Pages

Monday, 25 June 2012

Berkatilah Umur Dengan 4 Perkara

Seandainya kita diberi umur untuk hidup oleh Allah hingga 50 tahun apakah yang akan kita lakukan untuk memanfaatkan umur tersebut? Andaikan umur kita saat ini sudah 45 tahun, maka baki umur yang tersisa ada 5 tahun lagi, jika hari ini kita telah pun berumur 49 tahun, bererti sisa umur kita ada 1 tahun lagi. 1 tahun itu adalah waktu yang sangat singkat, tidak terasa detik demi detik, malah minggu demi minggu lalu setahun itu telah pun berlalu, tidak terasa ajal sudah di depan mata, jadi bagaimanakah persiapan kita menjelang kehidupan hakiki yang penuh berkat?

Oleh yang demikian, Rasulullah SAW telah meninggalkan satu pesanan yang amat berharga buat kita semua sebagai umatnya. Baginda telah bersabda: “Memberi sedekah, menyuruh pada kebaikan, berbakti kepada ibu bapa dan silaturahim dapat mengubah penderitaan menjadi kebahagiaan, menambah berkat umur dan menolak kejahatan.” (Hadis riwayat Abu Naim).
Dengan ini, empat perkara di atas sangat perlu dititikberatkan oleh kita semua sebagai umat Islam dalam meraih keberkatan hidup dan keredhaan Allah demi mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Maka seharusnya kita jadikan elemen tersebut sebagai “the way of life”.

Perkara pertama yang disentuh oleh Rasulullah S.A.W ialah bersedekah. Semua orang mampu bersedekah kerana pemahaman sedekah itu tidak hanya berupa bentuk fizikal seperti wang ringgit atau harta benda semata-mata. Hatta yang tidak berharta pun masih mampu bersedekah, iaitu dengan menggunakan tenaga kudrat fizikal tubuh badan untuk membantu orang lain. Apatah lagi seandainya kita dianugerahkan Allah dengan kemewahan dan sudah pasti lebih mudah untuk mengamalkan apa yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW itu.

Abu Hurairah pernah memberitahu bahawa Rasulullah SAW ada ditanyakan: “Wahai Rasulullah SAW, sedekah apakah yang paling mulia? lalu Baginda menjawab: “sedekah orang yang tidak mampu dan mulakanlah (memberi sedekah) pada orang yang banyak tanggungannya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud).

Sabda Rasulullah ini adalah satu penghargaan besar kepada golongan kurang berkemampuan yang masih bersemangat menghulurkan sedaya upayanya memberikan sedekah kepada orang lain. Inilah keindahan dalam Islam kerana sikap saling membantu dititikberatkan dalam membina masyarakat.
Melalui budaya bersedekah itu akan membentuk landskap masyarakat penyayang dan prihatin. Perasaan kebersamaan dan semangat kekitaan pasti wujud kukuh dan berakar umbi teguh dalam masyarakat yang saling membantu melalui pemberian sedekah.

Perkara kedua yang disarankan Baginda SAW ialah bersikap sentiasa menyuruh ke arah kemanfaatan dan kebaikan. Skop menyuruh kepada kebaikan sebenarnya tidak hanya terhad kepada da’ie atau pendakwah saja malah semua mukmin mesti berasa terpanggil untuk bersama-sama mengajak insan lain kepada kebaikan. Menyuruh kepada kebaikan juga bermakna kita melaksanakan seruan ke jalan Allah.
Atas sebab pentingnya aspek ini, Saidina Ali bin Abi Talib turut mewasiatkan kepada kita berbuat demikian. Kata beliau: “Serulah manusia ke jalan Allah (amar makruf) dan cegahlah mereka daripada kemungkaran (nahi mungkar) kerana apabila kedua-dua perkara ini ditinggalkan, maka tunggulah kebinasaan umat ini.”
 
Jadi, apa saja kesempatan hidup seharusnya kita menggunakannya dengan mengamalkan satu gaya hidup yang saling menasihati ke arah kebaikan. Tidaklah wajar dalam sebuah masyarakat Muslim untuk saling menutup mata seandainya melihat adanya sesuatu yang mungkar.

Seterusnya, aspek berbakti kepada kedua-dua ibu bapa juga diberitahu oleh Rasulullah SAW sebagai elemen yang akan memancarkan keberkatan kepada umur dan kehidupan kita. Senario semasa jelas masih banyak yang tergamak mengabaikan perkara ini dan tidak menganggapnya sebagai penting untuk dihayati.
Sesungguhnya persoalan mengabaikan aspek memelihara dan berbakti kepada ibu bapa akan mengundang laknat Allah dan pastinya seksa maha pedih menanti anak yang derhaka itu. Seseorang anak yang derhaka dan mengabaikan tanggungjawabnya kepada ibu bapa tidak mungkin memperoleh keberkatan dalam apa saja di atas dunia ini, apatah lagi di akhirat kelak.

Allah mengingatkan kita yang bermaksud: “Sembahlah Allah dan janganlah kamu menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat ihsanlah (berbuat baik) kepada kedua-dua ibu bapa.” (Surah An-Nisa; ayat 36). Ini perintah Allah dan sesiapa ingkar mematuhinya bermakna melakukan satu dosa besar di sisi-Nya.

Perkara keempat memanfaatkan umur dan memberikan kebahagiaan kehidupan kita dengan sentiasa memelihara hubungan sesama insan sama ada dengan ibu bapa, kaum kerabat, jiran tetangga dan juga sesama ummah. Pesan Rasulullah SAW bermaksud: “Sesiapa yang ingin murah rezeki dan panjang umurnya, hendaklah dia menyambung hubungan dengan saudaranya (silaturahim). (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).Namun, senario hari ini jelas menunjukkan fenomena bertegang leher dan berpisah-pisah sudah semakin menebal dalam masyarakat.

Justeru itu marilah kita sama-sama memanfaatkan nikmat umur, kerana kita tidak tahu di mana dan bilakah penghujung kepada kehidupan ini. Sementara Allah masih memberi peluang untuk kita terus hidup, maka manfaatkanlah ia dengan sebaik-baiknya dan bersegeralah untuk melakukan kebaikan, kerana kita tidak tahu apakah masih ada lagi hari esok untuk kita? Jika di dunia kita manfaatkan maka bahagia menunggu kita di akhirat kelak.

Thursday, 14 June 2012

KISAH AINUL MARDHIAH


Ainul Mardhiah merupakan seorang bidadari yang paling cantik dikalangan bidadari-bidadari yang lain bermaksud mata yang di redhai.

Suatu pagi (di dalam bulan puasa) ketika nabi memberi targhib (berita-berita semangat di kalangan sahabat untuk berjihad pada agama Allah) katanya siapa-siapa yang keluar di jalan Allah tiba-tiba ia shahid, maka dia akan dianugerahkan seorang bidadari yang paling cantik dikalangan bidadari syurga. Mendengar berita itu seorang sahabat yang usianya sangat muda teringin sangat untuk mengetahui bagaimana cantiknya bidadari tersebut tetapi dia berasa malu untuk bertanyakan kepada nabi dan pada para sahabat yang lain. Namun dia tetap beri nama sebagai salah seorang yang akan keluar berperang.

Sebelum zohor Rasulullah akan tidur sebentar, maka para sahabat pun turut tidur termasuklah pemuda tersebut juga turut tidur sebelum Zohor.
Dalam tidur tersebut dia bermimpi berada di satu tempat yang sungguh indah, dia bertemu dengan seorang yang berpakaian yang bersih lagi cantik dan muka yang berseri-seri lalu ditanyanya dimanakah dia… lalu lelaki itu menjawab inilah syurga. Lalu dia menyatakan hasrat untuk berjumpa dengan ‘Ainul Mardhiah lalu ditunjuknya di suatu arah maka berjalan dia… di suatu pepohon beliau mendapati ada seorang wanita yang tak pernah dia lihat kecantikan begitu… tak pernah dilihat di dunia ini… lalu diberi salam dan dia bertanya andakah dia ainul mardhiah… wanita itu menjawab ehh tidak… saya khadamnya ainul mardhiah ada di dalam singgahsana sana.

Lalu dia berjalan dan memasuki satu mahligai yang cukup indah dan mendapati ada seorang lagi wanita yang kecantikannya berganda-ganda dari yang pertama tadi sedang mengelap permata-mata perhiasan di dalam mahligai…. lalu diberi salam dan di tanya lagi adakah dia ainul mardiah lalu wanita itu menjawab…eh tidakkk saya hanya khadamnya di dalam mahligai ini… ainul mardiah ada di atas mahligai sana,….. lalu dinaikinya anak-anak tangga mahligai permata itu kecantikkannya sungguh mengkagumkan… lalu dia sampai ke satu mahligai dan mendapati seorang wanita yang berganda-ganda cantik dari yang pertama dan berganda-ganda catiknya dari yang kedua…. dan tak pernah dia lihat di dunia…. lalu wanita itu berkata …akulah ainul mardhiah, aku diciptakan untk kamu dan kamu diciptakan untuk aku…. bila lelaki itu mendekatinya wanita itu menjawab… nanti kamu belum syahid lagi…tersentak itu pemuda itu pun terjaga dari tidurnya lalu dia menceritakan segala-galanya kepada satu sahabat lain, namun begitu dia memesan agar jangan menceritakan cerita ini kepada nabi SAW… tapi sekiranya dia shahid barulah ceritakan kepada nabi.

Petang itu pemuda itu bersama-sama dengan jemaah yang terdapat Nabi di dalamnya telah keluar berperang lalu ditakdirkan pemuda tadi telah shahid. Petang tersebut ketika semua jemaah telah pulang ke masjid, di waktu hendak berbuka puasa maka mereka telah menunggu makanan untuk berbuka (tunggu makanan adalah satu sunnah nabi). Maka kawan sahabat yang shahid tadi telah bangun dan merapati nabi SAW dan menceritakan perihal sahabat nabi yang shahid tadi… dalam menceritakan itu nabi menjawab benar… benar … benar… dalam sepanjang cerita tersebut. Akhirnya nabi SAW berkata memang benar cerita sahabat kamu tadi dan sekarang ini dia sedang menunggu untuk berbuka puasa di syurga…Subhanallah

Tuesday, 29 May 2012

Wanita Solehah Lebih Baik Daripada Bidadari Syurga

Wanita solehah tidak boleh sembarangan mencintai lelaki. Lelaki yang paling wajar dicintai oleh wanita solehah ialah Nabi Muhammad SAW. Ini kerana Nabi Muhammad SAW adalah pembela nasib kaum wanita. Baginda telah mengangkat martabat kaum wanita daripada diperlakukan dengan kehinaan pada zaman jahiliyah, khususnya oleh kaum lelaki.


Ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW juga berjaya menyempurnakan budi pekerti kaum lelaki. Ini membawa keuntungan kepada kaum wanita kerana mereka mendapat kebebasan dalam kawalan dan perlindungan keselamatan oleh kaum lelaki. Iaitu dengan mengikuti ajaran Nabi Muhammad SAW menjadikan bapa atau suami mereka berbuat baik dan bertanggungjawab ke atas keluarganya. Demikian juga dengan kedatangan Rasulullah SAW telah menjadikan anak-anak tidak lupa untuk berbakti kepada ibu mereka, cthnya seperti Uwais Al-Qarni.

Salah satu tanda kasih Baginda SAW terhadap kaum wanita ialah dengan berpesan kepada kaum lelaki agar berbuat baik kepada wanita, khususnya ahli keluarga mereka. Rasulullah SAW sendiri menjadikan diri dan keluarga baginda suri teladan kepada kaum lelaki untuk bagaimana berbuat baik dan memuliakan kaum wanita.
Rasulullah SAW bersabda,
“Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya, dan yang berbuat baik kepada ahli keluarganya.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)
Lagi sabda Rasulullah SAW,
“Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik terhadap keluarganya; dan aku adalah yang terbaik dari kamu terhadap keluargaku. Orang yang memuliakan kaum wanita adalah orang yang mulia, dan orang yang menghina kaum wanita adalah orang yang tidak tahu budi.” (Riwayat Abu ‘Asakir)
Tapi betul ke wanita solehah itu lebih baik daripada bidadari syurga?
Daripada Umm Salamah, isteri Nabi SAW, katanya(di dalam sebuah hadis yang panjang):
Aku berkata, “Wahai Rasulullah! Adakah wanita di dunia lebih baik atau bidadari?”
Baginda menjawab, “Wanita di dunia lebih baik daripada bidadari sebagaimana yang zahir lebih baik daripada yang batin.”
Aku berkata, “Wahai Rasulullah! Bagaimanakah itu?”
Baginda menjawab, “Dengan solat, puasa dan ibadat mereka kepada Allah, Allah akan memakaikan muka-muka mereka dengan cahaya dan jasad mereka dengan sutera yang berwarna putih,berpakaian hijau dan berperhiasan kuning….(hingga akhir hadis)” (riwayat al-Tabrani)

Sungguh tinggi darjat wanita solehah, sehingga dikatakan lebih baik daripada bidadari syurga. Semoga hadis ini menjadi inspirasi bagi kita semua dalam memperbaiki diri agar menjadi lebih baik daripada bidadari syurga. InsyaAllah..
Tapi, bagaimana yang dikatakan wanita solehah itu?
Ikuti kisah berikut, semoga kita sama-sama beroleh pengajaran.

Seorang gadis kecil bertanya ayahnya “ayah ceritakanlah padaku perihal muslimah sejati?”

Si ayah pun menjawab “anakku,seorang muslimah sejati bukan dilihat dari kecantikan dan keayuan wajahnya semata-mata.wajahnya hanyalah satu peranan yang amat kecil,tetapi muslimah sejati dilihat dari kecantikan dan ketulusan hatinya yang tersembunyi.itulah yang terbaik”

Si ayah terus menyambung

“muslimah sejati juga tidak dilihat dari bentuk tubuh badannya yang mempersona,tetapi dilihat dari sejauh mana ia menutupi bentuk tubuhnya yang mempersona itu.muslimah sejati bukanlah dilihat dari sebanyak mana kebaikan yang diberikannya ,tetapi dari keikhlasan ketika ia memberikan segala kebaikan itu.muslimah sejati bukanlah dilihat dari seberapa indah lantunan suaranya tetapi dilihat dari apa yang sering mulutnya bicarakan.muslimah sejati bukan dilihat dari keahliannya berbahasa,tetapi dilihat dari bagaimana caranya ia berbicara dan berhujah kebenaran”
Berdasarkan ayat 31,surah An Nurr,Abdullah ibn abbas dan lain-lainya berpendapat.Seseorang wanita islam hanya boleh mendedahkan wajah,dua tapak tangan dan cincinnya di hadapan lelaki yang bukan mahram(As syeikh said hawa di dalam kitabnya Al Asas fit Tasir)

“Janganlah perempuan -perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga menghairahkan orang yang ada perasaan dalam hatinya,tetapi ucapkanlah perkataan yang baik-baik”(surah Al Ahzab:32)
“lantas apa lagi ayah?”sahut puteri kecil terus ingin tahu.

“ketahuilah muslimah sejati bukan dilihat dari keberaniannya dalam berpakaian grand tetapi dilihat dari sejauh mana ia berani mempertahankan kehormatannya melalui apa yang dipakainya.
Muslimah sejati bukan dilihat dari kekhuwatirannya digoda orang di tepi jalanan tetapi dilihat dari kekhuwatirannya dirinyalah yang mengundang orang tergoda.muslimah sejati bukanlah dilihat dari seberapa banyak dan besarnya ujian yang ia jalani tetapi dilihat dari sejauh mana ia menghadapi ujian itu dengan penuh rasa redha dan kehambaan kepada TUHAN nya,dan ia sentiasa bersyukur dengan segala kurniaan yang diberi”


 “dan ingatlah anakku muslimah sejati bukan dilihat dari sifat mesranya dalam bergaul tetapi dilihat dari sejauh mana ia mampu menjaga kehormatan dirinya dalam bergaul”

Setelah itu si anak bertanya”Siapakah yang memiliki criteria seperti itu ayah?Bolehkah saya menjadi sepertinya?mampu dan layakkah saya ayah?”

Si ayah memberikan sebuah buku dan berkata”pelajarilah mereka!supaya kamu berjaya nanti.INSYA ALLAH kamu juga boleh menjadi muslimah sejati dan wanita yang solehah kelak,malah semua wanita boleh”
Si anak pun segera mengambil buku tersebut lalu terlihatlah sebaris perkataan berbunyi ISTERI RASULULLAH.

“Apabila seorang perempuan itu solat lima waktu ,puasa di bulan ramadhan ,menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya,maka masuklah ia ke dalam syurga dari pintu-pintu yang ia kehendakinya”(riwayat Al Bazzar)

Sunday, 20 May 2012

Derhaka Dalam Taat


Derhaka Dalam Taat


Ghurur yang bermaksud ‘tipudaya’ juga diertikan dengan maksud ‘syaitan’ dan ‘segala yang sia-sia’. Orang yang terkena penyakit ghurur selalunya lupa bahawa di sebalik ketaatan yang ditunjukkan melalui amalan zahirnya tersembunyi sifat derhaka atau dalam perkataan lain melakukan ‘derhaka dalam taat’.
Maksud orang yang derhaka dalam taat ialah orang yang tidak sedar dirinya melakukan amalan yang kelihatan baik, tetapi hakikatnya ia dibenci oleh Allah, kerana terselit niat dan perasaaan tidak ikhlas,riak, ujub, sombong, mengharapkan ganjaran dunia, mengharapkan pujian, kerana mencari pengaruh dan lain-lain.
Orang yang riak juga dianggap oleh Allah sebagai ‘penipu’ dalam mengamalkan perintah agama. (Surah al-Ma’un: 4-6)

Terdapat dua golongan yang dianggap melakukan derhaka dalam taat, iaitu:
1. Amal Yang Tidak Sempurna

Orang yang mengamalkan syariat lahir dan batin tetapi kedua-duanya tidak sempurna dan dalam masa yang sama ia masih terlibat dengan dosa dan maksiat, sama ada maksiat zahir atau batin.
Contohnya, melakukan semua perintah fardu di samping amalan sunat seperti solat Tahajud, puasa sunat, membaca al-Quran dan lain-lain dan ada kalanya dia pemurah, lemah-lembut, tetapi kehidupannya masih lagi terlibat dengan riba, dedah aurat, pergaulan bebas, mengumpat, menfitnah, mencerca, sombong dan cinta dunia.
Golongan ini dianggap golongan derhaka dan ia tidak lepas dari api Neraka. Imam Ghazali berkata:”Kalau kamu tidak boleh (belum mampu) untuk bangun solat Tahajud malam, janganlah buat dosa (perkara haram) di siang hari. Kerana tidak ada gunanya berbakti pada Allah di malam hari tetapi derhaka di siang hari.

2. Cuai Dengan Amalan Batin

Orang yang banyak mengerjakan amalan-amalan lahir tetapi cuai terhadap amalan-amalan  batin. Orang ini kelihatan pada zahirnya sempurna, baik, tetapi hatinya penuh dengan hasad dengki, buruk sangka, sombong, bakhil, riak, ujub, cinta dunia, mementingkan diri sendiri dan lain-lain. Selain itu ia juga suka menghina dan memandang rendah kepada orang yang kurang ibadah, kerana menyangka dirinya hebat. Dia merasa tenang dan senang dengan ibadahnya dan rasa yakin akan selamat di Akhirat.

 Ia menyangka dengan amalannya pasti Allah akan berinya kedudukan yang mulia di dalam Syurga. Orang ini dianggap derhaka pada Allah dalam amalan taatnya. Sebenarnya ia jauh dari Allah dan hatinya terputus dengan Allah.
Oleh itu , dalam menilai amalan, para ulama sepakat menyimpulkan; Biar sedikit amal walaupun sekadar yang fardu sahaja, tetapi di dalam hati tersemat rasa takut pada Allah (taqwa) daripada banyak amal lahir tetapi tiada rasa taqwa. Walaupun banyak dan hebat ibadah seseorang, tetapi selagi hatinya tidak zuhud dengan dunia, selama itu ibadahnya tidak bernilai.

Seorang manusia yang telah selesai melalkukan segala perintah Allah, tetapi dalam masa yang sama, jika hatinya tidak beradab dengan Allah, masih ada riak, ujub dan lain-lain, belum tentu Allah terima amalannya.
Firman Allah, maksudnya:”Ada pun orang yang enggan dan menyombongkan diri maka Allah akan menyeksa mereka dengan seksaan yang pedih.” (An-Nisa’: 173)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:”Sesungguhnya yang amat aku takut sekali di antara segala perkara yang terjadi ke atas kamu ialah syirik kecil.” Sahabat bertanya:”Apakah syirik kecil itu?” Baginda SAW menjawab,”Ialah riak (beramal dengan tidak ikhlas) kerana menunjuk-nunjukkan amalan.” Kemudian baginda SAW menyambung: “Di Akhirat kelak, iaitu sewaktu setiap manusia melihat amalannya, Allah swt berfirman kepada mereka:”Pergilah kamu semua kepada sesuatu yang kamu niatkan (menunjuk-nunjukkan) amalan kamu ketika di dunia. Lihatlah apa yang kamu boleh perolehi balasan dari mereka itu?” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi).
Dalam hadis lain Rasulullah SAW menegaskan:”Allah swt tidak menerima sesuatu amalan yang di dalamnya terselit perasaan riak, walaupun sebesar zarrah.” (hadis dinukil oleh Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin).

Thursday, 17 May 2012

Yang Lebih Indah Daripada Cinta!

Telah  ku katakan sebelumnya, dipercayai lebih utama daripada dicintai. Dan itulah juga ungkapan yang kerap diulang-ulang oleh mereka yang arif tentang cinta. Ramai yang kurang bersetuju dengan kata-kata ini. Masakan begitu, detik hati kita.
Teringat kembali detik mengetahui cinta kita telah diterima oleh si dia... Ah, gembiranya saat itu. Dunia ini seakan tersenyum. Bulan, mentari dan bintang seakan turut bersama kita meraikan detik yang sangat indah itu. Bukankah dicintai lebih utama daripada dipercayai? Hati kita berkata-kata.
Musim berlalu. Alam rumah tangga yang kita bina bersamanya menongkah arus ujian. Pelbagai suka duka, pahit manis diharungi bersama. Kata orang, semakin tinggi pokok yang kita panjat, semakin kuat pula angin yang menggoyang. Maksudnya, semakin tinggi puncak kehidupan ini kita daki maka semakin banyak dan hebat ujian yang menggugah hati. Warna sebenar (true colours) kita dan pasangan kita akan terserlah. Pada ketika itu segala yang pahit, masam, busuk akan terserlah...

Cinta semata-mata tidak akan mampu mempertahankan keharmonian rumah tangga. Perkahwinan dimulakan oleh cinta tetapi disempurnakan oleh tanggung jawab. Cinta itu satu rasa yang bertunjangkan perasaan. Perasaan tanpa kekuatan jiwa dan kematangan berfikir akan goyah apabila berdepan dengan ujian. "Perasaan" adalah hamba yang baik tetapi tuan yang sangat buruk. Justeru, jika ingin selamat, pastikan perasaan "bekerja" untuk kita, bukan sebaliknya.
Akan tiba masanya, sesuatu yang kita lihat indah dahulu tidak indah lagi kini. Jika kita hanya bergantung kepada perasaan, cinta kita akan tercalar. Pada ketika itu cinta memerlukan tanggung jawab dan tanggung jawab menuntut satu kepercayaan. Ketika cinta mula goyah di pentas rumah tangga, tanggung jawab akan datang menyelamatkan "pertunjukan" dengan peranan yang lebih berkesan.

Cuba bayangkan, ketika isterimu hamil, muntah-muntah, rambut kusut dan badannya tidak terjaga lagi kerana menanggung derita tempoh mengandung, ketika mulutnya mula becok mengasuh dan mengelolakan anak yang berderet selang setahun, atau ketika suamimu termenung memikirkan belanjawan rumah yang semakin meningkat atau keceriaannya semakin menurun gara-gara sibuk mengejar tugasan yang bertali arus... Bagaimana? Masih berserikah wajah si dia seperti yang kita lihat pada malam pertama?
Atau lebih menguji lagi apabila umur perkahwinan semakin lanjut dan kita sudah mencecah usia senja. Pada saat itu darah tinggi, diabetes, tahap kolesterol, obesiti dan malam-macam penyakit mula bertamu. Mungkin kita selamat, isteri pula yang menghidapnya. Bagaimana? Sanggupkah kita menjaganya dengan setia? Membawanya ke hospital memenuhi rutin rawatan, memastikan segala ubat-ubat dimakannya menepati jadual, atau lebih "ekstrem" lagi terpaksa menyuap makan-minumnya ketika dia sudah terbaring kesakitan serta menukar kain lampin kerana dia sudah tidak mampu mengurus diri?

Cinta memang hebat, tetapi ia tidak dapat menandingi tanggung-jawab. Cinta yang hebat ialah cinta yang ditunjangi tangung jawab. Cinta itu untuk memberi bukan untuk menerima. Lafaz, "aku terima nikah," oleh kita sebagai suami musim lalu bukan bererti kita menerima sebaliknya untuk memberi. Kita memikul tanggung jawab untuk memberi kasih-sayang, perhatian, pembelaan, didikan dan segalanya...
Walaupun begitu bagi si isteri... penerimaan mu sebagai pasangan hidupnya bukan ertinya untuk kau menerima tetapi untuk memberi – memberi kesetiaan, kepatuhan, pembelaan dan seluruh jiwa raga mu untuknya. Kau telah membuat satu aku janji yang paling suci dan tinggi dalam hidup mu, bukan untuk seseketika tetapi untuk selama-lamanya. Bukan hanya ketika suami mu bertubuh kekar, tetapi sehinggalah dia terlantar. Bukan hanya ketika rambutnya hitam tersisir rapi, tetapi hingga rambutnya putih dan mungkin tidak tumbuh-tumbuh lagi!

Itu baru ujian luaran. Belum lagi ujian dalaman yang berbentuk cemburu, jemu, marah, curiga dan lain-lain "virus" perhubungan. Berapa banyak hubungan yang terputus atau tinggal nyawa-nyawa ikan kerana hilangnya kepercayaan.
"Aku cintakannya, tetapi aku curiga apakah dia setia dengan ku?"
"Tergodakah dia bila di belakangku?"
Itulah contoh dialog hati yang merasuk bila ada cinta tetapi kurang ada percaya. Fobia dan trauma ini sering melanda rumah tangga. Ia akan menyebabkan hilang bahagia.
Pernah anda lihat si suami yang "diganggu" panggilan telefon oleh isterinya setiap selang 15 minit sekali? Aduh rimasnya. Betulkah itu kerana cinta atau kerana curiga. Pada hal cinta itu membebaskan bukan mengawal. Jika kita benar cintakan suami atau isteri, dan cinta itu ditunjangi oleh kepercayaan, kita tidak akan mengawalnya bahkan kita akan membebaskannya. Terbanglah ke mana kau suka, insya-Allah kau akan kembali jua. Justeru hati mu... tetap di sini, di hati ku!

Ada si suami yang curi-curi memeriksa "inbox" dan "sent" telefon bimbit isteri kalau-kalau ada SMS yang mencurigakan? Ada pula isteri yang menyelongkar setiap inci kereta suami takut-takut ada "kesan-kesan" tinggalan perempuan lain. Pernah saya dengar ada suami yang memusnahkan segala resit, bil, surat-surat kecil, dan apa jua dokumen-dokumen picisan dalam poket dan beg duitnya sebelum pulang ke rumah takut "disoal siasat" oleh isterinya?

"Ini bil makan, abang makan dengan siapa?"
"Lain macam sahaja mesranya SMS ini, ada apa-apa ke ni?"
"Eh, banyak yang abang beli ni. Tetapi kenapa nampak sedikit sahaja yang dibawa pulang ke rumah?"

Itulah soalan-soalan isteri yang menyebabkan suami terkial-kial menjawabnya. Pada suami semua itu remeh temeh, tetapi tidak pada isteri yang tidak percaya, semua itu boleh dijadikan modal "perang besar". Kalau si suami disyaki ada di tempat yang tidak sepatutnya ada atau pada waktu yang tidak sesuai, siap sedialah menghadapi hukuman jika gagal memberikan "alibi"!
Itulah gara-gara sama ada isteri tidak mempercayai suami atau suami tidak mempercayai isteri atau kedua-duanya sudah saling tidak mempercayai! Bukan kerana tidak ada cinta tetapi kerana hadirnya sebuah curiga akibat hilang rasa percaya. Sebab itu mengikut kajian, penceraian banyak berlaku bukan sahaja pada pasangan yang sudah kehilangan cinta tetapi pada pasangan yang terlalu cinta.

Tidak percayakan seseorang disebabkan dua faktor. Pertama, kita belum benar-benar mengenalinya. Kedua, kerana kita telah benar-benar mengenalinya. Jika disebabkan faktor yang pertama, jalan terbaik ialah kenalilah pasangan anda dengan lebih mendalam. Berkenalan kali pertama dahulu (seawal usia perkahwinan) adalah untuk menumbuhkan bibit-bibit cinta. Tetapi perkenalan kali kedua, ketiga dan seterusnya yakni setelah usia perkahwinan meningkat adalah untuk menyuburkan bibit-bibit percaya. Adalah salah sekali kalau kita beranggapan yang kita telah kenal pasangan kita dan terus menghentikan proses perkenalan. Sedangkan proses perkenalan dalam rumah tangga adalah "on going" (berterusan) sifatnya.
Kenal itu sangat berkait dengan rasa cinta. Dan cinta sejati dalam sebuah rumah tangga adalah dibina atas perkenalan bukan sahaja dengan kebaikan pasangan kita tetapi juga dengan keburukannya. Ya, kita sanggup menerima bukan sahaja yang indah tetapi juga yang hodoh pada wajah batin pasangan kita. Keburukannya akan kita cuba sama-sama atasi dan jika tidak, kita terima seadanya kerana kita sedar kita berkahwin dengan manusia bukan malaikat.

Kita akan terus mempercayainya walau apa pun keadaan. Kita mengingatkan bila dia terlupa dan membantunya sewaktu dia ingat. Jangan sekali-kali hilang kepercayaan. Selagi kita bertekad meneruskan perkahwinan hingga ke akhir hayat, pupuklah kepercayaan. Kepercayaan itu akan melahirkan tanggung jawab dan tanggung jawab adalah oksigen cinta. Oksigen itulah yang akan memberi stamina kepada cinta untuk terus kembara dari dunia hingga ke syurga.
Jika anda bertanya bagaimana memupuk kepercayaan? Jawabnya, kembalilah kepada kepercayaan-kepercayaan yang asas dan teras. Apa lagi jika bukan Rukun Iman? Binalah semua jenis percaya di atas enam kepercayaan itu. Jika suami dan isteri percayakan Allah, dan sama-sama berpegang kepada kehendak-Nya, maka mereka akan saling mempercayai antara satu sama lain. Percayalah kepercayaan kepada Allah itu adalah simpulan yang mengikat kepercayaan sesama manusia.

Sebab itulah kepercayaan juga disebut sebagai akidah – ertinya simpulan. Simpulan yang mempertautkan segala kebaikan. Ya, kepercayaan kita kepada Allah akan menyebabkan pasangan kita mempercayai kita.
"Ah, suami ku jauh. Tetapi aku percayakannya. Dia adalah mukmin yang teguh agama."
"Aduh lamanya kita berpisah. Namun isteri ku, iman akan menjaga mu..."
Bila hancur sebuah cinta bererti hancurlah satu kepercayaan. Bila hancur kepercayaan bererti hancurlah iman. Wahai suami, wahai isteri... sekali lagi ku tegaskan inilah oksigen cinta. Dan bagi semua yang masih belum mengenal cinta (antara lelaki dengan wanita),  burulah sesuatu yang lebih indah daripada dicintai... itulah dipercayai!
Bukankah nabi Muhammad itu lebih dahulu  mendapat gelar  "Al Amin" (dipercayai) sebelum menemui srikandi cintanya Siti Khadijah?

i luv islam

Thursday, 5 April 2012

Jangan Izinkan Aku Jatuh Cinta Andai Masanya Belum Tiba


Ya Allah,
Andai masanya belum tiba,
Jangan izinkan aku untuk jatuh cinta,
Aku memohon agar Kau tunjukkan jalan,
Agar Kau tunjukkan aku tuntutun yang perlu aku lakukan,
Jauhkanlah aku daripada kemaksiatan,
Jauhkanlah aku daripada perkara yang tidak dapat memberi manfaat,
Dan jauhkan aku daripada perkara yang Engkau murkai,
Agar aku dapat menjaga diri.
Ya Allah,
Jika aku jatuh cinta,
Izinkanlah aku menyentuh hati seseorang yang hatinya tertaut pada-Mu,
Jadikanlah aku yang mencintainya kerana agama yang ada padanya,
Jika dia hilangkan agama yang ada dalam dirinya,
Maka hilanglah cintaku padanya,
Sesungguhnya, cinta yang suci itu tidak buta.
Ya Allah,
Dan jika dia mencintai aku,
Biarkanlah dia mencintai aku kerana agama itu juga,
Asalkan dia tidak lebihkan cinta kepadaku melebihi cinta kepadaMu,
Supaya cinta itu bersemi di lembayung keredhaan-Mu,
Kerana dari situ lahirlah rahmah dan mawaddah dalam rumahtangga.

Ya Allah,
Jika ini bukan masanya,
Jika ini belum saatnya,
Dan jika Kau tahu kami belum bersedia,
Selamatkan kami,
Jarakkan kami,
Pisahkan kami,
Agar kami jauh dari khilaf yang merosak izzah dan iffah,
Agar kami tak mengundang murka-MU,
Agar kami dapat lebih menjaga hati,
Agar hati menjadi yang diredhai ilahi.
Ya Allah,
Andai dia bukan untuk ku,
Andai dia bukan jodohku,
Maka berilah ganti yang lebih baik buatnya,
Berikanlah dia insan yang benar benar terbaik buat kehidupannya,
Insan yang benar-benar mampu memimpinnya ke syurga-Mu,
Dan bantulah aku untuk memperbaiki diriku,
Agar aku kukuh dalam mencari cinta-Mu.
Ameen..

artikel iluveislam

Sunday, 1 April 2012

Sembilan Untukku, Satu Buatmu ....

Sembilan Untukku, Satu Buatmu

Wahai dikau pemilik persona yang mendamaikan,
Maafkan aku kiranya nukilan ini membuatmu jauh hati padaku
Aku tahu kamar hatimu terbuncang tulus kasih yang tak berbelah bahagi,
Aku tahu kerana aku juga begitu.
Aku tahu raudhahmu sarat kuntuman cinta yang harum mewangi,
Aku tahu kerana aku juga begitu.
Padamu selalu aku bisikan, dalam senda beralas, dalam gurau berbalas.
Bukan aku tak bersedia menerimamu sepenuhnya,
Bukan aku tak bersungguh denganmu seadanya.
Tapi itulah kata syariat, itu jugalah kata adat.
Langkah harus beringat, berkasih biar bertempat
Bagiku telah difitrahkan sembilan akal bak pahlawan,
Dan satu nafsu yang tidak terlawan,
Bagimu sembilan nafsu yang mudah ditawan,
Dan satu akal yang berpangkat bawahan
Bukan ini diskriminasi ilahi
Tapi itulah anugerah yang sangat berseni
Terciptanya kamu dari serpihan penuh rahsia
Yang mohon dituntun penuh waspada
Barang kau ingat wahai puteri
Sembilan akalku nakal tidak terperi
Satu nafsuku itulah raja, akalku pula setia bekerjasama
Sembilan akalku sedia berpadu,
demi memenuhi nafsu yang satu

Kutahu juga sembilan nafsumu bertakhta
Satu akalmu sering kecundang kehilangan kuasa
Itulah sebab benteng kubina, kerana sayangku padamu tidak terhingga
Aku tidak mahu kasarnya sentuhan,
mencalarkan kacamu yang kerapuhan,
Kubimbang jika aku bukanlah jodohmu,
kelak kau tersisa tidak bermutu
Kupohon kau jagalah peribadimu,
jangan terlalu mudah memberi sebelumnya waktu
Biar sombong dikata duniawi, asalkan jadi cemburuan bidadari syurgawi
Bukan aku tidak kasih padamu, bukan juga aku tak kisah padamu
Tapi biarkan itu berlaku seiring waktu
Sebagai bingkisan jodoh yang datang bertamu.
Aku bukanlah Ustaz Wan Aqasha, dan kau juga bukan Ustazah Siti Norba'yah
Tapi kuharap cinta kita semanis kurma, dan mahligai terbina penuh ceria
Kuharap dikau bukan pilihan yang salah,
Sebelum jodoh datang menjengah
Bersamalah menimba ilmu yang payah,
Agar saat istana bergoyah,
Bahtera kita masih berarah.
Ketika restu dan izin-Nya mencurah,
Akan kupinangmu dengan Bismillah.
- Artikel iluvislam.com