Seandainya kita diberi umur untuk hidup oleh Allah hingga 50 tahun
apakah yang akan kita lakukan untuk memanfaatkan umur tersebut? Andaikan
umur kita saat ini sudah 45 tahun, maka baki umur yang tersisa ada 5
tahun lagi, jika hari ini kita telah pun berumur 49 tahun, bererti sisa
umur kita ada 1 tahun lagi. 1 tahun itu adalah waktu yang sangat
singkat, tidak terasa detik demi detik, malah minggu demi minggu lalu
setahun itu telah pun berlalu, tidak terasa ajal sudah di depan mata,
jadi bagaimanakah persiapan kita menjelang kehidupan hakiki yang penuh
berkat?
Oleh yang demikian, Rasulullah SAW telah meninggalkan satu pesanan
yang amat berharga buat kita semua sebagai umatnya. Baginda telah
bersabda: “Memberi sedekah, menyuruh pada kebaikan, berbakti kepada
ibu bapa dan silaturahim dapat mengubah penderitaan menjadi kebahagiaan,
menambah berkat umur dan menolak kejahatan.” (Hadis riwayat Abu Naim).
Dengan ini, empat perkara di atas sangat perlu dititikberatkan oleh
kita semua sebagai umat Islam dalam meraih keberkatan hidup dan
keredhaan Allah demi mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Maka
seharusnya kita jadikan elemen tersebut sebagai “the way of life”.
Perkara pertama yang disentuh oleh Rasulullah S.A.W ialah bersedekah.
Semua orang mampu bersedekah kerana pemahaman sedekah itu tidak hanya
berupa bentuk fizikal seperti wang ringgit atau harta benda semata-mata.
Hatta yang tidak berharta pun masih mampu bersedekah, iaitu dengan
menggunakan tenaga kudrat fizikal tubuh badan untuk membantu orang lain.
Apatah lagi seandainya kita dianugerahkan Allah dengan kemewahan dan
sudah pasti lebih mudah untuk mengamalkan apa yang dianjurkan oleh
Rasulullah SAW itu.
Abu Hurairah pernah memberitahu bahawa Rasulullah SAW ada ditanyakan: “Wahai
Rasulullah SAW, sedekah apakah yang paling mulia? lalu Baginda
menjawab: “sedekah orang yang tidak mampu dan mulakanlah (memberi
sedekah) pada orang yang banyak tanggungannya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud).
Sabda Rasulullah ini adalah satu penghargaan besar kepada golongan
kurang berkemampuan yang masih bersemangat menghulurkan sedaya upayanya
memberikan sedekah kepada orang lain. Inilah keindahan dalam Islam
kerana sikap saling membantu dititikberatkan dalam membina masyarakat.
Melalui budaya bersedekah itu akan membentuk landskap masyarakat
penyayang dan prihatin. Perasaan kebersamaan dan semangat kekitaan pasti
wujud kukuh dan berakar umbi teguh dalam masyarakat yang saling
membantu melalui pemberian sedekah.
Perkara kedua yang disarankan Baginda SAW ialah bersikap sentiasa
menyuruh ke arah kemanfaatan dan kebaikan. Skop menyuruh kepada kebaikan
sebenarnya tidak hanya terhad kepada da’ie atau pendakwah saja malah
semua mukmin mesti berasa terpanggil untuk bersama-sama mengajak insan
lain kepada kebaikan. Menyuruh kepada kebaikan juga bermakna kita
melaksanakan seruan ke jalan Allah.
Atas sebab pentingnya aspek ini, Saidina Ali bin Abi Talib turut mewasiatkan kepada kita berbuat demikian. Kata beliau: “Serulah
manusia ke jalan Allah (amar makruf) dan cegahlah mereka daripada
kemungkaran (nahi mungkar) kerana apabila kedua-dua perkara ini
ditinggalkan, maka tunggulah kebinasaan umat ini.”
Jadi, apa saja kesempatan hidup seharusnya kita menggunakannya dengan
mengamalkan satu gaya hidup yang saling menasihati ke arah kebaikan.
Tidaklah wajar dalam sebuah masyarakat Muslim untuk saling menutup mata
seandainya melihat adanya sesuatu yang mungkar.
Seterusnya, aspek berbakti kepada kedua-dua ibu bapa juga diberitahu
oleh Rasulullah SAW sebagai elemen yang akan memancarkan keberkatan
kepada umur dan kehidupan kita. Senario semasa jelas masih banyak yang
tergamak mengabaikan perkara ini dan tidak menganggapnya sebagai penting
untuk dihayati.
Sesungguhnya persoalan mengabaikan aspek memelihara dan berbakti
kepada ibu bapa akan mengundang laknat Allah dan pastinya seksa maha
pedih menanti anak yang derhaka itu. Seseorang anak yang derhaka dan
mengabaikan tanggungjawabnya kepada ibu bapa tidak mungkin memperoleh
keberkatan dalam apa saja di atas dunia ini, apatah lagi di akhirat
kelak.
Allah mengingatkan kita yang bermaksud: “Sembahlah Allah dan
janganlah kamu menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat ihsanlah
(berbuat baik) kepada kedua-dua ibu bapa.” (Surah An-Nisa; ayat 36). Ini perintah Allah dan sesiapa ingkar mematuhinya bermakna melakukan satu dosa besar di sisi-Nya.
Perkara keempat memanfaatkan umur dan memberikan kebahagiaan
kehidupan kita dengan sentiasa memelihara hubungan sesama insan sama ada
dengan ibu bapa, kaum kerabat, jiran tetangga dan juga sesama ummah.
Pesan Rasulullah SAW bermaksud: “Sesiapa yang ingin murah rezeki dan
panjang umurnya, hendaklah dia menyambung hubungan dengan saudaranya
(silaturahim). (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).Namun, senario hari
ini jelas menunjukkan fenomena bertegang leher dan berpisah-pisah sudah
semakin menebal dalam masyarakat.
Justeru itu marilah kita sama-sama memanfaatkan nikmat umur, kerana
kita tidak tahu di mana dan bilakah penghujung kepada kehidupan ini.
Sementara Allah masih memberi peluang untuk kita terus hidup, maka
manfaatkanlah ia dengan sebaik-baiknya dan bersegeralah untuk melakukan
kebaikan, kerana kita tidak tahu apakah masih ada lagi hari esok untuk
kita? Jika di dunia kita manfaatkan maka bahagia menunggu kita di
akhirat kelak.
Suasana dan Iklim Bilik Darjah
9 years ago