan anak masih berselerak dan isteri cuma masak mi maggi saja.

9. Jangan sekali-kali menyakat isteri tentang saiz badannya yang semakin sihat atau semakin melidi. Tengok body sendiri dalam cermin dulu.

10. Jangan kentut depan isteri. Masa bercinta dulu kenapa boleh control kentut?

11. Hormatilah ibu-bapa dan kaum keluarga isteri walaupun anda cuma main wayang, bodek mereka masa nak mengurat isteri anda dulu. Jangan sekali mencaci mereka walaupun secara bergurau.

12. Jangan kedekut dengan isteri serta keperluan rumahtangga.

13. Jagalah maruah anda sebagai suami dan lelaki. Selagi boleh, jangan bebankan isteri dengan masaalah kewangan anda. Selalunya perempuan ni, semakin suami “degil” tak nak minta pertolongan, selagi itulah dia rela nak tolong.

14. Jangan bersepah dan bersikap pengotor. Dah buka baju, letakkan dalam bakul baju kotor, dah guna cungkil gigi, buanglah dalam bakul sampah, bila dah guna ubat gigi bubuh balik penutupnya, dah ambil sesuatu barang simpan balik ditempat asal, dah berak flush. Susah sangat ke nak buat macam tu? Semua nak kena ajar ke?

15. Rajin-rajinlah bertanya isteri kalau dia perlukan bantuan anda dengan kerja rumah/menjaga anak. Tapi jangan tanya dua tahun sekali. Jangan tunjuk rajin bila ada tetamu di rumah saja.

16. Hormatilah isteri anda sebagaimana anda mahu dihormati. Isteri pun manusia. Allah berikan banyak keistimewaan kepada para isteri tapi diputar-belitkan tafsirannya oleh orang lelaki untuk kepentingan diri sendiri.

17.. Jangan main kayu tiga dengan perempuan lain. Main lain lagi tak boleh. Kalau isteri awak yang buat, tentu awak tak boleh tolerate, jadi mengapa isteri awak kena tolerate kalau awak buat?

18. Kalau tak menyukai sikap atau perbuatan isteri, tegurlah secara baik, jangan asyik nak menengking aja. Kalau awak sakit nak mati nanti, siapa yang kena jaga awak? Bai jual roti? Apek jual sayur? Jiran sebelah rumah awak?

19. Kalau isteri nampak tak sihat, cepat-cepatlah bawa jumpa doktor. Tunjuklah anda mengambil berat tentang dirinya.

20. Berbincanglah dengan isteri sebelum sesuatu keputusan dibuat. Walaupun suami megah ada kuasa veto, tak jadi bapok kalau pendapat isteri diambil kira. Pokok pangkalnya ialah timbangrasa dan saling menghargai. Cubalah ketepikan ego yang keterlaluan. Bukannya laku bila dah mati nanti.

21. Dalami agama dan bimbinglah anak isteri dengan ikhlas seperti yang dituntut agama. Ingat, kalau seorang suami masuk syurga, besar kemungkinan isteri pun masuk syurga. Kalau suami masuk neraka belum tentu isteri juga masuk neraka. Kalau isteri masuk neraka, besar kemungkinan suami juga masuk NERAKA tapi kalau isteri masuk syurga belum tentu suami pun masuk syurga.Ini bukan rekaan saya tapi saya dengar dari seorang ustaz.

22. Berusahalah dengan ikhlas untuk mempertahankan keharmonian rumahtangga. Jangan buat apa yang isteri tak suka. Percayalah, kalau suami buat baik sekali dengan isteri, isteri balas sepuluh kali

23. Jangan buat donno kalau isteri merajuk atau berkecil hati. Kalau perlu minta maaf, minta maaf, kalau perlu dipujuk, pujuk. Hati orang pompuan ni sensitif. Kalau kami rasa suami tak ambil kisah, perasaan bagai dihiris-hiris. Perkara yang dipandang remeh oleh suami boleh menjadi kanser kepada isteri. Kepada para suami khususnya dan kaum lelaki amnya, janganlah dianggap masalah hati dan perasaan orang perempuan ni enteng sahaja.

Allah s.w.t. berfirman, “Dan ketahuilah bahawasanya Allah mengetahui apa yang didalam hatimu, sebab itu berhati-hatilah dengan Tuhan”

Friday, 28 September 2012

Di Sebalik Liku-Liku..

Kerana aku di sapa ujian.  Aku belajar mengenal kehidupan.  Bahawasanya hidup bukan sahaja berteman suka dan bahagia.  Tetapi di corak hampa dan air mata.  Maka, aku mengenal erti sabar dan belajar tersenyum walaupun perit terus menerus menagih hiba.

Ketika kehendakku tidak bisa di genggam.  Aku belajar menjadi insan matang.  Mensyukuri segala yang ditakdirkan.  Bukan merungut mencipta sesalan.  Kerana ku tahu bahawa segalanya tidak semudah apa yang ada dibayanganku.  Dunia hanya persinggahan yang sering menagih pengorbanan.

Ku sedari aku bukanlah sempurna.  Aku belajar menjadi diri aku apa adanya.  Tidakku cemburu menatap kelebihannya dia.  Kerana ku yakini bahawa.  Allah itu menjadikan kita tidak sama.  Dan kita sememangnya memiliki kelebihan dan kekurangan yang tidak serupa.

Kegagalan semalam telah menghancurkan impian.  Namun kerana kegagalan itulah aku mengikat suatu kesimpulan.  Bahawa tidak semua yang kita kehendakkan, akan berjaya berada di tangan.  Kegagalan itulah yang menjadi guru memberi pengajaran.

Menyedarkan aku bahawa walaupun kita merancang,  Jangan pernah lupa bahawa Allah juga merancang.  Dan perancangan Allah sememangnya jauh lebih hebat dan penuh hikmah kebaikan di setiap kejadian.
Kehilangan yang terjadi sememangnya menebuk lubang terdalam dihatiku.  Namun kerana kehilangan itu aku belajar sesuatu.  Bahawa setiap yang datang akan berlalu.  Tiada apa yang kekal di dunia ini kecuali Allah yang satu.  Lalu ku isikan pecahan-pecahan yang telah terjadi di hatiku.  Dengan cintanya Dia yang mengukuhkan kembali hatiku yang layu.

Terima kasih, Ya Allah.

by akuislam..

Wednesday, 26 September 2012

Izinkan Abang Nikah Sorang Lagi…


“Sayang, Abang minta izin untuk nikah sorang lagi,” Aliyah yang sedang melipat kain, terdiam seketika.
Mungkin terkedu. Adakah pendengarannya kian kabur lantaran usianya yang kian beranjak.
Adakah dialog tadi hanya dilafazkan di dalam TV, sementelah TV juga dipasang.
Tapi, ahh bukanlah. TV sedang menayangkan iklan Sunsilk, mustahil sudah ada siri baru iklan Sunsilk?
Dia menghela nafas panjang.
Dia memandang sekali imbas wajah Asraf Mukmin, kemudian tersenyum.
Meletakkan kain yang telah siap dilipat di tepi, bangun lantas menuju ke dapur. Langkahnya diatur tenang.
Segelas air sejuk diteguk perlahan. Kemudian dia ke bilik Balqis, Sumayyah, Fatimah. Rutin hariannya, mencium puteri-puterinya sebelum dia masuk tidur.
Buat Lelaki, tanamkan sifat belas dan kasihan kepada wanita yang lemah
Dahulu, semasa puterinya kecil lagi, rutin itu dilakukan dengan suaminya.
Kini, anak-anak kian beranjak remaja dan kemudian, dia menjenguk bilik putera bujangnya yang berdua, si kembar, Solehin dan Farihin, lalu pengabisannya dia kembali kepada suaminya.
Asraf Mukmin hanya diam, membatu diri. Dia amat mengenali isterinya. Jodoh yang diatur keluarga hampir 16 tahun yang lepas menghadiahkan dia sebuah keluarga yang bahagia, Aliyah adalah ikon isteri solehah.
Namun, kehadiran Qistina, gadis genit yang menjawat jawatan pembantu tadbir kesetiausahaan di jabatannya benar-benar membuatkan dia lemah.
Kau mampu Asraf, dengan gaji kau, aku rasa kau mampu untuk beri makan 2 keluarga,” sokongan Hanif, teman sepejabat menguatkan lagi hujah apabila dia berdepan dengan Aliyah.
Abang Asraf, Qis tak kisah. Qis sanggup bermadu jika itu yang ditakdirkan. Bimbinglah Qis, Qis perlukan seseorang yang mampu memimpin Qis,” masih terngiang-ngiang bicara lunak Qis.
Akhir-akhir ini, panas rasanya punggung dia di rumah.
Pagi-pagi, selesai solat subuh, cepat-cepat dia bersiap untuk ke pejabat.
Tidak seperti kelaziman, dia akan bersarapan berjemaah bersama isteri dan anak- anak.
Aduhai, penangan Qis gadis kelahiran Bumi Kenyalang benar-benar menjerat hatinya.
Abang , Aliyah setuju dengan permintaan Abang. Tapi, Aliyah nak berjumpa dengan wanita tu,” Lembut dan tenang sayup-sayup suara isterinya.
Dia tahu, Aliyah bukan seorang yang panas baran.
Aliyah terlalu sempurna, baik tetapi ahh hatinya kini sedang mengilai wanita yang jauh lebih muda.
Bawa dia ke sini, tinggalkan dia bersama Aliyah selama 1 hari saja, boleh?” pelik benar permintaan isterinya.
Hendak dipengapakan apakah buah hatinya itu? Namun, tanpa sedar dia menganguk, tanda setuju.
Sebab, dia yakin isterinya tidak akan melakukan perkara yang bukan-bukan.
Dan hakikatnya dia seharusnya bersyukur. Terlalu bersyukur.
Kalaulah isterinya itu wanita lain, alamatnya perang dunia meletus lah jawabnya. Melayanglah periuk belanga.
Ehhh, itu zaman dulu-dulu. Zaman sekarang ni, isteri-isteri lebih bijak.
Buat Wanita, belajarlah untuk setia kepada hanya seorang manusia iaitu suami
Teringat dia kisah seorang tentera yang disimbah dengan asid, gara-gara menyuarakan keinginan untuk menambah cawangan lagi satu.
Kecacatan seumur hidup diterima sebagai hadiah sebuah perkahwinan yang tidak sempat dilangsungkan. Dan dia, hanya senyuman daripada Aliyah.
Apa, nak suruh Qis jumpa dengan isteri Abang,” terjegil bulat mata Qis yang berwarna hijau. “Kak Aliyah yang minta,” masih lembut dia memujuk Qis.
Biar betul, apa dia nak buat dengan Qis?” “Takutlah Qis, silap haribulan dia bunuh Qis!” terkejut Asraf Mukmin.
Percayalah Qis, Aliyah bukan macam tu orangnya. Abang dah lama hidup dengannya. Abang faham,” Qistina mengalih pandangannya.
Mahu apakah bakal madunya berjumpa dengannya? Dia sering disogokkan dengan pelbagai cerita isteri pertama membuli isteri kedua.
Heh, ini Qistina lah, jangan haraplah jika nak membuli aku.. Desis hati kecil Qistina.
Hari ini genap seminggu Qistina bercuti seminggu.
Seminggu jugalah dia merindu. Puas dicuba untuk menghubungi Qistina, namun tidak berjaya.
Rakan serumah menyatakan mereka sendiri tidak mengetahui ke mana Qistina pergi. Genap seminggu juga peristiwa dia menghantar Qistina untuk ditemuduga oleh Aliyah.
Sedangkan dia diminta oleh Aliyah bermunajat di Masjid Putra.
Di masjid itu, hatinya benar-benar terusik. Sekian lamanya dia tidak menyibukkan dirinya dengan aktiviti keagamaan di Masjid Putra.
Dulu, sebelum dia mengenali Qistina, saban malam dia akan bersama dengan Aliyah serta anak-anaknya, berjemaah dengan kariah masjid dan kemudiannya menghadiri majlis kuliah agama.
Membaca Al-Quran secara bertaranum itu adalah kesukaannya.
Namun, lenggok Qistina melalaikannya. Haruman Qistina memudarkan bacaan taranumnya. Hatinya benar-benar sunyi. Sunyi dengan tasbih, tasmid yang sering dilagukan.
Seharian di Masjid Putra, dia cuba mencari dirinya, Asraf Mukmin yang dulu. Asraf Mukmin anak Imam Kampung Seputih. Asraf Mukmin yang asyik dengan berzanji.
Menitis air matanya. Hatinya masih tertanya-tanya, apakah yang telah terjadi pada hari itu.
Aliyah menunaikan tanggungjawabnya seperti biasa. Tiada kurangnya layanan Aliyah.
Mulutnya seolah-olah terkunci untuk bertanya hal calon madu Aliyah.
Tit.. tit… sms menjengah masuk ke kantung inbox hensetnya. “Qis minta maaf. Qis bukan pilihan terbaik utk Abang jadikan isteri. Qis tidak sehebat Kak Aliyah. Qis perlu jadikan diri Qis sehebatnya untuk bersama Abang.”
Dibawah hensetnya, ada sekeping sampul besar.
Kepada: Asraf Mukmin, Suami yang tersayang…
Asraf Mukmin diburu kehairanan. Sampul berwarna cokelat yang hampir saiz dengan A4 itu dibuka perlahan.
“Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani.
Salam sejahtera buat suami yang tercinta, moga redhaNya sentiasa mengiringi jejak langkahmu. Abang yang dikasihi, genap seminggu sesi temuduga yang Aliyah jalankan pada Qistina.
Terima kasih kerana Abang membawakan Aliyah seorang calon madu yang begitu cantik. Di sini Aliyah kemukakan penilaian Aliyah.
01.Dengan ukuran badan ala-ala model, dia memang mengalahkan Aliyah yang sudah tidak nampak bentuk badan. Baju- bajunya memang mengikut peredaran zaman. Tapi, Aliyah sayangkan Abang. Aliyah tak sanggup Abang diheret ke neraka kerana menanggung dosa. Sedangkan dosa Abang sendiri pun, masih belum termampu untuk dijawab di akhirat sana , apatah lagi Abang nak menggalas dosa org lain. Aliyah sayangkan Abang…
02.Aliyah ada mengajak dia memasak. Memang pandai dia masak, apatah lagi western food. Tapi, Aliyah sayangkan Abang. Aliyah tahu selera Abang hanya pada lauk pauk kampung. Tapi tak tahulah pula Aliyah kalau-kalau selera Abang sudah berubah. Tapi, Aliyah masih ingat lagi, masa kita sekeluarga singgah di sebuah restoran western food, Abang muntahkan semua makanan western food tu. Lagi satu, anak-anak kita semuanya ikut selera ayah mereka. Kesian nanti, tak makan la pula anak-anak kita. Aliyah sayangkan Abang…
03.Aliyah ada mengajak dia solat berjemaah. Kelam kabut dibuatnya. Aliyah minta dia jadi Imam. Yelah, nanti dia akan menjadi ibu pada zuriat Abang yang lahir, jadinya Aliyah harapkan dia mampu untuk mengajar anak-anak Abang untuk menjadi imam dan imamah yang beriman. Tapi, kalau dia sendiri pun kelam kabut memakai telekung… Aliyah sayangkan Abang…
Abang yang disayangi, cukuplah rasanya penilaian Aliyah. Kalau diungkap satu persatu, Aliyah tak terdaya. Abg lebih memahaminya. Ini penilaian selama 1 hari, Abang mungkin dapat membuat penilaian yang jauh lebih baik memandangkan Abang mengenalinya lebih dari Aliyah mengenalinya.
Abang yang dicintai, di dalam sampul ini ada borang keizinan berpoligami. Telah siap Aliyah tandatangan. Juga sekeping tiket penerbangan MAS ke Sarawak.
Jika munajat Abang di Masjid Putra mengiayakan tindakan Abang ini, ambillah borang ini, isi dan pergilah kepada Qistina.
Oh ya, lupa nak cakap, Qistina telah berada di Sawarak. Menunggu Abang… Aliyah sayangkan Abg…
Tetapi jika Abg merasakan Qistina masih belum cukup hebat untuk dijadikan isteri Abang, pergilah cari wanita yang setanding dengan Aliyah… Aliyah sayangkan Abg.
Tetapi, jika Abg merasakan Aliyah adalah isteri yang hebat untuk Abang.. tolonglah bukakan pintu bilik ni. Aliyah bawakan sarapan kegemaran Abang, roti canai.. air tangan Aliyah.”
Salam sayang, Aliyah Najihah binti Mohd Hazery.


Sunday, 16 September 2012

8 Ganjaran Buat Isteri Yang Solehah



1) “Sekali suami minum air yang disediakan oleh isterinya adalah lebih baik dari berpuasa setahun”.

2) “Makanan yang disediakan oleh isteri kepada suaminya lebih baik dari isteri itu mengerjakan haji dan umrah”

3) “Mandi junub si isteri disebabkan jimak oleh suaminya lebih baik baginya daripada mengorbankan 1,000 ekor kambing sebagai sedekah kepada fakir miskin”.

4) “Apabila isteri hamil ia dicatitkan sebagai seorang syahid dan khidmat kepada suaminya sebagai jihad”.

5) “Pemeliharaan yang baik terhadap anak-anak adalah menjadi benteng neraka, pandangan yang baik dan harmonis terhadap suami adalah menjadi tasbih (zikir)”.

6) “Tidak akan putus ganjaran dari Allah kepada seorang isteri yang siang dan malamnya menggembirakan suaminya”.

7) “Apabila meninggal dunia seorang dan suaminya redha, nescaya ia dimasukkan ke dalam syurga”. (Hadis Riwayat Tarmizi)

8) “Seseorang wanita apabila ia mengerjakan sembahyang yng difardhukan ke atasnya, berpuasa pada bulan Ramadhan, menjaga kehormatan dirinya dan taat kepada suaminya maka berhaklah ia masuk syurga dari mana-mana pintu yang ia suka”.

Dan ingatlah wahai wanita, semua itu terangkum di dalam suatu perkataan iaitu "TAAT"...

(Hadis riwayat Anas Bin Malik)

Friday, 7 September 2012

Di Mana Dia Di Hatimu?

Semasa Rasulullah s.a.w. dan Saidina Abu Bakar bersembunyi di Gua Thur, dalam perjalanan hendak berhijrah ke Madinah, musuh-musuh Islam sudah berdiri di hadapan pintu gua dan hampir menemui mereka.
Ketika Saidina Abu Bakar cemas, Rasulullah s.a.w. menenangkannya dengan berkata, "Jangan takut, ALLAH bersama kita."
Itulah kehebatan Rasulullah, ALLAH sentiasa di hatinya.

Ketika di ambang maut?
Sewaktu Da'thur, seorang tentera musuh menyerang hendap Rasulullah s.a.w. lalu meletakkan pedang di leher baginda dan bertanya, "Siapakah akan menyelamatkan kamu daripadaku?"
Jawab Rasulullah penuh yakin, "ALLAH."
Mendengar jawapan itu, gementarlah Da'thur dan terlepaslah pedang daripada tangannya. Itulah kehebatan Rasulullah... sentiasa ada DIA di hati baginda.

Ketika tiada siapa mengetahui?
Diceritakan juga bahawa pada suatu ketika Khalifah Umar Al-Khattab ingin menguji seorang budak gembala kambing di sebuah padang pasir. "Boleh kau jualkan kepadaku seekor daripada kambing-kambing yang banyak ini?"
"Maaf tuan, tidak boleh. Kambing ini bukan saya yang punya. Ia milik tuan saya. Saya hanya diamanahkan untuk menjaganya sahaja."
"Kambing ini terlalu banyak dan tidak ada sesiapa selain aku dan kamu di sini. Jika kau jualkan seekor kepadaku dan kau katakan kepada tuanmu bahawa kambing itu telah dimakan oleh serigala, tuanmu tidak akan mengetahuinya," desak Saidina Umar lagi, sengaja menguji.
"Kalau begitu, di mana ALLAH?" ujar budak itu.
Saidina Umar terdiam dan kagum dengan keimanan yang tinggi di dalam hati anak kecil itu. Walaupun hanya seorang gembala kambing yakni pekerja bawahan, tetapi dengan kejujuran dan keimanannya, dia punya kedudukan yang tinggi di sisiALLAH. Jelas ada DIA di hatinya.

Ketika kamu tiada jawatan?
Satu ketika yang lain, Saidina Khalid Al-Walid diturunkan pangkatnya daripada seorang jeneral menjadi seorang askar biasa oleh Khalifah Umar. Keesokannya, Saidina Khalid tetap ke medan perang dengan semangat yang sama. Tidak terjejas sedikit pun perasaan dan semangat jihadnya walaupun telah diturunkan pangkat.
Ketika ditanya mengapa, Saidina Khalid menjawab, "Aku berjuang bukan kerana Umar." Ya, Saidina Khalid berjuang kerana ALLAH. Ada DIA di hatinya.

Lalu, di mana Dia dihati kita?
Melihat anekdot-anekdot itu, aku terkesima lalu bertanya kepada diri, di manakah DIA dalam hatiku?
Apakah ALLAH sentiasa menjadi pergantungan harapan dan tempat merujuk serta membujuk hatiku yang rawan?
ALLAH ciptakan manusia hanya dengan satu hati. Di sanalah sewajarnya cinta ALLAH bersemi. Jika cinta ALLAH yang bersinar, sirnalah segala cinta yang lain. Tetapi jika sebaliknya, cinta selain-NYA yang ada di situ, maka cinta ALLAH akan terpinggir. Ketika itu, tiada DIA di hatiku!
Sering diri ini berbicara sendiri, bersendikan sedikit ilmu dan didikan daripada guru-guru dalam hidupku, kata mereka (dan aku amat yakin dengan kata itu);
"Bila ALLAH ada di hatimu, kau seolah-olah memiliki segala-galanya. Itulah kekayaan, ketenangan dan kebahagiaan yang hakiki."

Kata-kata itu sangat menghantui diriku. Ia menyebabkan aku berfikir, merenung dan bermenung, apakah ALLAH menjadi tumpuan dalam hidupku?
Apakah yang aku fikir, rasa, lakukan dan laksanakan sentiasa merujuk kepada-NYA?
Bila bertembung antara kehendak-NYA dengan kehendakku, kehendak siapa yang aku dahulukan? Sanggupkah aku menyayangi hanya kerana-NYA? Tegakah aku membenci juga kerana-NYA?
Muhasabah ini melebar lagi. Lalu aku tanyakan pada diri, bagaimana sikapku terhadap hukum-hakam-MU?
Sudahkah aku melawan hawa nafsu untuk patuh dan melakukan segala yang wajib sekalipun perit dan sakit ketika melaksanakannya? Sudahkah aku meninggalkan segala yang haram walaupun kelihatan indah dan seronok ketika ingin melakukannya?
Soalan-soalan ini sesungguhnya telah menimbulkan lebih banyak persoalan. Bukan akal yang menjawabnya, tetapi rasa hati yang amat dalam. Aku tidak dapat mendustai-MU, ya ALLAH.

Dan aku juga tidak dapat mendustai diri sendiri
Aku teringat bagaimana suatu ketika seorang sufi diajukan orang dengan satu soalan, "Apakah engkau takutkan ALLAH?"
Dia menangis dan menjawab, "Aku serba salah untuk menjawab ya atau tidak. Jika aku katakan tidak, aku akan menjadi seorang yang kufur. Sebaliknya kalau aku katakan ya, aku terasa menjadi seorang munafik. Sikapku amat berbeza dengan kata-kata. Orang yang takutkan ALLAH bergetar hatinya bila mendengar ayat-ayat ALLAH tapi aku tidak..."

Maksudnya, jika seorang sufi yang hatinya begitu hampir dengan ALLAH pun sukar bila ditanyakan apakah ada DIA di hatinya, lebih-lebih lagilah aku yang hina dan berdosa ini.
Di hatiku masih ada dua cinta yang bergolak dan berbolak-balik. Antara cinta ALLAH dan cinta dunia sedang berperang dengan begitu hebat dan dahsyat sekali.
Kalau kau tanyakan aku, "Adakah DIA di hatimu?"
Aku hanya mampu menjawab, "Aku seorang insan yang sedang bermujahadah agar ada DIA di hatiku. Aku belum sampai ke tahap mencintai-NYA tetapi aku yakin aku telah memulakan langkah untuk mencintai-NYA."

Justeru, kerana belum ada DIA di hatiku, hidupku belum bahagia, belum tenang, dan belum sejahtera. Aku akan terus mencari. Aku yakin ALLAH itu dekat, pintu keampunan-NYA lebih luas daripada pintu kemurkaan-NYA.
Selangkah aku mendekat, seribu langkah DIA merapat. Dan akhirnya... aku yakin... suatu saat nanti, akan ada DIA di hatiku dan di hatimu jua.
Dan kita akan terus mengemis kasih...
- Artikel iluvislam.com

Wednesday, 5 September 2012

Tudung Labuh Itu Kolot?

Selepas UPSR, saya di hantar ke sekolah agama oleh ibu bapa. Bukan atas kehendak sendiri. Saya juga tidak membantah. Hanya kerana sepupu perempuan saya turut belajar di situ, saya tidak keberatan.
Saya juga pernah menghadiri temuduga untuk memasuki Kospint yakni Imtiaz sekarang. Hampa kerana tidak terpilih.
Seperti yang umum maklum, belajar di sekolah agama menuntut pelajar perempuan memakai tudung labuh. Saya ketika itu masih belum faham kenapa perlu memakai tudung labuh.
Adakah tudung segi tiga masih belum menutup aurat?
Tetapi, soalan itu hanya berlegar di fikiran. Tidak pernah diluahkan dan tidak pernah dikaji.
Timbul rasa jengkel juga di hati, '"selekehlah pakai tudung labuh", "nampak gemuk", "tak smart langsung".

Oleh sebab itu, apabila diadakan aktiviti sukan atau apa-apa aktiviti di luar waktu persekolahan, saya akan menyarung tudung segi tiga biasa menggantikan tudung besar itu. Saya kurang rasa bersalah kerana senior juga begitu.
Tiada lagi tudung labuh apabila menghadiri latihan kawat pada waktu petang, atau latihan untuk hari sukan kerana tiada seorang pun guru yang menegur. Kalau ada pun, bukan saya yang ditegurnya. Saya rasa selamat untuk memakai tudung segi tiga.

Begitu juga apabila keluar dari asrama, selain daripada outing pada waktu persekolahan, terutama apabila bersiar-siar dengan keluarga atau kawan-kawan, saya tidak pernah sekalipun memakai tudung labuh sekolah apatah lagi mahu mempunyai koleksi tudung labuh yang lain. Sungguh waktu itu, tudung labuh bagi saya adalah kolot. Ketinggalan zaman.

Bermula dari tingkatan satu hinggalah tingkatan tiga, tiada input yang saya dapati sama ada dalam waktu persekolahan atau selepas waktu persekolahan berkenaan kebaikan memakai tudung labuh. Tiada sesiapa pun yang menceritakan kepada kami mengapa para pelajar perempuan di sekolah ni diwajibkan pakai tudung labuh.

Yang ada hanya guru yang menyindir kami dengan kata-kata:
"Korang ni bila kaki dah langkah luar pagar sekolah, tudung labuh entah ke mana, baju ketat, seluar ketat, tudung kecik". Saya hanya mencebik. Apa salahnya tudung kecil!
Di mata saya tudung labuh hanya dipakai oleh ustazah. Tetapi, pemikiran itu berubah sedikit apabila guru Sains saya memakai tudung labuh juga. Tetapi, saya malas memikirkan tentang perihal tudung labuh ini.



"Yang penting aku dah tutup aurat sepenuhnya, ok lah".

Meskipun spotcheck tudung selalu dilakukan, kami tidak pernah serik. Undang-undang sekolah kami tidaklah seketat sekolah agama yang gah dan hebat yang lain. Tudung pelajar perempuan tidak boleh atas daripada paras siku.
Peraturan ini boleh diterima lagi kerana ada sekolah yang mewajibkan tudung pelajarnya mesti bawah pergelangan tangan. Tetapi, para pelajar yang "rimas" telah dididik oleh para senior supaya memendekkan tudung dalam erti kata yang lain, tudung yang labuh diubah suai agar ianya atas daripada siku.
Bagi kami, tudung sebegini nampak lebih kemas. Stok tudung labuh tetap ada untuk kecemasan yakni spotcheck. Hanya dipakai apabila tersebar khabar angin bahawa pagi itu akan dilakukan spotcheck.

Usai keputusan PMR diumumkan, saya mendapat tawaran ke sebuah MRSM di pantai timur. Alhamdulillah. Bolehlah keluar dari kongkongan sekolah agama ni. Mimpi saya ialah peraturan akan lebih longgar, pelajar boleh pakai apa-apa sahaja yang disukai, ber'couple' tidak akan jadi halangan, pendek kata moden.
Tetapi, impian itu bertukar 180 darjah. Kami diwajibkan solat Subuh, maghrib dan Isyak secara berjemaah, diwajibkan memakai stoking apabila keluar dari asrama, dilarang ber'couple', tidak boleh memakai scarf kepala yang menutup hanya separuh, track suit yang mencekik di bahagian bawah dilarang sama sekali, handsock diwajibkan.

Tambahan lagi, di dalam kelas pelajar perempuan mestilah duduk belakang pelajar lelaki menyerupai saf dalam solat, tudung yang jarang akan dihukum, tudung yang tidak melebihi bahu akan di denda, seakan-akan peraturan bertambah ketat berbanding sekolah agama saya dahulu.
Dan tentunya peraturan ini sebenarnya telah termaktub sebagai perintah Allah S.W.T sendiri. Cuma tidak diperincikan sahaja. Allah S.W.T menyuruh kita menutup seluruh anggota badan kecuali tangan dan muka. Maknanya, kaki juga aurat wahai diri. Peraturan ini dianggap mengongkong bagi pelajar yang jiwanya masih terbelenggu dengan dosa termasuk saya.

Tetapi, Alhamdulillah jauh di sudut hati saya, saya mengagumi peraturan ini. Seolah-olah Allah S.W.T  ingin menjaga kami para pelajar wanita daripada terjerumus dalam dosa. Allah S.W.T  ingin menjaga kami daripada pandangan jahat lelaki berhati kotor. Allah S.W.T  ingin mendidik kami ke arah lebih solehah.
Bermulanya detik saya mengenali Allah S.W.T lebih dekat. Majlis-majlis ilmu yang dihadiri mula membuka hati saya yang tepu dengan dosa. Selain itu, ada beberapa senior yang bertudung labuh yang membuatkan hati saya terdetik:

"Kenapa mereka memilih pakai tudung labuh sedangkan MRSM tidak mewajibkan pelajarnya bertudung labuh".
Kagum. Mereka satu dalam sejuta. Permata di celahan kaca.
Satu kejutan apabila melihat seorang sahabat yang baru dikenali ketika orientasi yang pada awalnya bertudung segi tiga secara drastik bertukar kepada tudung labuh. Lalu, saya bertanya mengapa. Beliau dahulu bersekolah agama, ceritanya lebih kurang seperti saya.

Katanya, hatinya terdetik untuk berubah apabila menghadiri satu ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Zolkolnain Singah, ustaz yang kami kagumi, berkenaan mayat seorang lelaki yang berusia 18 tahun di Timur Tengah yang digali semula selepas tiga jam untuk dibedah siasat. Meskipun hanya tiga jam berada dalam liang lahad, mayatnya hampir tidak dikenali.
Rambutnya beruban, mulutnya dipenuhi darah, riak wajahnya ketakutan seolah-olah baru melihat sesuatu yang dahsyat, matanya tersembul keluar, tulang rusuknya patah seolah-olah dipukul oleh sesuatu, badannya dipenuhi darah dan lebam kesan paluan! La haulawala quwwata illa billlah.
Ayahnya memaklumkan apabila ditanya bahawa anaknya itu sepanjang hidupnya tidak pernah solat, minum arak, dan berzina.

 Lalu terdetik dalam hati sahabat saya andai kata beliau mati, apakah sudah bersedia dengan amalan yang dilakukan?
Adakah auratnya sudah sempurna ditutup?
Perubahan yang dirasakan agak payah tetap dilaksanakan demi kematian yang bakal menjelma. Ya, sahabat sekeliling memandangnya dengan kehairanan. Tetapi, semangatnya utuh.
Di awal tahun tingkatan lima, kami diwajibkan menyertai Kem Jati Diri yang menuntut kami beraksi lasak. Memanjat, berkayak, berenang dalam lumpur, berlari, mengangkat beban, denda kami adalah push up.
Saya terfikir bagaimana sahabat saya yang bertudung labuh itu menghadapi semua ini. Bayangkan dalam lumpur, dengan tudung labuhnya, dia masih kental beraksi. Saya kagum.

Lalu, saya mula mencari sebab kenapa perlu bertudung labuh. Allah S.W.T telah mengilhamkan. Meskipun saya bertudung seperti kebanyakan orang lain, yakni tudung segi tiga yang bagi saya sudah menutup aurat, tetapi saya berasa rimas dan takut untuk berada di hadapan lelaki.
Tudung saya tidak menutup sepenuhnya bahagian belakang. Seolah-olah mereka nampak apa yang sepatutnya mereka tidak nampak. Iaitu tali baju dalam. Maaf kerana agak peribadi. Tetapi ya, saya langsung tidak selamat. Apatah lagi jika memakai baju yang jarang dan nipis.
Satu lagi sebab, meskipun tudung saya melepasi dada, tetapi andai kata angin bertiup kencang, tudung akan terselak lalu dengan mudahnya dada kelihatan. Lalu saya meneliti kakak-kakak yang bertudung labuh, apabila tudung mereka ditiup angin, ia masih tidak menampakkan dada mereka. Kerana tudung itu labuh lalu ia menutupi bahagian sisi dada mereka. Subhanallah.

Ditakdirkan kami sekelas ketika tingkatan lima. Waktu itu saya mula mengubah cara pemakaian tudung sedikit demi sedikit. Daripada tudung bawal ke arah tudung cotton yang tebal.
Kemudian beralih ke tudung bidang 60. Terdetik juga mahu memakai shawl. Pendek kata saya masih mencari identiti. Tetapi di sekolah, saya tetap bertudung segi tiga kecil. Masih belum berani untuk konsisten.
Sehinggalah suatu ketika, entah kenapa, saya tiba-tiba teringatkan tudung labuh saya yang dipakai sewaktu sekolah agama dahulu yang kini hanya terperuk dalam almari. Lalu, saya meminta ibu mengirimkan tudung tersebut kerana saya mahu menjahit tudung labuh saya sendiri.
Bermakna saya mahu memakai tudung labuh. Keinginan itu disuarakan kepada ibu dan kepada sahabat saya tadi. Mereka gembira. Saya mendapat semangat. Lalu proses menjahit siap cuma tinggal mahu memakai ataupun tidak.

Tiba waktu prep, saya meminta roommate menemani saya menuju ke kelas. Alhamdulillah, kami tidak bertembung dengan sesiapa pun waktu itu. Saya selamat tiba ke kelas. Pandangan pertama sahabat sekelas tidak akan dilupakan.
Rasa malu menyelubungi lalu saya menyendiri di satu sudut untuk seketika. Tetapi sahabat sekelas saya ibarat adik-beradik sendiri, mereka berpura-pura tidak perasan akan perubahan itu demi menjaga hati saya. Lalu, prep pun berjalan seperti biasa. Saya tidak rasa janggal lagi.
Bermula dari hari itu, beberapa sahabat juga telah mula bertudung labuh, tetapi kami masih golongan minoriti. Beberapa pelajar lelaki yang mungkin tidak tahu kerap mengusik dengan kata-kata yang lebih kurang, "kaya betul lah korang, banyak duit nak beli kain!", "boleh buat sapu lantai lah kalau macam ni", "wei, ustazah, ustazah!".

Ketika kami masih "diusik", Allah S.W.T telah menenangkan hati kami melalui tulisan Fatimah Syarha dalam kolum beliau menerusi majalah Solusi. Masih saya ingat tajuknya "Corat-coret Kisah Tudung Labuh".
Pengalaman Fatimah Syarha bertudung labuh menaikkan lagi semangat kami untuk istiqomah. Lalu, saya dan sahabat terus menfotostat kolum itu dan ditampal ke semua kelas. Sebagai usaha kami membela wanita yang bertudung labuh.
Kelegaan yang amat. Bermula dari hari itu, kami kurang menerima usikan-usikan mereka.
Terima kasih Allah S.W.T kerana memberi ilham kepada Fatimah Syarha untuk menulis tentang tudung labuh. Hebatkan Allah S.W.T!

Kuncinya hanya satu, jika kita berubah kerana manusia, perubahan itu tidak akan kekal. Jika berubah kerana Allah S.W.T, tidak kira banyaknya dugaan, kita akan tetap konsisten. Insya-Allah.
Semoga pengalaman yang biasa ini dapat membantu.
-Artikel iluvislam.com