Pages

Monday, 17 June 2013

Otak Jenazah Pelajar Tahfiz 'Segar' Seperti Hidup


Otak Jenazah Pelajar Tahfiz 'Segar' Seperti Hidup

Satu demi satu keajaiban dapat disaksikan sepanjang membuat liputan tragedi kebakaran yang menyebabkan seorang pelajar Maahad Tahfiz Al-Barakah (Mantab), Kampung Masjid, Tikam Batu terkorban dalam kejadian jam 1.50 pagi, Sabtu lalu.

Namun, apa yang berlaku pasti mempunyai hikmah tersendiri selain menunjukkan kekuasaan ALLAH SWT.

Ini bukan sahaja dapat dibuktikan dengan penemuan barang-barang milik mangsa terkorban yang masih elok tersusun dalam almari kayu sedangkan almari besi milik pelajar lain semuanya hangus termasuk pakaian dan barang-barang peribadi lain.

Dalam kejadian itu, mangsa, Aiman Nurhakim Yahya, 13, seorang pelajar pintar, rajin dan antara yang paling berdisiplin dikatakan gagal untuk menyelamatkan diri setelah terperangkap dalam kebakaran di asrama tempat mereka menetap.

Menceritakan kembali tragedi itu, Penaung Rangkaian Pusat Pendidikan Al-Barakah yang juga imam kariah Kampung Masjid, Anuar Md Isa berkata, kesemua pelajar sudah terjaga dari tidur dan menjangkakan Aiman adalah yang terakhir keluar menyelamatkan diri.

“Kemungkinan arwah yang tidur di tingkat atas cuba untuk turun melalui tangga, tetapi bahagian atas binaan asrama yang berasaskan kayu runtuh menyebabkan dia terperangkap dalam api yang marak,” katanya.

Menurut Anuar, apa yang lebih ajaib ialah penemuan barang-barang peribadi milik arwah yang masih elok tersusun dalam almari miliknya sedangkan barang peribadi rakan-rakan lain semuanya musnah.

“Kalau nak diikutkan, api menjulang tinggi sehingga memusnahkan keseluruhan bahagian asrama, bagaimanapun almari Aiman yang diperbuat daripada kayu, terpelihara.

“Apa yang saya perasan juga ialah selipar yang selalu digunakan arwah selalunya diletakkan di luar, tetapi sebelum kejadian, dia ambil dan letak elok-elok dalam laci. Selipar itu juga masih elok dan tersimpan rapi,” katanya yang mengakui sesuatu keajaiban mengenai peribadi pelajar itu.

Anuar berkata, Aiman baru sahaja selesai menghabiskan satu juzuk al-Quran dan dijangka bakal masuk ke juzuk kedua.

“Dia baru sahaja melakukan tasmid (mendengar bacaan al-Quran) satu juzuk dengan ustaznya bagi membolehkannya memasuki juzuk kedua yang dijangka hari ini (semalam),” katanya.

Lebih memeranjatkan, Anuar berkata, pakar yang melakukan bedah siasat ke atas jasad Aiman mendapati, otaknya masih segar, seperti otak orang masih hidup, sedangkan anggota badan lain sudah rentung.

“Memang keajaiban apabila pakar yang menjalani bedah siasat menjelaskan, otaknya masih segar, bersinar seolah-olah milik insan yang masih hidup,” katanya, memuji kekuasaan ALLAH SWT.

Wednesday, 12 June 2013

Aku Ingin Mencintai Dengan Sebenar – Benar Cinta


Ya Allah, betapa aku malu atas apa yang telah engkau berikan sebagai manusia, segala khilaf tertuju padaku, sungguh tidak ada apa-apa pada diriku yang kecil ini.
Terlena, sungguh aku sering terlena pada pesona nafsu dunia dan diri. Aku ingin kembali, tertunduk pilu dalam sujud syukur kembali pada cahayaMu..
Ya Rabbi, menghamba padaMu adalah tujuan akhir penantianku, setiap degupan yang berdetak kerana Izin KuasaMu. Setiap langkah yang tak putus beriring dengan Asmamu Ya Rabbi.
Segala keluh kesah hanya tercurah padaMu, tidak akan berkat langkahku tanpa redha Mu Ya Rahman. Cahaya Mu, cahaya dalam sepi hidup menjadi senyum ikhlas yang tak putus pada Rahmat Mu,  melahirkan kembali kepada fitrah yang suci dengan  Selawat yang menggema pada jagat raya Mu.
Dalam sepi, aku sering hilang, tidak mengingati Mu, namun Engkau tetap menjagaku dalam nikmatnya nafas yang ku hembus dalam raga, tak putus-putus Engkau mengingatkanku dan Halusnya Peringatan Mu. Tidak  Engkau terus memberikanku hukuman, walaupun betapa kuasanya diriMu Ya Robbi.
Sujud yang mengalun merdu dalam sepertiga malam membuat terhanyut dalam ribuan titisan air mata taubat.. Sebiji zarrah pun dihitung baik kebaikan dan keburukan.. Berkatilah kami ya Rabbi..
“aku ingin mencintaiMu setulusnya sebenar-benar aku cinta dalam doa, dalam ucapan, dalam setiap langkahku, aku ingin mendekatiMu selamanya sehina bagaimanapun diriku, kuberharap untuk bertemu denganMu ya Rabbi.. .. “

~ Aku Islam

Wednesday, 15 May 2013

"bekas NASI GORENG Amira"....

Begini kisahnya..waktu rehat di sekolah anak saya akan makan bekal yang dibawa dari rumah, makan bersama-sama kawannya Amira (bukan nama sebenar) di kantin sekolah. Anak saya selalunya akan bawa nasi goreng dan Amira selalunya bawak roti kosong 2 keping yang dibungkus dalam plastik. Roti itu dia akan cicah dengan air sirap yang dia bawa dari rumah.

Itulah rutin bekalan harian yang di bawa oleh Amira setiap hari. Anak saya pun selalunya memang bawa nasi goreng ler coz itu memang peberet dia.. Amira memang suka sangat makan nasi goreng tu dan anak saya tak kisah untuk berkongsi nasi tu..dia memang hari-hari bagi Amira makan nasi goreng tu..Mungkin Amira dah jemu agaknya coz hari2 bawak roti kosong jer cicah air sirap...

Suatu hari..anak saya bersuara kepada Amira..Mira..aku teringin nak makan nasi goreng ko..ko asyik bawak roti jer..apa kata esok kita bawak nasi goreng sama-sama nak.. Nanti kita makan tukar-tukar kat kantin..

Amira termenung..nampak muka dia macam tak sedap.. Alahh..tak nak lah..nasi goreng aku tak sedap lah..ko mesti tak nak makan nanti..Alahhh..ko bawak jer..ko belum bawak, ko dah kata nasi goreng ko tak sedap..ko bawak je lah..mesti sedap punya..

Ok lah..ko punya pasal..esok aku bawak ya..aku bawak nasi goreng special utk ko..Yeeaaahhh..anak saya suka sangat coz Amira setuju nak bawak nasi goreng esok..

Sampai di rumah..malam hari sebelum tidor..Amira cakap kat mak dia yang esok dia nak bawak bekal nasi goreng..dia tak mahu bawak roti kosong 2 keping tu.. Makkk..boleh tak esok Mira nak bawak bekal nasi goreng..?? Mak Mira terkejut..apa sayang..?? Esok Mira nak bawak nasi goreng..? Kenapa? Esok Mira ada jamuan ker..??

Nasi goreng apa yang mak nak buat? Tak ada rencah untuk mak buat nasi goreng esok..Mira bawak roti je lah..Alahh..mak..boleh lah..tak payah bubuh rencah pun tak apa..mak taruk telur je pun dah ok..

Ya lah..baik lah..esok mak buat nasi goreng untuk Mira ya..telur pun tinggal sebijik jer tau..dah malam-malam buta ni mana nak carik telur..bawang pun dah habis tu..tak per lah..mana yang ada je lah..

Keesokkannya dalam dalam kelas..anak saya tanya Mira..Mira ko bawak nasik goreng tak..? Aku bawak ni..Mira senyum..

Ko bawak tak Mira..? Bawak ler...aku bawak..kan semalam dah janji..

Ok..cayalah..tak sabar nak makan nasi goreng ko Mira oiii..

Kul 10.00 pagi loceng rehat bunyi..mereka berdua berlari ke kantin..nak tukar-tukar nasi goreng..
Sampai di kantin..Mira ko nak air tak? Hari ni aku belanja ko air..ko nak air apa? Aku belikan..

Alah..tak kisah..air apa-apa pun tak apa..aku minum jer..

Alahhh..Mira..kenapa ko tak buka bekal lagi ni..ko duk diam jer kat situ apasal? ya lah..aku tunggu ko datang bawak air ler..kita buka bekal sama-sama..

ooo..ya ker..jom jom kita buka bekal..

Amira pun keluarkan 'bekas' nasi goreng dia dari dalam beg plastik..Mata anak saya tidak berkelip..

Amira mana nasi goreng ko? Ko bawa apa ni..? Ni lah nasi goreng aku..ko buka je lah..

Tuan/Puan nak tau..? Nasi Goreng tu diletakkan dalam bekas sabun Axion pencuci pinggan cap Lemon..warna kuning bekas tu..

Amira..kenapa ko letak nasi goreng dalam bekas Axion ni..? Mak ko tak marah ker..? Tak rasa sabun ke nanti..?

Tak lah..mak yang bubuh dalam bekas tu..kat rumah aku mana ada tupperware macam ko..memang kami pakai balik bekas sabun tu...standard lah..kami memang dah biasa macam ni..

Air mata anak saya mula bergenang..tunggu masa untuk tumpah..

Mira..kenapa ko tak cakap yang ko tak der bekas untuk bawak nasi ni..aku boleh bagi ko bekas..kenapa ko tak cerita dengan aku Mira..ko ni kan..

Mira tunduk..tolong jangan nangis boleh tak..? Semalam ko yang cakap ko nak makan sangat nasi goreng aku kan? Sekarang aku dah bawak apasal ko nangis plak..?? Makan je lah..

Mira..aku rasa bersalah sangat coz menyusahkan ko..tak pe lah Mira jom kita makan..ko makan nasik goreng aku ya..aku nak rasa nasi goreng ko..

Ehhh..tak per..tak per..ko makan jer nasik goreng ko..nasi goreng aku tak sedap..bubuh dalam bekas sabun plak tu..

Mira..jgn ckp mcm tu..bak sini aku rasa nasi goreng ko..ya..lah..rasa sesudu jer..kompom tak sedap tu..

Anak saya pun makan rasa sesudu..memang betul pun..tak sedap..nasi goreng Amira putih meleset..tak der rencah..tak der rasa pun..tawar jer..tapi anak saya tak kisah..dia tak komplen pun..

Cuma masa Mira suap nasi goreng tu..air mata dia plak berlinang..anak saya tanya knp ko nangis..dia cakap tak ada aper..tak per lah..kita makan je lah..

Semasa anak saya cerita kisah ini kepada saya..saya menangis..tapi saya tidak menagis semasa itu..saya tidak mahu menangis di depan anak saya..Saya kuatkan semangat untuk mendengar cerita dia sampai habis..

Selesai anak saya bercerita..saya cakap kat anak saya..esok bawak bekas tupperware kat dapur tu..bagi kat Amira ya..cakap kat Amira bekas ni hadiah dari keluarga kita..

Then saya bangun terus keluar tengok-tengok kereta..sebenarnya bukan saya tengok kereta..saya menangis semahunya kat tepi keta tu..tak sangka sangat..di zaman moden ni..masih ada lagi anak-anak kita yang hidup menderita..sedih dan sayu hati ni..

Kepada orang kaya di luar sana..ingatlah..dalam kemewahan yang kamu kecapi sekarang ni..ada saudara kita yang hidup dalam keadaan memilukan..

Saya berdoa kepada Allah..agar semua orang yang tidak berkemampuan ini di murahkan rezeki oleh Allah dan ditabahkan hati mereka dalam menghadapi segala dugaan..Aminnn..

Semoga kisah ini boleh celik kan mata kita..

Terima kasih..


~ kredit kepada empunya cerita.

Wednesday, 3 April 2013

Pertama sebelum Kedua



"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Fikri tegas dan yakin.

Tiba-tiba mata Fatimah merah, air mata mula bergelinang di kelopak
bawah.

"Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan
hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!" pekik Fatimah dengan
suara tersekat-sekat.

Mata Fikri liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang
perlakuan dia dan Fatimah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi
lagak Fatimah langsung tidak selari dengan penampilannya.

"Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi
rupa-rupanya… " Fatimah mula sebak.

"Tak. Maksud saya…"

"Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!" potong Fatimah
dengan kasar.

"Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup
melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?"
suara Fatimah semakin tinggi, setinggi egonya.

Fikri diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Fatimah' di sebalik
Fatimah yang dia kenal selama ini.

Fatimah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung
labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Fikri seolah-olah menghinanya
apabila memujuknya untuk bermadu.

Fikri muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih
hatinya belum bersedia rupa-rupanya.

"Ada hikmah," bisik hati kecil Fikri, sekecil pandangannya
terhadap Fatimah.

Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan
jadual Fikri sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang
diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah
yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi.
Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang
membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di
hari kelak.

Keyakinan serta keaktifan Fikri berdakwah sedikit sebanyak memenangi
hati gadis-gadis dalam jemaahnya. Malah, Fikri dilihat sebagai calon
suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama
yang dianutinya sejak sekian lama. Sudah terlalu ramai muslimah yang
menaruh hati padanya, namun, Fatimah terlebih dahulu rapat dan memenangi
hati Fikri. Bagi Fatimah, Fikri seperti pelengkap kepada dirinya. Namun,
hanya sehingga saat Fikri melamarnya menjadi isteri kedua.

Fikri masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fatimah
nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan
Fatimah, namun sikap Fatimah yang keras dan kurang memahami erti dakwah
membantutkan usaha Fikri tersebut. Bagi Fatimah, Fikri tak ubah seperti
lelaki lain.

Gerak kerja dakwah Fikri berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu ke
hilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya
sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Fikri
semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak
dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia
terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang
semudanya.

Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia
menghantar seorang perempuan bagi menguji Fikri – sama ada dia
menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Fikri.

Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Fikri
dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Fikri
sekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri
perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti
membawa Fikri menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya
adakah sama seperti Fatimah atau tidak?

Fikri bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia
meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut.

Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat
terdekatnya, Fikri berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya.
Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Fikri mengulangi soalan yang pernah
ditanya kepada Fatimah.

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Fikri tanpa segan
silu.

"Sudi," jawab Nusaibah ringkas.

"Er, betul ke ni?" tergagap Fikri menerima jawapan Nusaibah yang
tenang dan yakin.

Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun
kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Fikri.

"Kenapa saya?" tanya Fikri ingin tahu.

"Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak," jawab Nusaibah
yakin tetapi sedikit malu.

"Baiklah," jawab Fikri tersenyum.

Akhirnya, Fikri dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak
kerja dakwahnya selama ini.

Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Fikri terasa
dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya
disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Fikri semampu
mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Fikri membawa
Nusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya.

Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar
berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini
sebelum berkahwin dengan Fikri. Membantu suami melancarkan gerak kerja
dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi
pembantut atau penghalang dakwah suaminya.

"Abang, saya nak tanya boleh?" sapa Nusaibah dalam kereta
sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.

"Ye sayang?" jawab Fikri sambil memandu.

"Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang,"
luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.

"Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa," Fikri menoleh sedikit
ke arah Nusaibah, sambil tersenyum.

"Yeke? Dia datang program tu rupanya," jawab Nusaibah riang.

Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Fikri dalam
gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri kerana
usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri
pertama Fikri yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Fikri
aktif dalam dakwah sebelum ini.

"Kita dah sampai," Fikri membuka pintu keretanya sambil memegang
beg berisi fail ditangannya.

Fikri berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu
menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.

"Itu isteri pertama abang," Fikri menuding jari ke arah khemah
tersebut.

"Mana bang?" Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah
jari Fikri.

"Tak nampak pun," Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.

"Siapa nama isteri pertama abang?" Nusaibah sangat berdebar.

Fikri tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.

"Perjuangan, " jawab Fikri.

Saturday, 30 March 2013

SAYA JATUH CINTA DISEBABKAN SYAITAN ( besttttttt ) :)


Tersebutlah kisah, seorang “lelaki A” datang berjumpa dengan seorang perempuan. Perempuan ini adalah yang paling ‘hot’ di kampusnya, kerana memiliki rupa paras yang cantik dan menawan. Sifat pada perempuan ni yang paling orang suka adalah kerana dia ni seksi dan berada. 

Mari lihat dialog yang berlaku antara lelaki A dan perempuan tersebut. Lelaki A merupakan anak seorang Dato’ yang sememangnya kaya, kacak dan bergaya. Nak pergi kampus pon pakai kereta mewah, kemudian ada driver pula. Awek mana tengok mesti melopong biji mata. 

Alice : Apasal awak datang nak jumpa saya?

Lelaki A : Saya dah jatuh cinta kat awak.

Alice : (memandang lelaki itu dengan sinis) sebab?

Lelaki A : Kerana awak cantik. Sesiapa yang memandang awak sekilas pasti tak puas. Sudikah awak jadi gf saya?

Alice : Tapi..

Lelaki A : Jangan risau Alice. Saya ada segala-galanya. Harta..kebahagiaan..dan apa je awak mintak, saya boleh bagi.

Alice : Maafkan saya, saya ada kuliah. (perempuan itu sengaja membuat dalih) 

Seminggu kemudian, perempuan ‘hot’ ni didatangi seorang lelaki lagi, kita namakan lelaki ni “lelaki B”. Penampilan lelaki B ni agak islamik. Pakai baju Melayu siap bersongkok pula tu. Tapi, hati dia hanya tuhan sahaja yang tahu. Apa-apa pun, kenalah bersangka baik. 

Alice : Ha, ada apa erk?

Lelaki B : Assalamualaikum. (ucap lelaki tu lembut)

Alice : (agak terkedu seketika) Waalaikumsalam. Kenapa awak datang nak jumpa saya?

Lelaki B : Saya…saya

Alice : Kenapa? cakaplah..

Lelaki B : Saya jatuh cinta kat awak..

Alice : Sebab?

Lelaki B : Perlukah bersebab?

Alice : Ya. Sebab saya tak pernah kenal awak, tau2 awak dah jatuh cinta..

Lelaki B : Baiklah, saya cintakan awak kerana Allah telah ciptakan perasaan cinta dalam hati saya untuk awak.

Alice : Owh. (Perempuan itu melihat jam tangannya) Maaflah, saya ada study group. Lain kali kita borak lagi. 

Maka tertinggallah lelaki B keseorangan tanpa sebarang jawapan dari sang gadis itu. 

Seminggu yang seterusnya, perempuan itu didatangi oleh seorang lagi lelaki iaitu “lelaki C”. Kali ini, lelaki C berpenampilan biasa dan sederhana saja. Wajahnya juga tidaklah sekacak mana namun ada sesuatu pada wajah itu. Entahlah apa. Perempuan itu mengukir senyuman manis untuk lelaki itu kerana dia pasti bahawa lelaki ini pasti akan bercakap benda yang sama. 

Alice : Saya tau kenapa awak datang nak jumpa saya..

Lelaki C : (Termangu seketika) Awak dah tau?

Alice : Why not? Awak cintakan saya?

Lelaki C : Ya, saya menyintai awak.

Alice : (tersenyum sinis) Well, kenapa pulak? Sebab Allah telah menghadirkan perasaan cinta kat dalam hati awak untuk saya?

Lelaki C : (hanya mampu tunduk)

Alice : Kenapa diam? atau..awak jatuh cinta di sebabkan rupa saya..atau saya ni seksi..atau..saya ni anak orang berada..

Lelaki C : Demi Allah, semua itu tak betul. (Lelaki C berubah menjadi tegas). Ya, memang benar saya jatuh cinta kat awak tetapi bukan kerana Allah atau kerana kecantikan awak,
harta awak.. saya jatuh cinta disebabkan Syaitan Durjana . Syaitan yang mendorong saya untuk mengejar awak. Kemana saja awak jalan, mata saya akan mengekori awak. Tatkala rambut ikal awak terbang ditiup angin,s aya rasa perasaan saya kacau. Wajah cantik awak sentiasa datang bermain di jiwa saya pada hal saya tak menginginkannya. Saya rasa rimas dengan perasaan saya. Saya semakin hanyut. Semakin terleka.

Alice : (terkedu) Apa awak nak?

Lelaki C : Saya tak mahukan apa-apa. Mungkin hanya sekelumit simpati. Hanya kalau awak sudi. Maafkan saya, saya mohon untuk berlalu.

Alice : Nanti dulu, siapa nama awak? Macam mana saya nak tolong awak?

Lelaki C : Nama saya, ah, tak layak saya nak beritahunya kat awak. Sesungguhnya nama yang saya pinjam ini sungguh mulia. Saya pasti awak tau apa nak dibuat. Maafkan saya, saya tak sanggup nak berlama-lama di sini. Syaitan itu sentiasa membisikkan perkara yang jahat ke telinga manusia. Assalamu’alaikum. 

Alice hanya melihat langkah lelaki itu tanpa sepatah kata. 

Dua tahun kemudian… 

Akif merehatkan dirinya di pelantar rumah sambil menghirup udara segar pagi. Tiba-tiba dia disapa oleh ibunya. 

Ibu : Akif, ibu teringin nak tengok Akif berumah tangga. Akif tak de ke pilihan hati Akif sendiri?

Akif : Entahlah ibu. Susah kita nak mencari pasangan yang betul2 berdiri di atas landasan yang teguh.

Ibu : Akif, ibu faham. Memang susah nak cari orang yang seperti itu, kalau ada pun, nisbahnya kecil. Manusia makin hanyut ditelan arus dunia. Semakin moden, semakin lupa tanggungjawab kita sebagai muslim. Tapi Akif, kita juga boleh menjadi pengubah.

Akif : Ibu.. Akif faham. Insya Allah ibu, Akif akan cari seorang perempuan..jika dia tak seperti yang Akif harapkan, Akif yang akan membentuk dia, mengubah dia.
Akif akan cuba laksanakan permintaan ibu.

Ibu : (tersenyum) Akif, ibu rasa, ibu sudah berkenan dengan seorang gadis ini. Dia baik dan manis juga orangnya. Pekerjaannya juga mulia. Dia bekerja sebagai seorang guru di sekolah menengah agama. Ibu dah berbual-bual dengan ibu bapanya. Baik sungguh mereka itu.

Akif : Siapa dia ibu? siapa nama dia?

Ibu : Nur Alissa Zakiyyah… 

Seminggu sebelum hari pertunangan. Waktu itu, Akif berada di rumah Nur Alissa Zakiyyah. Baru kali pertama Akif ke sana. Rumah yang dijejakinya ini sungguh besar dan luas. Halamannya juga menarik bersama landskap yang begitu teratur. Bunga-bungaannya memukau mata. Suasana agak hingar-bingar. Ibu Akif berada di dalam rumah mungkin sedang sibuk membantu mereka yang lain menyiapkan juadah makan tengah hari bersama. 

Akif berjalan menuju ke suatu sudut di halaman itu namun langkahnya terhenti apabila terlihat seorang gadis bertudung hijau lembut sambil mengenakan pakaian baju kurung..
entahlah baju kurung jenis apa yang penting ianya gubahan moden seiring mengikut zaman.
Gadis itu seperti pernah dilihatnya di dalam sekeping gambar. Gambar yang diberi ibunya. Mungkinkah itu bakal tunangnya? 

Akif memberanikan diri untuk menyapa gadis itu. 

Akif : Assalamu’alaikum.

Alissa : Wa’alaikumsalam. (Alissa tersenyum lantas membelakangi Akif)

Akif : Awakkah Nur Alissa Zakiyyah??

Alissa : Dan awak pula Akif Rahmankan?(soal Alissa tanpa menjawab pertanyaan Akif terlebih dahulu)

Akif : Ya. Akif Rahman Bin Razaq. Awak belum jawab soalan saya..

Alissa : Hum.. akhirnya…

Akif : (Akif hairan) Kenapa? Pernahkah kita bertemu atau berkenal?

Alissa : Ya.

Akif : Siapakah awak? (tanya Akif penuh kehairanan)

Alissa : Nama saya Nur Alissa Zakiyyah binti Aziz. Sayalah Alice.

Akif : (terkesima) Subhanallah. Awak dah berubah, saya langsung tak cam awak. Macam mana awak boleh jadi macam ni?

Alissa : Bukankah awak yang meminta sekelumit simpati dari saya?

Akif : Alice…(terharu..)

Alissa : Akif, saya dah jatuh cinta kat awak. Dah lama..

Akif : Sebab?

Alissa : Saya mencintai awak kerana agama yang ada pada awak… 

Akif hanya tersenyum..

Setiap yang baik itu adalah daripada Allah dan yang buruk itu daripada kita sendiri. Jikalau kita lupa Allah dalam melakukan sesuatu perbuatan itu, maka itu adalah perbuatan kita sendiri. Oleh yang demikian kita jatuh dalam hukum: “buat baik dibalas baik dan buat jahat dibalas jahat.” ... Kejahatan, pendertitaan dan sebagainya itu adalah kerana penyalahgunaan kuasa oleh kita sendiri, kita berbuat sesuatu kerana diri sendiri bukan kerana Allah. WAT TATAFARAKU ILLA BIIZNILLAH ... tiada bergerak sebesar zarah melainkan pegerakan Allah... ~ 

Tuesday, 26 March 2013

PEREMPUAN BAHASA TERBALIK, LELAKI DENGAR MACAM PELIK



Satu petang, Si suami yang baru pulang dari kerja, ingin memanjakan isterinya, “Jom kita keluar, malam ni kita makan di kedai je lah”. Sambut isterinya, “Eh nasi banyak lagi tu bang, gulaipun ada lagi tu. Nanti membazir, siapa pula nak menghabiskan tu”. Kalau diikutkan jawapannya itu seolah-olah membantah cadangan suaminya itu, tetapi tindakannya berlainan.

Si isteri masuk ke bilik terus menukar baju dan membelitkan tudung di kepalanya di hadapan cermin di dalam bilik tidurnya. Sambil menunggu isterinya, dia mencapai surat khabar yang dibawa daripada pejabat tadi. Suaminya faham sangat. Kalau mulut isteri membantah tetapi nampak bergegas menukar baju, maknanya dia setujulah tu.

Setiba di gerai “char kue teow” yang biasa mereka singgah, adik di gerai tu menghampiri mereka dan bertanya, “Pak Cik nak makan apa?”. Pantas suaminya menjawab, “Char kue teow”. Ditegur isterinya, “Ish Abang ni, mintalah yang lain pula, mee ke, bihun ke. Kan dulu dah makan char kue teow ni”. Suami mula naik berang, “Menyusah je fikir-fikir, Abang tengah lapar, nak makan char kue teow le, Awak nak yang lain, pesan je la”. Muncung terus mulut si isteri mendengar arahan suaminya itu dan lantas memesan bihun sop untuk dirinya.

Sedang mereka menjamu selera, isterinya memecah kesunyian dengan bertanyakan satu soalan menjerat, “Sedap ke char kue teow tu bang?”. Sambil kepalanya masih tunduk menyedut lelehan kuah kue teow itu, suami membalas, “Sedap”. Terus melicinkan char kue teow kegemarannya itu. Apabila isterinya melihat piring suami telah licin, dia menegur dengan nada kecewa, “Awak tu makan, bukan nak ingatkan saya”. Tergamam suami mendengarnya terus membela diri, “Tadi tak cakap pun nak”. Sambut isterinya, “Dah cakap tadi, abang buat tak faham je”. Dibalas suaminya untuk membela dan membenarkan dirinya, “Mana Abang tahu awak nak rasa, kalau nak, pesan lagi satu”.

Suara masing-masing mula meninggi. Isteri merasakan suasana romantik yang dia mula kecapi seawal suaminya mengajak makan di gerai tadi telah hancur berkecai apabila suami tidak memahami kehendaknya malam itu. Bagi Sisuami pula, asalnya tadi keluar makan di luar untuk membantu isteri merehatkan badannya supaya tidak susah-susah memasak di rumah dan dengan harapan malam nanti dapatlah hadiah istemewa daripada isterinya. Tetapi sekarang, telah bertukar menjadi medan peperangan dingin dengan isterinya di meja char kue teow pula. Mengapa perkara ini boleh terjadi?

Kebiasaan wanita, apabila mereka berkomunikasi, mereka menggunakan ungkapan yang tidak terus. Mereka menggunakan bahasa berlapik, maksud terbalik dan berpusing-pusing sebagaimana peribahasa Inggeris “beats around the bush”. Laporan ScienceDaily (Jan. 21, 2005) berjudul “Intelligence In Men And Women Is A Gray And White Matter” mengatakan binaan otak wanita yang memang telah diprogramkan memiliki lebih “white matter” yang bertugas menghubungkaitkan sesuatu perkara dengan yang lain hingga menyebabkan mereka pakar menggunakan pendekatan ‘komunikasi-bahasa-tidak terus’ ini.

Bercakap adalah asas perhubungan yang utama bagi wanita. Mereka menggunakan pendekatan ini untuk membina jambatan perhubungan dengan orang lain untuk mengelakkan konfrantasi secara terbuka, bersopan santun dan berbudi bahasa. Wanita memang suka menggunakan proses komunikasi cara ini untuk menyampaikan mesej terutama sekali kepada orang yang dia sayangi. Bagi mereka, jika orang yang dia sayangi ini memahami apa yang dia ungkapkan dengan tepat, maka orang itu dilabelkan sebagai seorang yang romantik.

Sebagai contoh kalau mereka berdua sedang menaiki kereta dalam perjalanan yang jauh dan isterinya berasa lapar. Pada masa itu mereka sedang melalui deretan kedai-kedai makan. Terdapat beberapa ungkapan yang tidak terus yang wanita gunakan untuk memberitahu suami yang mereka lapar. Mereka tidak sanggup mengungkapkan perkataan, “Abang saya lapar, berhenti di kedai makan depan itu sekarang”. Mereka akan menggunakan bahasa tidak terus seperti berikut, “Abang tak lapar ke?”. Atau, “Dulu kita pernah makan di kedai depan tu kan, sedap masakannya”. Atau, “Tomyam kedai di depan tu sedapkan Abang”. Dan banyak lagi ungkapan-ungkapan yang kebanyakan lelaki tidak faham. Maka suami yang romantik ialah apabila sahaja dia mendengar isyarat ini, dia telah tahu bahawa isterinya sedang lapar dan mahu makan. Tanpa bersoaljawab, dia terus sahaja membelokkan keretanya ke halaman deretan kedai makan dan mencari pakir yang dekat dengan restoren yang dia sebut tadi.

Namun kebanyakan lelaki tidak faham dengan bahasa-tidak-terus ini. Minda lelaki yang memiliki lebih sepuluh kali “grey matter” daripada wanita yang tugasnya hanya memproses maklumat, kurang dapat mengaitkan ungkapan atau ayat-ayat yang berlapik-lapik ini. Kefahamannya hanya bergantung kepada apa yang diucapkan. Dia tidak pandai untuk mentafsirkan apa yang tersirat daripada apa yang tersurat. Oleh itu, jika isterinya beri isyarat. “Abang tak lapar ke?”, Dia akan jawab, “Tak lapar” dan meneruskan pemanduannya. Kecewalah isteri ini dan suaminya ini akan dicopkan sebagai tidak romantik.

Berbalik kita kepada kisah yang mula-mula saya paparkan itu. Apabila isteri bertanyakan kepada suaminya, “Sedap ke char kue teow tu bang?”. Ini bermaksud, “Abang, saya nak rasa sikit char kue teow tu”. Dan sebaik-baiknya, tanpa soal jawab, suaminya itu terus menukar piring char kue teownya dengan mangkuk bihun sop isterinya. Selepas minum separuh, suami itu juga menukarkan gelas minuman milo aisnya dengan minum isterinya. Suami yang berbuat demikian dicopkan sebagai seorang yang romantik. Dia bukan hanya dipuji kerana memahami kehendak isterinya, malah isteri juga puas kerana dapat merasai dua jenis makanan dan minuman pada malam itu dengan harga yang dibayar oleh seorang mengikut perkiraan wanita.

Berikut saya paparkan sedikit daripada ungkapan bahasa-bahasa-tidak-terus yang boleh dijadikan panduan kepada suami jika dia terdengar isterinya.

1. Bila suami mengajak isterinya pergi ke sesuatu tempat dan isterinya menjawab, “Tengoklah”. Besar kemungkinan maksudnya dia tidak mahu pergi.
2. Bila suami isteri sedang berbincang untuk membeli atau memberikan sesuatu kepada isteri, tetapi dalam perbincangan itu timbul pelbagai masalah hingga isterinya seolah-olah mengalah, “Saya tak kisah”. Sebenarnya apa yang dia maksudkan itu ialah dia kisah dan mahu juga benda itu.
3. Bila suami pulang dari kerja dan sesampai di pintu, isterinya menegur suaminya, “Abang letih eh”. Bagi suami yang tidak faham, pasti akan menjawab apa yang dia rasai seperti, “Aa, letih”. Maka kecewalah isterinya itu kerana maksud sebenar ialah dia hendak mengajak suaminya keluar masa itu juga.

Mengapa orang lelaki tidak faham bahasa perempuan ini ialah kerana kebiasaannya orang lelaki berkomunikasi menggunakan ayat yang pendek, terus, tepat kepada maksudnya dan penuh dengan fakta. Lelaki dengan watak kepimpinan dan penguasaan sering menggunakan komunikasi ini untuk mendapatkan kuasa dan sokongan daripada orang lain. Di dalam perniagaan, cara komunikasi sebegini amat sesuai untuk membuat keputusan dan keberkesanan perundingan dengan cepat. Tetapi kalau cara ini digunakan untuk berkomunikasi dengan orang perempuan, ia dilihat sebagai kurang sopan dan tidak beradab.

Oleh itu nasihat saya kepada suami yang ingin memahami bahasa terbalik isterinya ialah,

1. Bila isterinya bersuara, cuba dengar betul-betul ungkapannya dan lihat juga air muka serta pandangan matanya. Pasti kita boleh memahami maksudnya sama ada terus atau terbalik melalui tonasi dan bahasa badannya.
2. Kalau suami masih merasai tidak faham maksudnya, cepatlah bertanya secara terus terang, “Apa maksud awak tadi?”.
3. Bila suami telah memahaminya, maka simpanlah ilmu dan kemahiran ini untuk digunapakai masa depan apabila diucapkan oleh isterinya nanti. Pastinya suami ini dilebelkan sebagai lelaki yang paling romantik.
4. Terimalah cara bahasa terbalik yang amat memeningkan kepala ini sebagai tanda isteri masih sayang kepada kita. Kebiasaannya, isteri tidak menggunakan kaedah ini kepada sesiapa sahaja yang dia tidak kenal melainkan kepada orang yang dia sayangi dan teman sejenisnya
Kepada isteri pula,
1. Sebelum anda menggunakan bahasa berbahasa ini kepada suami, sila lihat dulu keadaan suami anda. Jika dia dalam keadaan serius atau kelihatan letih atau mengalami stres, jangan gunakan lagi pendekatan ini. Dibimbangi, ketidakfahamannya nanti boleh menyebabkan jiwa panas barannya mengganas.
2. Kalau keadaan suami kelihatan ceria dan bersedia untuk bergurau senda, bolehlah anda bermanja-manja menggunakan bahasa terbalik berpusing-pusing ini untuk menagih kehendak dan keperluan anda. Kalau dia tidak faham juga, anda hendaklah dengan suara manja menerangkan maksud sebenar. Jangan mengharapkan dia faham sendiri kalau dia kelihatan tidak faham. Nanti anda juga yang kecewa.

Renung dan fikir kembali situasi ini dalam kehidupan rumahtangga kita seharian.InsyaAllah,yang mana kurang boleh diperbaiki. Fahami pasangan dan hargai mereka. Jika anda mengharapkan kesempurnaan,anda akan jumpa banyak kelemahan pada dirinya. Tetapi jika anda merima kekurangan seadanya, ada sedang membina kesempurnaan di mata pasangan anda. Selamat Mencuba ^_^

Wednesday, 27 February 2013

SUBURKAN CINTAKU PADA-MU


Ya Allah... dengan izin-Mu, 
Telah banyak yang aku lalui, 
Hingga pernah resah jiwa ini, 
Hingga pernah gelisah hati ini, 
Cinta dunia pernah merantai hati, 
Walau tidak pernah kuzahiri, 
Dalam sederap langkah perjalanan hidupku. 

Jika dulu telah Engkau izinkan, 
Aku merasai kehangatan kasih dalam alpa, 
Jika dulu Engkau benarkan, 
Aku menikmati rindu adam kepada hawa, 
Jika dulu Engkau biarkan, 
Aku di dalam bahagia yang sementara, 

Cukuplah wahai tuhanku! 
Kerana di sebalik semua itu, 
Aku pernah kehilangan cinta-Mu, 
Pernah gersang jiwaku, 
Pernah tandus imanku, 
Derita itu merobek ketenanganku, 
Hatiku yang telah retak semakin retak, 
Solatku tiada lagi khusyuknya, 
Rukukku tiada lagi ikhlasnya, 
Sujudku bersama fikiran yang melayang entah ke mana, 
Tahajjudku sudah tiada serinya, 
Munajatku sudah hilang air matanya, 
Imanku longlai untuk berkata-kata. 

Ya Allah... setelah semua itu aku lalui, 
Dengan penuh susah, jerih dan payah, 
Aku gagahi jua langkah lemah ini, 
Berbekal harapan yang tidak pernah mati, 
Akhirnya kutemui cinta-Mu yang hakiki, 
Manisnya kurasai, 
Bahagia dan ketenangan abadi. 

Bersama setiap sedutan nafas, 
Beriramalah tasbih, tahmid dan takbir, 
Hati ini bahagia dengan mengingati-Mu 
Hati ini derita bila melupai-Mu, 
Engkaulah Kekasih dan cinta hatiku, 
Sekalipun tidak berasa kecewa kerana dikecewakan, 
Bahkan hati yang retak kembali pulih, 
Hati yang merana kembali damai, 
Hati yang sirna kembali menyinar. 

Syukurku pada-Mu Allah, 
Atas segala kurniaan, 
Nikmat rasa cinta yang cuma sedikit pada-Mu ini, 
Jangan Engkau lenyapkan, 
Jangan Engkau kuburkan, 
Tapi, suburkanlah cintaku pada-Mu Allah, 
Biarkan hati ini, 
Terus mengharap, berpaut dan bergantung pada-Mu, 
Kurniakan kepadaku, 
Sekeping hati yang kuat, 
Agar ia terus hidup di dalam cahaya-Mu, 
Selamanya... ~