Pages

Monday 23 January 2012

11 Doa yang cepat diperkenankan oleh Allah



1. Doa dari para Malaikat.2. Doa dari para nabi dan rasul.3. Doa dari raja, pemerintah atau pemimpin yang adil.4. Doa dari orang yang soleh dan bertaqwa.5. Doa kedua ibu bapa ke atas anak-anaknya.6. Doa dari anak yang soleh kepada kedua ibu bapanya.7. Doa dari orang yang dizalimi atau dianiaya.8. Doa dari orang yang berpuasa.9. Doa dari orang tua dan kanak-kanak.10. Doa dari orang yang sakit dan berada dalam kesusahan.11. Doa dari orang yang keluar bermusafir pada perkara yang diharuskan oleh syara'.________________________________________________________

10 sebab-sebab doa tidak diperkenankan oleh Allah


1. Kita mengaku mengenali Allah tetapi tidak pernah menunaikan akan hak-hakNya dengan melaksanakan segala surahan-Nya serta meninggalkan segala larangan-Nya.

2. Kita mengakui menyintai Rasulullah tetapi tidak pernah sekali pun mengikuti sunnahnya.

3. Kita mengakui bahawasyaitan itu adalah musuh yang paling ketat tetapi masih patuh dan mengikuti segala hasutannya.

4. Kita sering membaca kitab suci Al-Quran tetapi tidak pernah mengamalkan segala isi kandungnya.

5. Kita sentiasa berdoa supaya dijauhkan dari seksaan api neraka tetapi dalam masa yang sama kita masih melakukan maksiat dan dosa.

6. Kita sering mengumpat dan mendedahkan keaiban saudara seagama kita tetapi tidak pernah melihat kepada keaiban sendiri.

7. Setiap hari kita mendapat nikmat dan rezeki yang Allah beri tetapi tidak pernah sekalipun mahu bersyukur dan berterima kasih kepada-Nya.

8. Kita mengiringi dan mengebumikan jeazah di perkuburan tetapi tidak pernah mahu mengambil iktibar dari kematian itu.

9. Kita tahu dan yakin bahawa kematian itu pasti berlaku tetapi tidak membuat persiapan untuk menuju ke sana.

10. Kita sentiasa berdoa supaya dimasukkan ke dalam syurga dan ditempatkan bersama orang-rorang soleh tetapi tidak pernah berusaha mendapatkannya.

________________________________________________________

Adab-adab dalam berdoa


1. Berdoa dalam keadaan diri masih berwuduk serta bersih dari sebarang kotoran, hadas dan najis.

2. Memulakan doa dengan membaca 'Bismillah' dan ucapan memuji-muji Allah serta berselawat ke atas Nabi Muhammad.

3. Mengadap ke Kiblat.

4. Memohon ampun dengan merendahkan diri serta mengakui akan kesalahan diri di atas dosa dan kesilapan yang telah dilakukan sebelum berdoa.

5. Berdoa dan memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh serta memahami segala isi kandungan dan maksud doa.

6. Berdoa dengan penuh khusyuk, tawaduk dan ikhlas serta merendahkan diri.

7. Mendahulukan doa dan permintaan untuk diri sendiri terlebih dahulu sebelum berdoa untuk mereka-mereka yang lain.

8. Berdoa dan mengulangi bacaan doanya sebanyak 3 kali bagi sesuatu hajat yang lebih berat atau yang lebih diutamakan.

9. Menghindari diri dari sesuatu yang ditegah dan dilarang oleh agama sama ada pada makanan, minuman, pakaian ataupun pekerjaan.

10. Berdoa untuk kaum muslimin dan muslimat secara seluruhnya untuk kesejahteraan mereka tidak kira yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia. 

Saturday 21 January 2012

Isteri nya telah kembali...... | Kisah Tauladan dan Panduan

Kisah ini saya petik dari suatu laman web… Kisahnya benar² menyentuh hati. Buat wanita yang bakal bergelar isteri, jadikan kisah ini sebuah pedoman. Buat lelaki, kisah ini boleh disampaikan buat mereka yang berkenaan.

Akhirnya setelah dua tahun menghilang diri, Normah kembali ke rumahnya. Seperti dahulu, dia masih cantik bergaya. Lenggoknya masih gemalai, pinggang masih ramping, gincu masih merah dan mekap masih tebal. Jika berselisih, aroma pewanginya masih kuat menusuk hidung. Namun bezanya, Normah kelihatan tidak begitu ceria. Zahirnya dia begitu anggun tapi wajahnya terlukis warna yang muram dan lesu. Tutur katanya perlahan dan tidak bermaya seperti orang keresahan.

“Kenapa awak balik? Pergilah ikut jantan. Awak tak ada pun saya boleh jaga anak-anak kita ni!!” jerkah suaminya, Halim sebaik melihat Normah pulang dengan menjinjing sebuah beg besar.

Normah tidak menjawab kerana dia tahu, itu memang salahnya. Dia cuma berdiri di pintu dan menundukkan muka. Halim sebaliknya terus membelasah isterinya itu dengan kata-kata keras. Sudah lama geram itu menggelodak di hati, lalu inilah masa untuk melepaskannya.

Normah masih terpaku di muka pintu. Dikesat air mata yang bergenang. Tiada sepatah perkataan pun di balasnya kata-kata Halim itu kerana hajatnya pulang bukanlah untuk bertengkar. Hasratnya Cuma satu, untuk pulang ke pangkuan suami dan anak-anak.

Jika diikutkan hati memang hendak dihalaunya Normah, tapi disebabkan anak-anak, Halim menahan juga kemarahannya. Dibiarkan Normah masuk ke rumah yang telah lebih dua tahun ditinggalkannya itu.

Bagi Halim, kepulangan Normah tidak membawa apa-apa erti lagi dalam hidupnya. Malah ia cuma memulakan semula kekalutan yang sudah dirungkaikannya, mengeruhkan hidup yang mula jernih dan memarakkan semula api yang telah dipadamkan.

Dua tahun dahulu, Normah meninggalkan Halim dan dua anaknya, Iffa, 5, dan Aina, 2.Yang ditinggalkan hanyalah sekeping nota menyatakan yang dia ingin hidup bersama kekasihnya.

” Saya rasa kita dah tak ada persefahaman lagi. Saya mahu hidup bahagia dengannya” demikian antara lain nota yang ditinggalkannya untuk Halim.

Kesalnya dia dengan tindakan Normah tidak terkata. Halim akui sejak akhir-akhir ini Normah sudah berubah. Kalau dulu layanannya begitu baik, sekarang mula dingin. Pantang silap sedikit, mulalah naik angin. Kata-katanya pula, selalu saja diiringi sindiran. Sudahlah begitu, sering pula Normah meminta barang-barang mewah di luar kemampuan Halim. Itulah yang menghairankan Halim.

Lama-kelamaan, Halim terhidu pula berita Normah menjalin hubungan sulit dengan lelaki berada. Dia ada bertanya tentang hal itu, namun Normah lantas menafikannya. Walaupun Halim menekannya dengan cerita dan bukti-bukti, tapi Normah tetap tidak menidakkannya. Malah dituduh pula suaminya cemburu buta. Nah, sekarang terbukti sudah kebimbangannya itu. Tapi apa yang boleh dilakukan, nasi sudah menjadi bubur.

Sejak Normah meninggalkannya, hidup Halim tidak terurus. Terpaksalah dia membesarkan anaknya itu sendirian. Dialah ibu dialah bapa. Dengan gajinya sebagai penyelia kilang yang tidak seberapa dan menyewa pula di sebuah rumah di pinggir Kuala Lumpur, tentulah sukar untuk dia menguruskan hidup.

Kalau kanak-kanak lain selalu bertukar pakaian, anak-anaknya dengan baju dua tiga pasang itulah. Makan yang mewah jauh sekali, kecuali apabila dia mendapat gaji. Rutin hidupnya, awal pagi menghantar anak-anaknya ke rumah ibunya dan malam menjemput mereka pulang. Dialah yang memasak dan mengemas rumah. Kadangkala adik perempuannya turut membantu menguruskan keluarganya.

Memang hidupnya sukar, tapi Halim belum tergerak untuk berkahwin lagi. Baginya, biar susah macam mana pun, semua halangan itu akan dirempuhinya. Tambahan pula Normah masih tidak diceraikan.

Halim juga mahu membuktikan kepada Normah bahawa tanpa wnita itu, dia boleh menguruskan keluarga. Dan juga, kalau kemewahan yang menyebabkan Normah meninggalkannya, Halim ingin buktikan bahawa tanpa wang yang banyak sekalipun dia boleh hidup bahagia.

Ternyata tanpa Normah, Halim mampu membesarkan anak-anaknya seperti ibu bapa lain. Iffa dan Aina juga kian lama kian melupakan ibu mereka. Malah melihat gambar pun mereka benci. Bukan Halim yang menghasut tapi kerana Normah sendiri yang bengis terhadap anak-anak.

Kerana itulah, kepulangan Normah membangkitkan semula kemarahan Halim. Tambahan pula Halim mendapati ada sesuatu yang tidak kena dengan perut Normah. Ia membuncit seperti sedang hamil. Bagaimanapun dia tidak mahu bertanya kepada wanita itu.

“Tempat awak di sana!” kata Halim menunjukkan Normah ke arah sebuah bilik kecil. Di dalamnya ada sebuah tilam bujang yang kusam. Bertompok sana, bertompok sini. “Nak alas, cari sendiri,” kata Halim, lalu menyindir “itupun kalau awak ingat kat mana nak cari….” Normah ditinggalkan sendirian.

Malam itu, Normah tidur seorang diri dalam bilik sempit dan penuh barang-barang. Sementara Halim tidur bersama dua anaknya di bilik lain. Bila anak-anaknya pulang, Normah cuba membelai mereka tapi Iffa dan Aina segera menjauhkan diri. Dipujuk dengan bermacam-macam cara pun tidak berkesan. Terpaksalah Normah membawa diri ke dalam bilik dan menangis teresak-esak.

Begitulah keadaan mereka setiap hari. Normah menjadi orang asing di dalam rumahnya sendiri sementara Halim meneruskan hidup seperti biasa. Mereka tidur berasingan dan setiap pagi, anak-anak dihantar ke rumah ibunya tidak jauh dari situ.

Ternyata telahan Halim tepat. Dari sehari ke sehari dilihatnya perut Normah semakin membusung. Lain macam bulatnya. Setelah didesak dan dijerkah berkali-kali, Normah terpaksa mengaku dirinya berbadan dua.

“Aku dah agak. Patutlah awak balik…nak suruh aku jadi bapak pada budak tu, kan? Nak jadikan aku pak sanggup?” Halim melepaskan paku buah keras. “Bukan macam tu bang, saya…” tapi belum pun sempat Normah menghabiskan cakap, Halim memintas ” Saya apa?! Saya tak buat benda tak senonoh tu? Budak tu anak aku? Tolong sikit….bila masa aku sentuh badan kau tu? Hah?”

Bagi menutup malu, Normah memakan makanan yang tajam, pedas dan berasid untuk menggugurkan kandungannya, tetapi gagal. Perutnya terus-menerus membesar. Gagal cara itu, dia pergi ke klinik swasta pula. Bagaimanapun doctor tidak mengizinkan kerana risikonya terlalu tinggi. Kata doktor, kandungannya sudah besar dan jika digugurkan, ia boleh mengundang maut.

Semakin hari jiwa Normah semakin tertekan. Perut kian memboyot sedangkan anak dan suami pula tidak menghiraukan kehadirannya. Dia menjadi melukut di tepi gantang dalam rumah sendiri. Suami menjauhkan diri bila hendak mengadu dan anak pula tidak menganggapnya ibu untuk mereka bermanja.

Tidak ada jalan lain, Normah meminta Halim menghantarkan dia ke rumah ibunya. Tentu saja Halim tidak membangkang. Memang itu yang dia mahukan. Namun sambutan ibu bapanya juga mengecewakan.

“Dua tahun kamu tinggalkan suami dan anak, tiba-tiba baru dua bulan balik perut kamu dah besar macam ni. Huh…memang patut pun Halim buat macam ni. Kamu derhaka pada dia!” kata bapa Normah, Haji Shafie bila mendapati anaknya itu hamil.

Dari sehari ke sehari tekanan perasaannya tambah menebal. Ia kian merundung bila tumbuh pula cacar di badannya. Dari kecil ia membesar, dan dari sebiji-sebiji ia merata memenuhi badan. Di dalam cacar itu, menguning nanah busuk dan jelik baunya. Pada waktu yang sama, Normah mengidap darah tinggi pula.

Tekanan perasaan yang melampau itu menyebabkan Normah dibawa oleh ibu bapanya berjumpa dengan pakar jiwa. Bermacam-macam ubat dan rawatan diberikan tapi ternyata begitu sukar untuk dia dipulihkan. Disebabkan badannya terlalu lemah, doktor mencadangkan supaya Normah bersalin melalui cara pembedahan apabila usia kandungannya mencecah tujuh bulan lebih sedikit.

Pada waktu yang ditetapkan, Normah dimasukkan ke wad. Seminggu sebelum dibedah, dia mula meracau-racau dan meraung. Bermacam-macam dijeritkannya tanpa hujung pangkal. Dimaki hamunnya emak dan ayah serta jururawat yang datang. Kemudian Normah menangis pula hendak balik dan melihat anak-anak.

Dalam keadaan yang kritikal itulah ayahnya, Pak Cik Shafie menelefon saya dan menceritakan keadaan anaknya itu secara ringkas. ” Pak cik tak mahu nak salahkan sesiapa. Dua-dua ada buat silap. Tapi sekarang ni pak cik minta ustaz usahakanlah ubat anak pak cik tu,” katanya. Daripada suaranya itu saya tahu dia sedang menahan sebak.

“Saya di Sarawak sekarang ni pak cik. Dua hari lagi saya balik. Tapi buat sementara ni, usahakan baca Yasin dulu. Bila saya balik nanti, saya terus ke sana,” jawab saya. Sekembalinya ke Semenanjung saya terus menziarahi Normah. Keadaannya sama seperti yang diceritakan oleh bapanya.Mengerang kesakitan, meracau, meronta-ronta, dan bercakap tidak keruan. Keadannya ketika itu memang menyedihkan kerana dalam keadaan perut memboyot dia meraung seperti hilang akal.

Namun timbul pertanyaan di fikiran saya selepas dibacakan Yasin, keadaan Normah bertambah buruk. Keadaanya ibarat mencurah minyak ke api, makin disiram makin besar maraknya. Ibu bapa dan adik beradik Normah menangis milihat keadaan dirinya.

“Pak cik mana suami dengan anak-anaknya?” saya bertanya bila melihat suami dan anak-anak Normah tidak menziarahinya.

” Itulah yang saya nak cakap pada ustaz. Saya dah pujuk, rayu dia datanglah tengok anak saya ni. Kata saya, walau besar mana pun dosa anak saya, kalau dia menderhaka sekalipun, tapi dalam keadaan macam ni bukankah elok kalau dia di ampunkan? Tapi dia tak mau. Jengah pun tidak,” kata Haji Shafie kesal.

“Dia marah lagi agaknya,” saya menyambung.

“Saya tau… kalau jadi pada kita pun kita marah. Saya bukanlah nak salahkan dia, tapi yang sudah tu sudahlah. Anak saya pun bersalah, saya mengaku,” tambah Haji Shafie.

“Kalau macam tu,” tambah saya,” bawa saya jumpa menantu pak cik tu. Insya-Allah kita sama-sama pujuk dia.”

Seperti yang dipersetujui, beberapa hari kemudian saya dibawa oleh Haji Shafie berjumpa dengan menantunya itu.

“Yang sudah tu sudahlah Lim, ampunkanlah dia. Normah tengah tenat tu,” Haji Shafie merayu.

” Dua tahun dia tinggalkan kami anak beranak. Balik-balik, mengandung…suami mana yang tak marah, ayah ?. Mana saya nak letak muka saya ni ? Dayus, pucuk layu , tak ada punai, tak tau jaga bini, macam-macam lagi orang hina saya…’ tambah Halim melepaskan segala yang terbuku di hati. Bermacam-macam lagi di rungutkan hingga tidak sanggup kami mendengarnya.

” Ayah faham perasaan kau. Ayah tau Normah yang salah, derhaka pada kau , tapi dia tengah tenat sekarang ni,” Haji Shafie merayu lagi , Halim tidak menjawab sepatah pun Nafasnya saja yang turun naik manakala muka merah padam menahan marah.

Bila keberangan nya semakin reda saya menasihatkan Halim supaya melupakan perkara yang telah berlalu itu. “Mengampunkan orang lain lebih baik daripada membalas dendam . Isteri awak menderita sekarang ini pun sebab dia sudah sedar dengan kesalahan dia, jadi eloklah awak maafkan,” kata saya.

Lalu saya ..hadis dan firman Allah berkaitan …Ternyata Halim sudah berpatah arang berkerat rotan . ” Saya tak akan jenguk dan saya tak akan ampunkan dia. Isteri durhaka ! ” katanya.

Sampailah hari Normah di bedah , Halim langsung tidak menjengukkan mukanya. Iffa dan Aina juga di larang daripada menjengah ibu mereka. Bagaimanapun , di sebabkan keadaan Normah yang tenat, makan minum tidak menentu , bayi yang di lahirkannya meninggal dunia beberapa hari kemudian. Normah pula sejak sedar daripada pembedahan semakin teruk jadinya.

Setiap hari, terutamanya tengah malam dan senja dia akan meracau. Yang mengaibkan , racauannya kini mendedahkan segala pelakuan jelik yang di lakukannya selama meninggalkan Halim dan anak-anak.

Antaranya, Normah menceritakan yang dia telah mengikut lelaki hingga ke Siam dan kemudian hidup seperti suami isteri. Selepas berpisah dengan lelaki itu, dia bersekedudukan pula dengan lelaki lain. Tidak kurang dengan tiga lelaki telah dia berzina.

“ Abang ..ampunkanlah saya. Saya derhaka, saya jahat, saya malukan abang…maafkanlah saya…”dia terus menangis dan meratap.

Setiap hari bermacam-macam rahsia di dedahkannya; tentang tempat-tempat maksiat yang pernah dia pergi bersama teman lelaki, kawan-kawan lain yang sama saja perangai dengannya juga kekecewaannya bila dipermainkan lelaki-lelaki terbabit.

“ Abang , Iffa, Aina…marilah tengok emak . Emak tak jahat lagi,. Emak nak jadi baik. Emak nak jadi lawa, pandai, suka masak, kita pergi sungai…” ratapnya lagi bercampur dengan kata-kata yang melalut.

Tidak dapat hendak di gambarkan bagaimana malunya Haji Shafie dan isterinya setiap kali Normah menelanjangkan keburukannya sendiri. Berbagai-bagai cara mereka lakukan supaya Normah berhenti meracau seperti menutup mulut, memujuknya diam dan kadangkala turut sama bercakap supaya orang-orang di sekeliling tidak mendengar , tetapi usaha itu tidak berhasil.

Setelah hampir sebulan Normah mendedahkan kecurangannya, keadaan wanita itu bertambah parah. Tekanan darahnya menurun dan kerap tidak sedarkan diri. Badannya yang kurus makin melidi kerana Normah tidak mahu menjamah makanan. Yang di lakukan sepanjang hari hanyalah menangis dan meminta ampun kepada Halim. Setelah itu dia kembali terkulai tidak sedarkan diri.

Haji Shafie sekali lagi menemui saya.

“Ustaz pujuklah menantu saya tu. Mintalah dia datang jenguk Normah dan ampunkan lah kesalahan dia. Memang anak saya bersalah , tapi dalam keadaan sekarang, Cuma keampunan suami saja yang boleh selamatkan dia,” kata haji Shafie. Isterinya sejak tadi saya tengok tiada berhenti-henti mengesat air mata .

” Kalau begitu, mari kita pergi jumpa Halim,” kata saya.

Puas kami memujuknya . Alhamdulillah, setelah berbagai-bagai alasan di beri, akhirnya Halim bersetuju. Bagaimanapun saya lihat dia seperti terpaksa saja. Langkahnya berat dan nampak kurang ikhlas.

” Sudahlah Lim, lupakan yang lepas-lepas. Buangkan dendam, gantikan dengan kemaafan. Insya-Allah, semua pihak akan dapat keberkatanNya,” kata saya semasa Halim hendak memasuki kereta. Dia cuma tersenyum tawar.

Demi terpandang saja Halim datang menjenguk, Normah dengan suara yang amat lemah memohon maaf kepada suaminya itu.

“Sa..sa..ya der…haa..ka pada abaaaang..” katanya antara dengar dengan tidak. Sambil air mata jatuh berlinangan, dia mengangkat tangannya untuk meminta maaf, tapi terlalu sukar. Ibunya cepat-cepat membantu.

“Yalah…”jawab Halim perlahan lantas menyambut tangan Normah. Reaksinya masih tawar. Dia belum benar-benar ikhlas.

Petang itu kami bersama-sama membacakan surah Yasin dan ayat-ayat suci al-Quran untuk Normah yang kelihatan semakin teruk. Bagaimana pun bila Normah meminta ampun sekali lagi, saya lihat Halim semakin ikhlas menyambutnya. Saya tersenyum. Mungkin hatinya sudah sejuk melihat penderitaan Normah.

Lebih kurang pukul 5.00 petang saya meminta diri kerana ada urusan penting. Sebelum pulang saya berpesan; ” Lim, sekarang ni awak saja yang boleh selamatkan Normah. Dia harapkan sangat keampunan daripada awak. Selepas itu, serahkan kepada Allah. Kalau sembuh, alhamdulillah, kalau tidak biarlah dia pergi dengan aman “.

” Terima kasih ustaz,” balas Halim.

Seminggu kemudian Halim datang ke rumah saya dan memaklumkan bahawa Normah telah meninggal dunia. Bagaimanapun, dia membawa juga kisah yang menginsafkan mengenai pemergian Normah.

“Ustaz,” Halim memulakan ceritanya, “Malam tu Cuma tinggal saya dan anak-anak saja duduk di tepi Normah. Ibu dan bapa dia ke kantin untuk makan. Bila saya bacakan Yasin , saya tengok air mata arwah mengalir setitik demi setitik. Saya tau dia benar-benar insaf dengan kesalahannya dulu, curang pada saya, derhaka pada suami, tinggalkan anak-anak.”

“Sampai di ayat salamun qaulam mirrabir rahim, saya ulang tiga kali. Setelah habis, saya usap dahi arwah. Saya lakukannya dengan ikhlas sebab tidak sampai hati tengok hati dia menderita.”

” Setelah menciumnya tiga kali tiba-tiba dia nazak. Nafasnya di tarik dalam-dalam tapi nampak susah sangat. Sekejap kemudian nafasnya laju, tapi lepas itu lambat betul. Saya cemas. Dah dekat ke?”

“Tiba-tiba Aina menangis Entah apa yang di gaduhkan dengan kakaknya saya pun tak tau . Kuat betul dia menangis sampai saya tak sanggup nak dengar. Berbelah bagi juga sama ada antara anak dan isteri yang tengah sakit, tapi bila fikirkan tangisan budak itu mengganggu pesakit lain, saya terus ambil Aina dan pujuk dia. Susah pula nak pujuk dia hari tu sampai terpaksa dukung dan bawa ke luar wad.”

“Namun bila kembali ke wad, saya dapati Normah dah tidak bernafas lagi.”

“Luka memang berdarah lagi, ustaz, tapi bila dia meninggal tanpa ada sesiapapun di sebelahnya, menitis juga air mata saya. Yalah, kalau orang lain pergi dengan baik, ada orang tolong bisikan syahadah, bacakan Yasin, dia pula pergi macam tu. Agaknya itulah balasan untuk isteri yang derhaka ‘.”

Cukup menginsafkan? Ambil iktibar dan sampaikanlah pada yang lain. Wallahualam

Sunday 15 January 2012

ini teladan cintaku....:)



Ini kisah mereka.. kisah cinta yang insyaAllah membawa ke syurga.

Kata mak..

Mak abah berjumpa di program. (Mungkin tamrin sebenarnya) Program akhir tahun siswa siswi universiti.

Kata mak, ketika itu mak sedang menuruni tangga, dan terpandang abah. Itulah kali pertama mereka berjumpa mungkin. Cinta pandang pertama.

Mak muslimah yang solehah, beriman. Bertudung labuh dan berjubah lembut. Mak mempunyai wajah yang indah subhanAllah. Cantik dan menyenangkan. Mak pernah dipinang, malah beberapa kali. Alhamdulillah, mak senantiasa bergantung pada Allah. Setiap pinangan, mak akan istikharah. Pernah hadir sebuah pinangan untuk mak, yang mak istikharah ke atasnya. Dan kata mak..

"Mak mimpi mak pakai pakaian pengantin.. indah.. tapi mak pelik.. kenapa baju pengantin mak tak habis dijahit.. tak lengkap.."

Dan pinangan abah datang. Hadir, Seakan angin yang menyampaikan sinar bahagia yang menenangkan.. dan pada Allah, mak bergantung harap. Mak sekali lagi istikharah.

Dan Allah mengurniakan. Juga tanda dalam mimpi.

Mak lihat..

"Mak sembahyang,. mak solat.. dan abah.. abah yang menjadi imam.. abah yang menjadi pemimpin.."

Cerita mak sambil tersenyum..

Dengan redha, mak menerima, dengan cita-cita menjadi isteri yang solehah. Alhamdulillah.

Aku pernah melihat surat mak pada abah semasa pertunangan. Surat cinta dahulu kala. Aku tersenyum. Hehe. Membahagiakan. Aku pernah melihat buku haraki yang dihadiahkan mak pada abah, dengan kata-kata semangat seorang muslimah kepada mujahid. Agar terus tetap dalam perjuangan. Oh, bahagianya..

Mak selalu cerita tentang kenangan manisnya..

Dulu, ketika mak mengidam mengandungkan anak sulungnya, iaitu aku, mak pernah teringin untuk makan buah, dan abah belikan 2 bekas besar khas untuk mak. Ketika mak dalam pantang dan terasa meikmati keindahan minuman, abah hadir dengan satu jug besar. Cerita mak sambil tersenyum.

Dan begitulah abah, terlalu baik. Amat baik. Dan hidup mak senantiasa bersama abah.

Mak kadang-kadang sakit. Pernah mak pengsan dua kali. Pernah mak memasuki wad. Pernah kami sekeluarga mengalami detik-detik yang amat mensyahdukan. Abah pangku mak, dan abah menangis. Aku sebak melihat abah menangis. Dan aku tak pernah melihat abah menangis seperti itu sebelum ini. Dan abah, benar-benar menjaga mak dengan sepenuh jiwa dan raga.

Cerita mak..

Ketika sama-sama menunaikan haji. Ketika semua jemaah sudah pulang, abah masih belum pulang walaupun sudah 2 jam berlalu. Mak risau.

Dan kelihatan abah..

"Abang ke mana? Risaunya ani.."

"Abang buat tawaf, dua kali.. satu untuk abang, dan satu untuk ani.." kata abah sambil tersenyum.

Mak terharu, biasanya tawaf setengah jam. Tapi disebabkan ramai orang, jadi sejam. Dan abah sanggup buat untuk mak.

Abah dan mak selalu berlumba untuk beribadah..

"Abang buat solat sunat tasbih lagi banyak daripada ani.."

"Isk, ani tak boleh sembahyang boleh lah abang potong.."

Dan abah hanya ketawa.

Dalam sunat tasbih, dalam solat tahajjud, dan pelbagai perkara. Di rumah ada sebuah buku. Amalan harian di bulan ramadhan, amalan setiap hari. Dan abah dan mak selalu berebut untuk buku tersebut. Selalu bertukar tangan.

Pernah mak tanya,

"Abang suka ani marah-marah, tapi sihat ke.. atau ani diam, tapi ani sakit.."

"Tentulah abang suka ani sihat, walaupun marah-marah.." jawab abah..

Dan bila mak teringinkan sesuatu, abah akan usaha membahagiakan mak. Abah seorang tukang masak yang baik. Amat baik.

Dan abah selalu membanggakan mak.

Ke mana mak pergi, mak bangga bila orang berkata. Dan selalu berkata.

"Beruntung Ani dapat suami macam tu.."

Mak gembira.

Kadang-kadang mak pening kepala. Abah akan belai kepala mak. Bacakan ayat al-quran dengan penuh kasih sayang. Dan itu amat menenangkan mak..

Pernah mak berkata..

"Abah terlalu baik, amat baik.. Sehinggakan mak penah terfikir, jika abah mengimpikan untuk berkahwin baru. Mak akan izinkan, mak akan benarkan.. Abah terlalu baik, dan mak senantiasa inginkan kebahagiaan abah.."

Dan abah selalu membanggakan mak, hingga saat terakhir. Hingga abah kini,

Sudah tiada.

Pergi untuk bertemu cinta agungnya..

Abah membanggakan mak dengan senyuman manisnya walaupun abah sudah tiada. Senyuman yang meredakan tangisan kami. Abah membanggakan mak dengan pujian sahabat abah kepada jenazah.

Mak sedih, terlalu sedih. Mak peluk dan belai abah.

Ketika tangisan mak mereda. Mak berkata..

"Senyuman abah sinis, seperti senyumannya selalu untuk mengusik mak.."

Mak seakan tak lalu makan. Dan aku cuba menyuap. Mak menahan sambil menangis.

"Jangan suap mak, mak akan teringatkan abah.."

Mak tak boleh mendengar deringan telefon.

"Mak berharap sangat yang telefon tu abah.."

Mak terus menangis.. Sebentar mak tersenyum.

"Abah terlalu baik, sehinggakan nak mencari keburukan, susah sangat.. kecuali satu.. suara abah yang tak sedap.. Itupun mak rindukan sangat suara tu..." ujar mak..

Menarik nafas. Dalam. Amat dalam.

"Nadwan, mak perlu kuat kan? Sebab abah dah pergi dengan baik sangat. Jadi mak kena gembira. Mak kena gembira bila abah gembira. Abah, dah bahagia sangat hingga senyum begitu sekali. Mak juga nak jadi macam abah. Mesti abah dan dapat bidadari yang cantik-cantik kan?Agak-agak abah ingatkan mak lagi tak?.. "

Mak terus tersenyum.

"Mak nak buat ibadah banyak-banyak.. mak nak jadi macam abah.. mak nak masuk syurga sama-sama... sampai nanti.. insyaAllah.. mak nak jadi ketua bidadari untuk abah di syurga nanti..."

Dan hati seorang isteri terus tabah. Mendamba penuh harapan dalam tangisan penuh kerinduan...

Friday 13 January 2012

7 Sunnah Rasulullah



Cerdasnya orang yang beriman adalah, dia yang mampu
mengolah hidupnya yang sesaat, yang sekejap untuk hidup yang panjang. Hidup bukan untuk hidup, tetapi hidup untuk Yang Maha Hidup. Hidup bukan untuk mati, tapi mati itulah untuk hidup.

Kita jangan takut mati, jangan mencari mati, jangan lupakan mati, tapi rindukan mati. Kerana, mati adalah pintu berjumpa dengan Allah SWT. Mati bukanlah cerita dalam akhir hidup, tapi mati adalah awal cerita sebenarnya, maka sambutlah kematian dengan penuh ketakwaan.

Hendaknya kita selalu menjaga tujuh sunnah Nabi setiap hari. Ketujuh sunnah Nabi SAW itu adalah:

Pertama,
tahajjud, kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya.

Kedua,
membaca Al-Qur'an sebelum terbit matahari Alangkah baiknya sebelum mata melihat dunia, sebaiknya mata membaca Al-Qur'an terlebih dahulu dengan penuh pemahaman.

Ketiga,
jangan tinggalkan masjid terutama di waktu shubuh. Sebelum melangkah kemana pun langkahkan kaki ke masjid, kerana masjid merupakan pusat keberkahan, bukan kerana panggilan muadzin tetapi panggilan Allah yang
mencari orang beriman untuk memakmurkan masjid Allah.

Keempat,
jaga solat dhuha, kerana kunci rezeki terletak pada solat dhuha.


Kelima,
jaga sedekah setiap hari. Allah menyukai orang yang suka bersedekah, dan malaikat Allah selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari.

Keenam,
jaga wudhu terus menerus kerana Allah menyayangi hamba yang berwudhu. Kata khalifah Ali bin Abu Thalib, "Orang yang selalu berwudhu senantiasa ia akan merasa selalu solat walau ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, ampuni dosa dan sayangi dia ya
Allah".

Ketujuh,
amalkan istighfar setiap saat. Dengan istighfar masalah yang terjadi kerana dosa kita akan dijauhkan oleh Allah.

Zikir adalah bukti syukur kita kepada Allah. Bila kita kurang bersyukur, maka kita kurang berzikir pula, oleh kerana itu setiap waktu harus selalu ada penghayatan dalam melaksanakan ibadah ritual dan ibadah ajaran Islam lainnya.

Zikir juga merupakan makanan rohani yang paling bergizi, dan dengan zikir berbagai kejahatan dapat ditangkal sehingga jauhlah umat manusia dari sifat-sifat yang berpangkal pada materialisme dan hedonisme

Sunday 8 January 2012

Adakah lagi manusia seperti mereka ini?


Seorang pemuda sedang dalam satu perjalanan yang jauh, berasa amat letih. Dia pun berhenti berehat di satu kawasan perkampungan dan melepaskan kudanya mencari makan di situ. Oleh kerana keletihan, pemuda itu tertidur di bawah pokok. Kudanya yang kelaparan merayau di satu kawasan ladang dan meragut tanaman di situ. Tidak berapa lama kemudian, sang petani yang memiliki ladang itu pun balik. Melihatkan habis tanamannya musnah, petani itu hilang kesabaran lalu membunuh kuda yang memakan tamannya.

Apabila terjaga dari tidur, pemuda itu mencari kudanya. Puas dia mencari tidak juga berjumpa. Akhirnya dia ternampak bangkai kudanya di sebuah ladang. Melihat keadaan itu, dia menjadi marah dan mencari pembunuh kudanya. Dia terus meluru ke sebuah rumah berhampiran.Sebaik saja menjumpai tuan rumah, dia terus menghamun dan berlakulah pergaduhan dan akhirnya petani itu terbunuh.
Peristiwa itu diketahui orang ramai. Pemuda itu dibawa berjumpa khalifah untuk diadilkan. Mengikut hukum qisas, bunuh dibalas dengan bunuh. Khalifah memerintahkan supaya dia dipenjarakan sehari semalam sebelum dia dipancung pada jam 5:00 keesokan petangnya. Pemuda itu merayu supaya dia dibenarkan balik dahulu berjumpa ibunya untuk menyelesaikan satu perkara yang amat mustahak.Khalifah tidak meluluskan rayuan pemuda itu. Namun pemuda itu tidak berputus asa dan terus merayu sambil menyatakan dia mempunyai tanggungjawab yang mesti diselesaikan sebelum dia dihukum bunuh. Dia berjanji akan balik segera sebaik saja urusannya selesai.

Khalifah meminta pandangan waris si mati. Anak petani itu tidak mengizinkan pemuda itu pergi kerana bimbang dia tidak akan datang lagi untuk menerima hukuman mati.Berkali-kali pemuda itu merayu dan bersumpah akan datang semula, namun tiada seorangpun menunjukkan tanda simpati. Akhirnya tampil seorang tua menuju mengadap khalifah menyatakan kesanggupan untuk menjadi tebusan bagi membolehkan pemuda itu balik ke rumah. 

Orang tua itu tidak lain tidak bukan ialah Abu Zar, seorang sahabat Nabi yang banyak merawikan Hadith. Melihat apa yang berlaku, semua hadirin tercengang dan sebahagian besar memarahi Abu Zar kerana tindakannya yang membahayakan diri sendiri. Abu Zar berjanji untuk menjadi tebusan dan membenarkan pemuda itu pulang menyelesaikan masalahnya. Melihat kejadian ini, pemuda itu menjadi tenang dan mengikat janji bahawa dia akan pulang semula untuk dipancung sebaik sahaja urusannya selesai.
Abu Zar faham kegagalan pemuda itu menunaikan janji akan mengakibatkan nyawanya tergadai.Ketika ditanya Khalifah bagaimana dia sanggup meletakkan dirinya dalam keadaan membahayakan, Abu Zar menerangkan demi keluhuran Islam, dia sangat malu melihat tiada siapapun sanggup menghulurkan bantuan ketika pemuda asing itu dalam kesusahan yang amat sangat. Pemuda itu dibenarkan pulang ke rumah sementara Abu Zar pula dikurung di penjara. Pada keesokan petangnya, penuh sesak manusia menuju ke istana khalifah untuk menyaksikan episod yang mencemaskan. 

Ramai menganggap Abu Zar akan dibunuh kerana kemungkinan besar pemuda itu tidak akan datang menyerahkan lehernya untuk dipancung. Saat yang mendebarkan berlaku apabila beberapa minit lagi jam lima petang, pemuda itu masih belum tiba. Abu Zar dikeluarkan dari kurungan. Kegagalan pemuda itu menghadirkan diri akan menyebabkan Abu Zar menjadi mangsa.Di saat terakhir, orang ramai melihat kelibat seorang lelaki menunggang seekor kuda dengan amat kencang sekali. Ketika itu riak cemas orang ramai bertukar menjadi reda. Tepat sekali bagaimana dijanjikan pemuda itu sampai genap jam lima petang. 

Pemuda itu lantas turun di hadapan Khalifah seraya meminta maaf kerana 'terlambat' menyebabkan suasana tegang dan cemas. Pemuda itu menerangkan sepatutnya dia sampai lebih awal, tetapi terlewat disebabkan tali kudanya putus di tengah perjalanan. Dia menerangkan urusan yang dikatakannya amat penting dulu ialah kerana terpaksa menyelesaikan tanggungjawabnya sebagai penjaga harta anak-anak yatim dan menyerahkan tugas itu kepada ibunya. Pemuda itu berjumpa Abu Zar untuk mengucapkan terimakasih di atas kesanggupannya menjadikan dirinya sebagai tebusan. Selepas itu dia segera ke tempat dilakukan hukuman pancung. Ketika pengawal hendak menghayun pedangnya, tiba-tiba anak petani dengan suara yang kuat meminta hukuman dibatalkan. Dengan rela hati dia memaafkan kesalahan pemuda itu. Mendengar kata-kata anak petani itu, pemuda itu amat lega dan terus sujud tanda syukur kepada Allah.

Friday 6 January 2012

KISAH WANITA DAN SEBUNGKUS BISKUT.



Salam bahagia,
Coretan ini hanyalah sekadar untuk menjentik minda dan tidak ada kena mengena dengan yang hidup mahupun dengan orang yang sudah tiada.
Kisah ini berlaku di salah lapangan terbang. Seorang wanita membeli sebungkus biskut dan disimpannya dalam beg tangannya. Sementara menunggu waktu berlepas, beliau singgah di sebuah restoran.
Wanita itu melabuhkan punggungnya di sebuah kerusi di restoran tersebut, dimana seorang lelaki sedia ada duduk di sebelah wanita tersebut.
Kebetulan tiada lagi tempat/ meja lain tanpa pelanggan. Wanita itu rasa tidak selesa, namun tetap memesan minuman dan setelah minuman dipesan dihidangkan diatas meja dihadapannya. Beliau mula membasahkan tekak dan mengunyah sekeping demi sekeping biskut daripada atas meja itu.

Wanita itu rasa amat geram dan tidak senang hati apabila lelaki di sebelahnya turut memakan biskut tersebut. Dalam hatinya berkata , "Sedapnya kamu memakan biskut aku tanpa meminta izin pun". Dan setiap kali wanita itu mengambil biskut,setiap kali itu jugalah lelaki itu mengambil dan memakannya.

Sakitnya hati wanita itu terhadap lelaki tersebut bukan kepalang. Bagaimanapun, lelaki itu kelihatan sangat ceria dan tersenyum lebar meskipun dia sedar wanita di sebelahnya sangat tidak senang dan memandang negatif kepadanya.

Sehingga tinggal sekeping biskut yang terakhir diatas meja itu dan kali ini wanita ini berhenti daripada mengambilnya. Dalam hatinya berkata : 'Aku mahu melihat apa lelaki itu buat pada biskut yang sekeping itu".
Setelah beberapa ketika, apabila difikirkan wanita itu tidak mahu mengambilnya, lelaki itu pun mengambil biskut itu dan dipatahkannya menjadi dua- sebahagiannya diberikan kepada wanita itu, manakala sebahagiannya lagi lalu dimakan. Bertambah-tambah sakit hati wanita itu.!

Setelah mendengar pengumuman penerbangan, wanita tersebut terus bangun menuju ke pesawat. Di dalam pesawat, wanita itu membuka beg tangannya dan alangkah terkejutnya , didalam beg tangannya masih ada biskut yang dibelinya tadi. Barulah wanita itu tersedar biskut yang dimakan tadi adalah biskut lelaki tadi!
Ya awda, apa bezanya wanita itu dan lelaki tersebut? Meskipun lelaki itu berkongsi biskutnya dengan wanita itu tetapi tetap ceria meskipun reaksi negatif wanita yang memakan biskutnya, bahkan sanggup berkongsi biskut yang terakhir.Sebaliknya wanita itu tidak gembira dan sakit hati justeru dibelenggu prasangka buruk.

Mengakhir coretan ini dan moral dari kisah ini ialah "never judge the book by it's cover". - jangan menilai buku berdasarkan kulitnya , begitu jugalah jangan mudah menilai orang dari luaran, apatah lagi kesannya menjadikan awda mudah berburuk sangka pada orang lain. Selalunya seseorang itu bukanlah sebagaimana yang kitani sangkakan.

Renung-renungkan, fikir-fikirkan bersama.

sususnan : team arab-families.com

Thursday 5 January 2012

PETUA UNTUK MENDAPAT PASANGAN Renungan bersama - Dato' Dr. Hj. Mohd Fadzilah Kamsah


PETUA UNTUK MENDAPAT PASANGAN



Renungan bersama - Dato' Dr. Hj. Mohd Fadzilah Kamsah -

1.
Semua orang ada jodoh atau pasangan yang menanti dan biasanya ia berada
tidak jauh dari anda. Jarang orang bertemu dengan jodoh yang berada
jauh darinya.

2. Jodoh itu
ketentuan Allah dan kita wajib berusaha. Doa, usaha yang betul dan
bersungguh-sungguh disertai dengan tawakkal, insyallah akan menemukan
anda dengan pasangan anda.

3. Ramai orang masih belum bertemu
jodoh kerana mudah patah semangat. Teruskan usaha sehingga anda bertemu
jodoh.

4. Seimbangkan hidup anda dengan sempurna agar diri anda jadi seperti �magnet� yang menarik bakal
pasangan anda kepada anda.

5.
Daya tarikan yang sebenar berpusat di hati yang murni. Berusahalah
untuk mencuci hati anda daripada semua perasaan yang negatif terhadap
semua orang di dunia ini.

6. Agar mudah orang sayang, cuci hati
dengan jaga ibadah, solat taubat, beristighfar, baca Al-Quran, maafkan
orang lain, meminta maaf, bersedekah dan berfikiran positif.

7. Sayangi semua orang di sekitar anda dan anda akan menarik
sayang terhadap anda. Jika anda membenci orang, ditakuti bakal pasangan anda akan membenci anda.

8.
Orang yang sedang mencari pasangan harus sentiasa bersedia untuk
bertemu dengan pasangannya pada bila-bila masa. Justeru, kita perlu
sentiasa dalam keadaan yang paling menarik setiap masa. Tanggapan
pertama adalah yang terpenting.

9. Untuk lelaki, tarikan pertama ialah pakaiannya. Untuk perempuan, wajah dan bentuk badan menjadi
tarikan pertama. Sediakan diri untuk menawan bakal pasangan anda.

10.
Buka hati dan minda anda untuk menerima cinta. Cinta boleh berputik
pada bila-bila masa. Cinta mudah datang kepada mereka yang sentiasa
bersedia untuk menerima cinta.

11. Cinta datang
melalui mata lalu turun ke hati. Justeru, perhebatkan hubungan mata
secara memandang bakal pasangan dengan penuh kasih sayang.

12.
Kita boleh berkomunikasi melalui fikiran. Hantarlah kasih sayang dan
hasrat murni anda terhadap pasangan dengan gelombang fikiran ini secara
berterusan hingga berjaya.

13.
Ramai yang terlepas peluang dan patah hati sebab lewat menyatakan
hasrat kepada bakal pasangan. Perkara yang baik disegerakan (iaitu
menyatakan perasaan anda kepada bakal pasangan).

14. Tidak salah untuk orang perempuan memulakan usaha untuk berkenalan. Orang lelaki akan sentiasa
merasakan mereka yang memulakan perkenalan walaupun sebenarnya orang perempuan yang mulakan.

15. Berkomunikasi dengan mesra dan bersemangat menggunakan lidah, mata, hati dan bahasa badan. Elakkan bercakap sambil lewa
atau kurang sopan terhadap bakal pasangan.

16.
Berbual dengan pasangan mengenai apa yang dia suka. Beri tumpuan kepada
minat dan perasaannya. Elakkan sibuk memberi tumpuan kepada diri
sendiri.

17. Layan bakal pasangan dengan mesra seperti kawan
lama walaupun baru berkenalan. Bentuk suasana keintiman dengan segera
agar bakal pasangan rasa selesa.

18. Makin mudah kita menceritakan hal peribadi yang munasabah kepada bakal
pasangan, semakin mudah dia menceritakan hal dirinya kepada kita.

19.
Berdoa dan latih diri agar kita pandai mendampingi orang lain dan
seronok untuk didampingi oleh orang lain. Buang perangai yang
menyebabkan orang benci kepada kita.

20. Beri sayang
untuk mendapat sayang. Orang yang masih ada perasaan benci terhadap
sebarang orang boleh menyebabkan bakal pasangan benci atau tidak
tertarik kepada kita. Justeru buang semua benci

Kisah Benar - Kerana Nafsu Tidur , Isteri Menyesal Sepanjang Hayat


"SAYA mahu berkongsi peristiwa yang masih mencengkam hidup walaupun ia sudah lama berlaku. Memang sukar untuk saya maafkan diri ini dan rasa bersalah sentiasa bermain difikiran apabila mengingatkan saat-saat itu.

Saya dan suami adalah pasangan yang romantis malah menjadi perbualan rakan-rakan di pejabat. Walaupun sibuk dengan tugas harian, tanggungjawab melayan suami dan menguruskan anak-anak, saya lakukan dengan sempurna.

Suami memahami tannggungjawab di rumah dan sentiasa membantu menguruskan rumah tangga. Kami sering mengerjakan solat berjemaah dan saya gembira melihat hubungan dalamkeluarga saya.

Walaupun sesibuk mana tugas di pejabat, tanggungjawab melayan suami dan anak-anak tidak pernah diabaikan. Saya bersyukur suami memahami saya dan sentiasa bertolak ansur. Ini menjadikan saya semakin sayang kepadanya.

Memang dalam kehidupan, kita tak dapat melawan takdir dan ketentuan Ilahi. Sebagai manusia, kita hanya mampu merancang, Allah jua yang menentukan.

Hari itu, Isnin. Saya masih ingat, saya ke pejabat awal pagi kerana banyak urusan yang perlu diselesaikan selain temu janji dengan beberapa pelanggan yang perlu dibereskan.
Hari itu, saya pulang lewat ke rumah, biasanya jam 6 petang, saya sudah ada di rumah. Ketika saya sampai ke rumah, azan dari masjid berhampiran berkumandang. Saya lihat suami sudah bersiap-siap untuk pergi menunaikan solat Magrib. Begitu juga anak-anak saya sudah mandi dan riang bersama bapa mereka. saya lihat suami saya amat gembira petang itu.

Saya begitu terhibur melihat telatah mereka kerana suasana seperti itu jarang berlaku pada hari bekerja. Maklumlah masing-masing penat. Suami sedar saya amat penat hari itu. Oleh itu, dia meminta agar saya tidak memasak, sebaliknya mencadangkan makan di luar. Saya dengan senang hati bersetuju.

Selepas menunaikan solat Magrib, kami keluar ke sebuah restoren kira-kira lima kilometer dari rumah. Di restoren, kami sekeluarga berbual panjang, bergurau senda dan usik-mengusik, memang seronok bersama. Macam-macam yang dibualkan malah saya lihat suami begitu ceria melayan tiga anak kami yang berusia tujuh hingga 12 tahun.

Saya dapat rasakan kemesraan suami luar biasa, cara dia melayan danketawa memang bukan seperti hari biasa. Dalam hati terpancar rasa bangga kerana mampu membahagiakan suami tersayang. Saya melihat jam tangan.

"Sudah jam 12.30 tengah malam, bang. Dah lewat ni, ayuh kita pulang," kata saya.

Suami tanpa banyak soal memanggil pelayan dan membayar bil makanan dan minuman. Kami tiba di rumah jan 12.50 tengah malam. Anak-anak yang keletihan terus masuk tidur.
Saya memang terlalu mengantuk apatah lagi selepas menikmati hidangan lazat di restoren. Mata pun seperti berat dibuka lagi. Ketika saya hampir melelapkan mata, suami membelai lembut rambut dan mencium pipi saya. Saya membuka mata dan hanya tersenyum.
Dalam hati, saya memang mahu melayan kehendak suami tetapi hati saya berkata, esoklah, mata terlalu mengantuk, esok masih ada. Saya memberitahu suami terlalu mengantuk dan tidak boleh melayan kehendaknya. Saya mencium suami dan mahu melelapkan mata.

Bagaimanapun, saya pelik kerana suami masih merangkul tubuh saya, seolah-olah terlalu berat untuk melepaskan. Saya membuka mata dan melihat wajah suami yang berseri-seri. Hairan saya kerana suami belum mengantuk, sedangkan dia juga keletihan.

Dia menarik saya lebih dekat dan membisikkan di telinga bahawa itu permintaan terakhirnya. Namun, dek terlalu letih dan tidak memikirkan perkara itu terlalu penting ketika itu, saya seolah-olah terus melelapkan mata tanpa sepatah bicara. Perlahan-lahan, suami melepaskan tangan yang merangkul saya.

Esoknya, perasaan saya agak tidak menentu. Seperti ada pekara yang tidak kena.Saya menelefon suami, tetapi tidak berjawab. Sehinggalah saya dapat panggilan yang tidak dijangka daripada pihak polis yang mengatakan suami saya terbabit dalam kemalangan dan meminta saya datang segera ke hospital.

Hati saya seperti mahu meletup ketika itu. Saya bergegas ke hospital tetapi segala-galanya sudah terlambat. Allah lebih menyayangi suami dan saya tidak sempat betemunya. Meskipun reda dengan pemergian suami tetapi perasaan terkilan dan bersalah tidak dapat dikikis daripada hati saya kerana tidak melayaninya pada malam terakhir hidupnya di dunia ini.

Hakikatnya itulah pahala terakhir saya sebagai seorang isteri. dan yang lebih saya takuti jika suami tidak reda terhadap saya pada malam itu, maka saya tidak berpeluang lagi untuk meminta maaf daripadanya.

Teringat Sabda Rasulullah s.a.w. yang saya baca dalam buku agama, 'Demi Allah yang jiwaku di tangan-Nya, tiada seorang suami yang mengajak isteri tidur bersama di tempat tidur, tiba-tiba ditolak isterinya, maka malaikat yang di langit akan murka kepada isterinya itu hingga dimaafkan suaminya'.

Sehingga kini, setiap kali saya terkenangkan suami, air mata akan mengalir ke pipi. saya sentiasa memohon keampunan daripada Allah supaya diampunkan kesalahan saya."

Nukilan..
Seorang Insan Yang Menyesal..